18.10.12

Muzik di hatiku

Lama dah tak cerita kat sini, kan? Heh.

Dua tiga hari ni aku balik rumah lambat. Kejar dateline itu, dateline ini. Padan muka aku. Tu lah leka lagi. Baru tau langit tinggi rendah bila jarum panjang jam randik dah makin hampir ke waktu penamat.

Sebenarnya aku nak kongsi sikit cerita tentang aku dan muzik. Aku selalu terfikir kenapa ramai orang cuma suka lagu waktu dia remaja dan awal dua puluhan saja. Lepas daripada garis umur 25, mulalah mengata yang muzik zaman sekarang ni kodok dan tak sebest lagu-lagu "zaman aku dulu". Kalau ikut rencana ni dalam majalah New Scientist, kenangan dan ingatan kita paling kuat dari usia 11 hingga 25 tahun. Agaknya pasal ingatan kita paling kuat waktu tu la yang citarasa muzik kita sangkut pada zaman tu je. Wallahu'alam, ini cuma spekulasi aku je.

Sambil buat kerja aku suka cari playlist yang boleh layan kat 8tracks.com. Petang tadi aku tengah taip e-mel, aku terdengar lagu ni.



Berhenti kejap aku, dibuai nostalgia. Inilah lagu yang kitorang pakai dulu waktu tingkatan tiga buat persembahan tarian kat sekolah masuk pertandingan. Pertandingan tu dibuat supaya kitorang ada kerja lepas habis periksa. Ya la, habis periksa kena la bagi masa cikgu nak conteng kertas jawapan dengan pen merah, betul tak? Takkan magik aje report card tu ada gred. Apa kitorang nak buat? Budak tingkatan lima ngan enam masih ada kelas, diorang tak habis periksa lagi. Jadi takleh la nak buat hantu lebih-lebih sangat. Kang ada cikgu diorang yang jengah kelas aku, sergah kitorang jangan bising sangat (kelas kitorang diiktiraf kelas paling bising kat sekolah waktu aku tingkatan dua dan tiga. Hebatkan?). Kalau takde buat benda camni, banyak budak ponteng, pasal cikgu tak mengajar. Kalau aku, bukan ke lagi syok gi sekolah kalau cikgu tak mengajar? Boleh bikin onar sama rakan-rakan seperjuangan.

Jadi cikgu-cikgi pun dapat idea buat pertandingan persembahan. Ada nyanyian, sketsa, tarian, stand up comedy pun ada. Aku pujuk member-member join sekali. Sama-sama jadi perekatari, semua orang kasi idea, lepas tu pergi praktis kat umah aku ngan rumah Farah. Good times.

Datang hari persembahan. Kitorang pakat pakai mekap bedak putih, gincu hitam, dan tak senyum langsung. Baju hitam, legging hitam. Ya la, zaman emo kan? Beli sikit kain chiffon murah buat macam selendang jadi prop. Aku bukak cermin mata waktu persembahan. Nasib baik praktis punya la banyak kali, jadi kiranya aku bergerak memang ikut naluri je. Silap haribulan tersepak, tertampar member. Hahaha. Jadi bila aku kena buat tarian Melayu waktu Haluansiswa kat atas pentas Dewan Tunku Canselor tu pun, aku dah tau camner nak menari berkumpulan walaupun aku tak nampak apa tanpa jatuh dari pentas.

Tapi member-member aku yang mata sempurna semua kata cikgu-cikgu yang duduk baris depan semua menganga tengok persembahan kitorang. Lepas habis, ada cikgu datang tegur: kenapa kitorang tak senyum? Kenapa gaya kitorang macam menakutkan? Kitorang sengih aje.

Kitorang tak menang untuk tarian tu, sekadar dapat honourable mention. Aku ada kata tak yang jadi juri tu semua cikgu-cikgu kitorang? Dengar khabar, diorang takut kasi kitorang lebih-lebih, macam menggalakkan anasir kurang sihat kat sekolah. Kitorang gelak aje; bukannya peduli sangat. Kitorang bukannya geng yang popular, teringin nak jadi bahan ikutan orang lain.

