17.7.12

Main puteri

Aku suka betul lagu ni. Nostalgia gila. Mula-mula aku dengar lagu ni penghujung darjah enam; Kementerian Penerangan (sekarang dah tukar nama lain) buat kebangkitan semula kebudayaan waktu tu. Giat lah televisyen dan radio memainkan lagu-lagu tradisi lama. Entah ada lagi atau tidak rakaman lagu-lagu tu sekarang.



Tapi aku nak cerita sikit pengalaman aku dan lagu ni pada zaman aku tingkatan dua. Persatuan Kebudayaan dan Persuratan Melayu (PKPM) sekolah aku dulu cukup terer buat duit dengan konsert. Tiap kali habis periksa hujung tahun akan ada konsert persatuan tu dan juga Persatuan Debat dan Kesusasteraan Bahasa Inggeris. Persembahan kedua persatuan ini amat dinanti-nanti; waktu inilah yang budak lelaki sekolah berdekatan dapat merasa masuk sekolah kitorang dan cuci mata ngan awek-awek sekolah aku.

Ya, aku dulu sekolah mubaligh. Kitorang semua pompuan. Yang lelaki hanya Pakcik Kantin, Pakcik Tukang Kebun dengan beberapa kerat cikgu lelaki. Yang paling popular ialah Mr Chew, cikgu fizik. Fesyen pakaiannya tegar pada zaman 70'an: seluar ketat tanpa tali pinggang yang lebar di bawah dipadankan dengan kemeja kapas tangan pendek.

Berbalik kepada konsert tadi. Salah satu persembahan konsert PKPM pada tahun itu ialah lakonan semula main puteri. Main puteri (atau ulik mayang) ni adalah satu tradisi masyarakat Melayu pantai timur untuk mengubat orang sakit lemah semangat, kena rasuk dan lain-lain gangguan rohani. Maklumlah, zaman dulu takde Prozac, ubat anti psikotik dan terapi psikiatri macam sekarang.

Dasarnya dalam persembahan ni akan ada Tok Dukun yang akan panggil Puteri Tujuh (dari Laut China Selatan?) untuk datang mengubat pesakit. Bila diseru dengan nyanyian, kemenyan dan gusiran mayang kelapa, Tuan Puteri akan datang kepada Tok Dukun yang akan menjadi konduit bagi mengusir makhluk yang membuatkan pesakit tu bermasalah. Aku pun tak berapa faham mekanismenya. Boleh cari maklumat lanjut di sini, sini, sini, dan sini. Habis dah berubat, Tok Dukun akan jemput Tuan Puteri untuk balik dengan ucapan terima kasih. Lazimnya ada persemahan sekali waktu berubat tu, kira macam upah Tuan Puteri tu. Biasa yang disemahkan pulut kuning, ayam golek dan sebagainya.

Kira-kiranya, PKPM tahun tu buat persembahan yang boleh tahan aslinya. Aku rasa yang tak ada cuma semah makanan tu. Tapi mayang kelapa ada, kemenyan pun pakai. Dan Tuan Puteri memang datang betul.

*sengih*

Diorang buat latihan untuk konsert tu dari sebelum waktu periksa lagi. Semenjak dua menjak diorang buat praktis kat dewan, ada member aku kata diorang seram pergi bilik air. Aku rasa paling seram kat bilik air tu pasal baunya: sungguh mengerikan. Kalau tak terpaksa, memang aku tak pergi punya. Tapi aku gelak-gelak aje, kata yang diorang rasa ngeri pasal budak sekolah pagi tak reti basuh tandas. Ala, imaginasi berlari liar je. Waktu tu memang syok sakat budak penakut kelas aku.