Selain daripada tarian tu, kitorang ada group nyanyi medley lagu evergreen (kapur minus one dari koleksi bapak Farah). Aku nyanyi "Oh Carol" yang diubahsuai jadi "Oh Harold". Pakai skirt kembang ala-ala 50'an gitu. Memangla macam tak berapa padan, tapi kitorang bukannya tau sangat. Waktu tu tukar gincu merah. Ada cikgu yang macam nostalgia dengar kitorang. Ye la, kitorang nyanyi lagu hits waktu diorang remaja belia.

Apa pun orang-orang yang lahir lepas tahun 1955 memang beruntung. Waktu tu ramai orang mula mampu beli radio, sekalipun radio transistor yang kecik tu. Mak aku cerita yang radio kat rumah dia dulu cuma pasang untuk dengar berita dan harga getah. Takde bekalan elektrik, jadi kena pakai bateri basah. Memang dapat dengar rancangan lagu ataupun drama bersiri kat radio tu kira macam nikmat sangatla. Pilihan lagu yang boleh didengar pun, tak la banyak.

Sekarang, kita boleh ada beribu-ribu lagu di hujung jari kita. Kalau golongan Gen Y, mungkin ada yang tak pernah beli CD, semua muzik dilanun daripada Internet. Kita boleh simpan lebih 500 lagu dalam alat yang lebih kecik daripada kotak mancis. Telefon kita boleh capai radio, boleh capai Internet. Lagi satu sumber lagu. Boring dengar lagu tempatan dan yang dikeluarkan kilang syarikat rakaman Amerika Syarikat? Tadi aku dansa-dansa dengan lagu Sepanyol ni.



Dulu aku cuma tau Gipsy Kings jer yang buat lagu flamenco macam ni. Sekarang ni, kalau aku tengah mood nak dengar lagu flamenco, asal aku boleh capai Internet, apa pun aku boleh dapat. Aku akui yang sekarang aku memang manja gila perihal lagu ni. Kalau waktu aku remaja, aku usaha untuk tulis lirik lagu yang aku suka. Sekarang? Google aje, tak payah susah-susah nak rewind kaset, atau pasang telinga, tunggu deejay umumkan yang lagu fevrit kau akan dimainkan. Aku dulu belek surat khabar hari Jumaat, cari lagu apa yang akan disiarkan untuk rancangan Pilihan Bersama versi orang putih Ahad malam Isnin nanti. Aku bersedia kat tepi radio dengan kaset kosong untuk aku dub lagu yang aku nak. Macam-macam mixtape aku ada. Cuma aku takde peranti nak ubah jadi mp3 aje.

Semua tu dah tinggal kenangan aje. Anak sedara aku nak belajar nyanyi lagu The Climb oleh Miley Cyrus untuk konsert dia hari tu. Dia cari aje kat youtube, siap boleh cari video ada lirik supaya senang nak ikut. Tapi bila ada banyak sangat pilihan lagu, aku dah tak peduli sangat nak ikut nyanyi. Pasal kalau bosan, aku tekan saja next. Kalau orang suruh aku nyanyi, silap haribulan aku cuma nyanyi Negaraku pasal lain-lain lagu yang aku tau nyanyi dari awal sampai habis, hanya keluaran sebelum tahun 2002.

Nah, sekarang kau tau berapa sebenarnya umur aku. Hahaha!

22.8.12

The face of evil


Post dinner is the time to clean up the kitchen and wash up the myriad plates and cooking paraphernalia. Last night's meal generated a more than usual dishes to be cleared thanks to the prep required for my sister's birthday dinner. For a simple meal of pan-seared salmon with lemon and cilantro sauce, buttered steamed vegetables and mashed potato (okay, there's lemon cake pudding for dessert as well), there was an insane number of pots, plates etc etc etc to be washed.
The birthday girl helped to stow away the left overs while I played with detergent and water at the sink. My niece was proclaiming faux messages written in invisible ink on the Thai place mat while keeping us company. She stentoriously declared that my sister's boss requested that she see him in his office on Monday in order for him to give her one hundred dollars.
"Hey, my boss is off on Monday. He won't be in to give me the money," said my sister indignantly.
"It's not nice to raise people's hopes for nothing," I rejoinded. "That's a terrible thing to do," I told my niece.
"Of course. I am evil," was her dead pan and spontaneous response.
Note: The picture included was her circa 2009. She has since lost the curls but not the cheeky grin.

 *cross-posted at Cowbird*

17.7.12

Main puteri

Aku suka betul lagu ni. Nostalgia gila. Mula-mula aku dengar lagu ni penghujung darjah enam; Kementerian Penerangan (sekarang dah tukar nama lain) buat kebangkitan semula kebudayaan waktu tu. Giat lah televisyen dan radio memainkan lagu-lagu tradisi lama. Entah ada lagi atau tidak rakaman lagu-lagu tu sekarang.



Tapi aku nak cerita sikit pengalaman aku dan lagu ni pada zaman aku tingkatan dua. Persatuan Kebudayaan dan Persuratan Melayu (PKPM) sekolah aku dulu cukup terer buat duit dengan konsert. Tiap kali habis periksa hujung tahun akan ada konsert persatuan tu dan juga Persatuan Debat dan Kesusasteraan Bahasa Inggeris. Persembahan kedua persatuan ini amat dinanti-nanti; waktu inilah yang budak lelaki sekolah berdekatan dapat merasa masuk sekolah kitorang dan cuci mata ngan awek-awek sekolah aku.

Ya, aku dulu sekolah mubaligh. Kitorang semua pompuan. Yang lelaki hanya Pakcik Kantin, Pakcik Tukang Kebun dengan beberapa kerat cikgu lelaki. Yang paling popular ialah Mr Chew, cikgu fizik. Fesyen pakaiannya tegar pada zaman 70'an: seluar ketat tanpa tali pinggang yang lebar di bawah dipadankan dengan kemeja kapas tangan pendek.

Berbalik kepada konsert tadi. Salah satu persembahan konsert PKPM pada tahun itu ialah lakonan semula main puteri. Main puteri (atau ulik mayang) ni adalah satu tradisi masyarakat Melayu pantai timur untuk mengubat orang sakit lemah semangat, kena rasuk dan lain-lain gangguan rohani. Maklumlah, zaman dulu takde Prozac, ubat anti psikotik dan terapi psikiatri macam sekarang.

Dasarnya dalam persembahan ni akan ada Tok Dukun yang akan panggil Puteri Tujuh (dari Laut China Selatan?) untuk datang mengubat pesakit. Bila diseru dengan nyanyian, kemenyan dan gusiran mayang kelapa, Tuan Puteri akan datang kepada Tok Dukun yang akan menjadi konduit bagi mengusir makhluk yang membuatkan pesakit tu bermasalah. Aku pun tak berapa faham mekanismenya. Boleh cari maklumat lanjut di sini, sini, sini, dan sini. Habis dah berubat, Tok Dukun akan jemput Tuan Puteri untuk balik dengan ucapan terima kasih. Lazimnya ada persemahan sekali waktu berubat tu, kira macam upah Tuan Puteri tu. Biasa yang disemahkan pulut kuning, ayam golek dan sebagainya.

Kira-kiranya, PKPM tahun tu buat persembahan yang boleh tahan aslinya. Aku rasa yang tak ada cuma semah makanan tu. Tapi mayang kelapa ada, kemenyan pun pakai. Dan Tuan Puteri memang datang betul.

*sengih*

Diorang buat latihan untuk konsert tu dari sebelum waktu periksa lagi. Semenjak dua menjak diorang buat praktis kat dewan, ada member aku kata diorang seram pergi bilik air. Aku rasa paling seram kat bilik air tu pasal baunya: sungguh mengerikan. Kalau tak terpaksa, memang aku tak pergi punya. Tapi aku gelak-gelak aje, kata yang diorang rasa ngeri pasal budak sekolah pagi tak reti basuh tandas. Ala, imaginasi berlari liar je. Waktu tu memang syok sakat budak penakut kelas aku.

Tapi aku berhenti gelak bila periksa satu hari tu. Aku pun tak ingat paper apa, tapi aku ingat yang Guru Penolong Kanan Sekolah Petang tu yang jaga exam kat kelas aku. Nama aku mula dengan huruf "S" jadi aku duduk paling belakang sekali lepas meja semua kena susun. Aku cukup hairan kenapa cikgu tu asyik datang kat meja aku. Berkali-kali dia mundar-mandir tapi dia asyik datang kat meja aku. Aku letak pen, dongak kat dia dan tanya, "Yes, Puan A?"

Dia ingat aku nak tiru ke?

Air muka dia berubah dan dia geleng kepala. Dia bagi isyarat suruh aku habiskan jawab soalan periksa tu. Tapi dia asyik datang balik kat meja aku sampai penghujung waktu. Habis dah serahkan kertas periksa, kitorang pun borak-borak la; ada yang mengeluh exam susah, ada yang gloating suka gila semua yang dia tembak baca keluar.

Tiba-tiba, ada member aku yang duduk baris depan sergah, "Hei, tadi kau nyanyi-nyanyi ya?"

"Bila? Lepas exam tadi tu ada la," aku jawab. Memang pun aku nyanyi "I Want to Break Free". Ranap lagu arwah Freddie Mercury aku kerjakan.

"Bukan. Waktu exam tadi."

"Ha ah," ada sorang lagi mencelah. "Aku dengar orang nyanyi dari arah meja kau."

"Korang ingat aku gila apa nak nyanyi waktu periksa," aku menafikan.

Lepas tu sorang demi sorang member aku yang duduk kat baris depan dengan tengah kelas kata yang diorang dengar orang nyanyi kat belakang kelas waktu periksa tadi. Semua kata yang bunyi orang menyanyi tu datang dari arah meja aku.

"Entah-entah korang dengar budak PKPM tu praktis kat dewan tak?" aku duga.

"Mana boleh diorang praktis waktu exam," pintas lagi satu kawan kelas aku. Dia pengawas, jadi dia taulah benda-benda ni.

Tapi tak seorang pun budak yang duduk kat belakang dengar bunyi orang menyanyi tu. Semua yang dengar suara tu kata yang bunyinya macam perempuan, suara dia lembut dan manis, tapi yang dinyanyikannya itu tak berapa jelas. Lepas tu ramai budak yang dengar suara tu naik takut.

Nak dikisahkan, ada kejadian susulan lepas insiden nyanyi tu. Ketua kelas aku pergi tandas. Tak sampai seminit dia muncul balik, menggeletar. Dia minta orang tolong temankan dia; dia kata kat tandas tadi bau kemenyan, tapi takde orang selain daripada dia. Nak menangis dia tahan kencing dan pujuk kitorang temankan dia.

Habis periksa kitorang pergi sekolah juga; tunggu dapat report card. Waktu itulah kitorang ada kes budak histeria la, nampak bayang orang lain kat cermin walaupun dia sorang-soranglah, dan macam-macam lagi. Nasib baik Pakcik Tukang Kebun kitorang tu ada bakat menyembuhkan orang; bila ada budak mula jerit-jerit, dialah yang kena panggil.

Akhir aku dengar pihak sekolah panggil Ustaz mana entah untuk tolong "bersihkan" keadaan. Dia kata yang budak PKPM buat persembahan tu, Tuan Puteri tu datang betul. Tapi diorang tak reti nak hantar dia balik. Jadi Tuan Puteri tu lepak-lepak kat sekolah kitorang, usik-usik budak yang lemah semangat. Aku tak taulah nak percaya apa, tapi dalam Islam, kita kena percaya ada benda ghaib yang wujud sama dengan kita yang kita tak nampak. Kita tak boleh takbur dan kata tak takut. Belum jumpa, belum tau, betul tak?

Korang ada cerita lain nak kongsi?

18.6.12

Free verse


Loneliness can keep haunting you ...
    Buried in your psyche ...
         Loving the journey ...
              Dreading the destiny ...

Stolen faith, lost tenderness

Buried under water ...


Aku pun tak tahu mana datangnya verse emo kat atas tu.

*tekup muka*

17.6.12

Ghoyak kelate

Sejak sekolah menengah, aku pernah injak negeri Cik Siti Wan Kembang 2 kali. Secara kasarnya, setiap 10 tahun sekali. Kali terakhir aku pergi, menumpang tidur di rumah mak ayah boss aku waktu itu.

Kata Mak aku, duduk rumah orang, ringan-ringan kan tulang. Maka aku ke dapur untuk tolong mak boss aku masak. Aku tanya, "Ada apa yang boleh saya tolong?"

<selingan> Kalau mak aku dengar, mesti kena seligi. Dia ajar aku tak usah tanya nak buat kerja; tengok-tengok apa yang kena buat, lepas tu buat aja. Hanya hamba aje yang perlu kena suruh. </selingan tamat>

Dengan tersenyum, makcik itu pun menjawab. Aku tak faham.

"Maaf?"

Dia mengulang kata-katanya tadi, tapi senyumannya dah agak cair. Aku agak dia mungkin fikir kenapa staf boss aku ni macam lembam; maklumlah, tak faham bahasa. Aku cuma balas senyumannya dan terus mencapai pisau untuk kupas bawang dan potong sayur. Bila aku dah tak nampak benda lain nak buat, aku pun basuh pinggan dan periuk dalam sinki.

Jangan marahla, Cik Dah, tapi aku rasa pergi Kelantan serupa macam pergi Siam. Orang cakap aku tak faham, aku cakap pun orang tak faham.

Tapi kita sama-sama senyum.

Alangkah ruginya aku tak nampak poster ni dulu sebelum aku gi Kelantan. Pasti aku boleh menawar tudung bawal Mak aku di Pasar Siti Khadijah tu dengan lebih hebat lagi!



Bila agaknya aku nak sampai Kota Bharu lagi, ya?

7.5.12

Pantang maut sebelum ajal

Sakit.

Seluruh tubuhku sakit. Aku tak pernah tahu yang rambut aku pun boleh rasa sakit; bulu mataku pun terasa berdenyut-denyut. Tangan kanan ku gatal yang teramat; aku menggarunya dengan sepuas-puasnya, tapi tak terasa.

Aku terasa seperti obor-obor yang hanyut dalam lautan dan dunia ini gelap semula.

*******

Aku teringat semasa kecil, aku suka berbaring di atas riba ibuku sewaktu dia membaca Al-Quran. Suaranya gemersik melagukan ayat-ayat suci yang disampaikan oleh junjungan Rasullullah SAW, kelunakannya hilang apabila dia memarahi aku. Aku hanyut menikmati bacaannya.

Tapi ibuku sudah lama tiada.

Aku tenggelam kembali.

*******



Perlahan-lahan deriaku terjaga dari lena. Seluruh sarafku bagai direnjat belut elektrik yang kutemui semasa berenang di Sungai Orinoco. Kelopak mataku bagai dibebani batu pemberat, tubuhku longlai seperti kain buruk yang baru diperah.
 
Keperitan membuatkan aku merelakan diriku tenggelam semula dalam kegelapan tanpa sedar.

* * * * * * *

Aku tak tahu berapa lama aku tidak sedar sehingga aku terkebil-kebil melihat belakang tanganku yang merah bak saga. Pandanganku kabur, telingaku terasa pekak seperti sewaktu aku menyelam skuba dahulu.

Anggota tubuhku longlai terapung; aku rasa seperti terbenam di dalam agar-agar. Aku cuba mengawal rasa panik yang menyirap seluruh pembuluh darahku tetapi gagal. Jantungku berdegup kencang, aku cuba menghela nafas sedalam yang mungkin tetapi terasa seperti paru-paruku tersekat daripada mengembang.

Ada sesuatu yang menyengkang rahangku, menghalang aku daripada mengeluarkan bunyi. Air mataku mengalir menahan geram, tubuh degilku enggan bergerak seperti yang ku arahkan. Aku terus meronta, memaksa anggotaku untuk bergerak, lari menjauhi ketidakupayaan yang membelenggu diriku. Aku dapat merasakan tangan dan kakiku ditambat, menyimbah minyak ke atas api panik yang mencengkamku.

Sayup-sayup satu bunyi yang menjengkelkan memecah tumpuanku berdenyut seiring dengan nadiku. Di belakang fikiran aku mengecamnya ia sejenis penggera, membuatkan aku menggandakan rontaanku.

"... Kapten ... tenang ... Kapten ..." seorang wanita yang tidak kukenali berulang-kali memanggilku, menggesa agar aku bertenang, suaranya seakan-akan bergema dalam kepalaku. Akhirnya aku menyerah kepada keletihan, otot-ototku dibakar asid laktik.

Sesuatu yang dingin disuntik ke dalam pembuluh darahku, memperlahankan nadiku dan meredakan otot-ototku yang kejang. Aku mula menyedari kerengsaan seluruh permukaan badanku, seperti kulitku terlalu ketat dan pedih.

Wanita itu terus berkata-kata. Sedikit demi sedikit aku mula memahaminya. "... Kapten Zain ... hospital ... tangki ... hayat ... takut ... usah melawan ..."

Sedikit demi sedikit aku menuruti gesaannya dan berhenti meronta. Suara lembut itu memberitahu yang pandanganku kabur kerana retinaku baru pulih akibat letupan kapal angkasaku, kedua belah tangan dan kakiku turut patah, dan alat yang menyengkang rahangku itulah yang membantu aku bernafas dan mendapat zat.

Sekali lagi cecair dingin meluncur di dalam pembuluh darahku dan aku kembali tenggelam tanpa sedar.

19.4.12

Ini bukan kisah Uda dan Dara zaman mak kamu

"Kenapakah cinta kita begitu mencabar, Uda?" rintih Dara Melarat sambil teresak-esak dramatik. Dia pun menyeka air matanya yang luruh bak air terjun Chilling di bahu kemeja-t Uda Durjana yang belabel buaya itu. Dalam hati, Uda Durjana berdoa agar kekasihnya itu tidak mengesat hingus sekali di kemejanya seperti yang pernah dilakukan oleh Dara Melarat.

"Uda pun tak faham. Kenapakah Daddy Dara begitu kasar lagi bila mengetahui nama bapa Uda? I don't understand it." Uda Durjana memeluk Dara Melarat dengan lebih kemas lagi, menikmati keempukan dada Dara Melarat yang montok menyondol dadanya yang kekar. Tak mengapa kalau kena hingus sekalipun, Sunarti kan boleh basuhkan nanti? Dia membenamkan hidungnya di ubun-ubun kepala Dara Melarat, menyedut wangian syampu dan pewarna rambut, mereka berdating setelah Dara Melarat selesai sesi bersama pendandan rambut kesukaannya.

"Mungkin Mummy boleh tolong kita nanti, Uda. Dara akan suruh Mummy kurangkan membeli beg tangan LV untuk bulan ini sebelum dia pujuk Daddy to be more reasonable about our love," Dara Melarat mengangkat wajahnya, bulu mata palsunya bergenang dengan air mata yang tidak tumpah. Buat seketika Uda Durjana merenung wajah kekasihnya dengan penuh rasa takjub: bagaimanakah mekap Dara Melarat masih lagi sempurna walaupun setelah menangis semahu-mahunya? Dia teringat bagaimana wajah bekas kekasihnya menyerupai beruang panda setelah menangis kerana eyeliner dan maskaranya telah cair.

"Kita akan usahakan agar Daddy Dara faham yang we are in love," Uda Durjana mengusap rambut perang berbelak coklat Dara Melarat. Tidak kelihatan lagi akar rambutnya yang hitam; gandingan kulit Dara Melarat yang dicerahkan dengan usaha asid buah alfa hidroksi dan krim SPF 2 juta dan rambutnya yang perang bak JLo itu membuatkannya kelihatan seperti Beyonce Asia yang sungguh comel tanpa peha segagah peha Beyonce.

"And nothing's gonna change my love for you," kata mereka serentak. Dengan serta-merta angin petang membawa runut bunyi lagu George Benson yang kemudiannya dipopularkan oleh Glenn Medeiros di era 80an itu, terima kasih kepada kedai lanun cetak rompak yang terletak bersebelahan Secret Recipe tempat mereka memadu kasih.



12.4.12

Belasungkawa

"And I .... I .... I .... will always ... love you ..."

Mendayu-dayu suara arwahnya Whitney Houston berkumandang dari corong stereoku. Lagu yang digarap oleh Dolly Parton itu dilontarkan dengan lantang dan bertenaga oleh seorang wanita yang kini telah dikebumikan. Tanganku mencapai alat kawalan jauh untuk menurunkan paras bunyi radioku itu.

Sejak kematiannya diumumkan Ahad lalu, lagu-lagu Whitney Houston diputarkan semula oleh stesen-stesen radio. Aku terasa agak geli hati kerana sewaktu hayatnya yang ditenggelami penggunaan dadah, dia sering dirujuk dengan nada menghina. Maklumlah, bila populariti dan bakat merosot dek menyedut kokain, siapa nak julang lagi? Pijak dan sepak lagi ada lah.

Kipas di siling berputar kencang menggerakkan angin petang. Nasib baik flat kediamanku ini dilindungi hotel-hotel ternama di segitiga emas kotaraya ini; panahan mentari petang tak menyinari rumahku. Aku duduk menatap laman muka buku, menyorot pelbagai video Whitney yang dikongsi rakan-rakanku. Ramai yang berkongsi pujian dan kenangan manis bersama arwahnya Cik Houston. Mulutku terukir senyuman sinis; jelas sekali maut membersihkan reputasi dan ingatan sama seperti Clorox memutihkan tuala mandi.

Tetikus di tangan kiriku mengklik laporan kematian Whitney; dia dijumpai lemas .... bla bla bla ... laporan toksikologi hanya akan diketahui sebulan kemudian. Nampaknya CSI alam nyata di Amerika Syarikat tidaklah secekap yang aku tonton di tv. Kalau yang itu, pasti aku akan tahu punca kematian mangsa empat puluh minit selepas kamera merakamkan mayat yang terkujur dengan begitu seni sekali. Aku teringatkan seorang senior aku di universiti yang bengang dengan cara francais CSI menggambarkan betapa glamornya kerja menjadi seorang penyiasat tempat kejadian.

"Kau tau tak, mana ada penyiasat tempat kejadian pakai kasut setinggi tu?" ujarnya sambil menjuihkan bibir ke skrin komputer riba yang memaparkan seorang pelakon berambut perang dan panjang yang sedang mencangkung memeriksa kelongsong peluru di luar rumah mangsa episod ini.

"Kan namanya Hollywood?" balas aku.

"Bukan ke diorang tu berbangga dengan betapa tepatnya set dan skrip mereka? Takkan itu pun tak terfikir? Kalau kerja kena berdiri lama, masuk semak, lecah. Ini lagi dengan rambut lepas berjurai macam tu, tak rimas ke?"

"Rimas pun takpe la ... gaji dia tetap beribu setiap episod," aku menyuap saki-baki Mamee di dalam bungkusan ke dalam mulutku. Jari-jari yang terpalit serbuk perasa itu aku jilat sampai bersih. Biasalah aktiviti  petang Ahad di kolej, menonton episod terbaru siri Hollywood yang dimuat turun dengan jalur lebar universiti.

Salah seorang sepupuku pun masuk universiti memilih jurusan sains forensik akibat terpukau dengan cerita pura-pura Hollywood. Ghairah dia nak mengutip darah, menganalisa sampel mani dan bermain dengan alat-alat cerakin kimia yang terkini. Ya lah tu. Kita tunggu dan lihat. Senior aku tu berkhidmat dengan PDRM empat tahun; lepas dia jadi bini nombor dua Superintenden Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur, terus dia berhenti, duduk rumah jaga anak. Tak payah lagi main dengan HPLC.

Habis saja lagu itu, satu lagi lagu Whitney dimainkan. Aku tersenyum memikirkan bagaimana dahulu aku boleh ikut menyanyi lagu itu dengan penuh perasaan dan gaya, sehinggalah Kak Yong bagi tau aku yang lagu itu ialah lagu kekasih curang. Maklumlah, waktu tu aku bukannya pandai sangat bahasa omputih. Tapi sejak Kak Yong berikan penerangan tu, aku selalu teragak-agak nak ikut nyanyi. Takut nanti aku pula menjadi kayu ketiga perhubungan orang lain. Memang la karut, tapi ada kalanya kita terikut-ikut benda karut, bukan?

Michael Jackson dan Whitney Houston, dua gergasi muzik tahun 80an dan 90an yang tersungkur di bawah himpitan kemasyhuran dan kegagalan mereka menangani kejayaan yang mengawal hidup mereka. Penghujung hidup mereka diwarnai gosip liar dan percubaan untuk mengungkap kembali zaman kegemilangan yang pernah mereka kecapi. Keduanya mati akibat dadah; yang berbeza hanya samada sumbernya daripada doktor peribadi atau pun pengedar dadah mesra di kejirananan mereka. Tapi tiada siapa yang boleh menafikan bakat mereka mahupun kesan mereka atas arena muzik seantero dunia. Setakat ini, aku tak nampak lagi mana-mana artis, mahupun Barat ataupun Timur yang dapat menandingi kehebatan mereka.

Terkadang aku terfikir, adakah kejayaan itu menjadi satu sumpahan kepada mereka? Tapi masih ada ramai lagi orang yang berjaya, tapi tak pula rosak macam tu. Jadi betul lah kata orang tua-tua: usah dengki dengan orang lain, kita tak tau sebenarnya hidup mereka macam mana. Dari luar nampak berkilat dan unggul, tapi dalamnya reput dan berkudis.

Aku kembali mencantikkan laman web syarikat yang sedang aku bangunkan sejak dua hari yang lepas. Memanglah jadi pengendali laman web di kotaraya negara Timur ni tak sehebat mana, tapi kemungkinan untuk aku ditemui lemas dalam kolah rumahku akibat terlebih makan dadah pun tak berapa tinggi. Maklumlah, aku tak berduit nak hisap dadah sampai tahap bintang Hollywood. Lagi pun aku takut nanti mak aku tibai kalau dia tau aku hisap dadah. Ya, itulah fakta sebenar kenapa aku tak mencuba dadah durjana; kerana aku takut dengan mak aku.

Selamat tinggal, Whitney Houston. Terima kasih di atas lagu dan kenangan yang kau bawa satu ketika dahulu. Semoga segala keperitan yang cuba kau lemaskan dengan dadah itu meninggalkan kau buat selama-lamanya.