Tapi aku berhenti gelak bila periksa satu hari tu. Aku pun tak ingat paper apa, tapi aku ingat yang Guru Penolong Kanan Sekolah Petang tu yang jaga exam kat kelas aku. Nama aku mula dengan huruf "S" jadi aku duduk paling belakang sekali lepas meja semua kena susun. Aku cukup hairan kenapa cikgu tu asyik datang kat meja aku. Berkali-kali dia mundar-mandir tapi dia asyik datang kat meja aku. Aku letak pen, dongak kat dia dan tanya, "Yes, Puan A?"

Dia ingat aku nak tiru ke?

Air muka dia berubah dan dia geleng kepala. Dia bagi isyarat suruh aku habiskan jawab soalan periksa tu. Tapi dia asyik datang balik kat meja aku sampai penghujung waktu. Habis dah serahkan kertas periksa, kitorang pun borak-borak la; ada yang mengeluh exam susah, ada yang gloating suka gila semua yang dia tembak baca keluar.

Tiba-tiba, ada member aku yang duduk baris depan sergah, "Hei, tadi kau nyanyi-nyanyi ya?"

"Bila? Lepas exam tadi tu ada la," aku jawab. Memang pun aku nyanyi "I Want to Break Free". Ranap lagu arwah Freddie Mercury aku kerjakan.

"Bukan. Waktu exam tadi."

"Ha ah," ada sorang lagi mencelah. "Aku dengar orang nyanyi dari arah meja kau."

"Korang ingat aku gila apa nak nyanyi waktu periksa," aku menafikan.

Lepas tu sorang demi sorang member aku yang duduk kat baris depan dengan tengah kelas kata yang diorang dengar orang nyanyi kat belakang kelas waktu periksa tadi. Semua kata yang bunyi orang menyanyi tu datang dari arah meja aku.

"Entah-entah korang dengar budak PKPM tu praktis kat dewan tak?" aku duga.

"Mana boleh diorang praktis waktu exam," pintas lagi satu kawan kelas aku. Dia pengawas, jadi dia taulah benda-benda ni.

Tapi tak seorang pun budak yang duduk kat belakang dengar bunyi orang menyanyi tu. Semua yang dengar suara tu kata yang bunyinya macam perempuan, suara dia lembut dan manis, tapi yang dinyanyikannya itu tak berapa jelas. Lepas tu ramai budak yang dengar suara tu naik takut.

Nak dikisahkan, ada kejadian susulan lepas insiden nyanyi tu. Ketua kelas aku pergi tandas. Tak sampai seminit dia muncul balik, menggeletar. Dia minta orang tolong temankan dia; dia kata kat tandas tadi bau kemenyan, tapi takde orang selain daripada dia. Nak menangis dia tahan kencing dan pujuk kitorang temankan dia.

Habis periksa kitorang pergi sekolah juga; tunggu dapat report card. Waktu itulah kitorang ada kes budak histeria la, nampak bayang orang lain kat cermin walaupun dia sorang-soranglah, dan macam-macam lagi. Nasib baik Pakcik Tukang Kebun kitorang tu ada bakat menyembuhkan orang; bila ada budak mula jerit-jerit, dialah yang kena panggil.

Akhir aku dengar pihak sekolah panggil Ustaz mana entah untuk tolong "bersihkan" keadaan. Dia kata yang budak PKPM buat persembahan tu, Tuan Puteri tu datang betul. Tapi diorang tak reti nak hantar dia balik. Jadi Tuan Puteri tu lepak-lepak kat sekolah kitorang, usik-usik budak yang lemah semangat. Aku tak taulah nak percaya apa, tapi dalam Islam, kita kena percaya ada benda ghaib yang wujud sama dengan kita yang kita tak nampak. Kita tak boleh takbur dan kata tak takut. Belum jumpa, belum tau, betul tak?

Korang ada cerita lain nak kongsi?

4 ulasan:

  1. meremang-remang bulu roma aku baca ni..

    BalasPadam
  2. Hehehe ... ada bakat tak aku buat cerita seram?

    BalasPadam
  3. LOL... ala dewan byk citer mantel hehehe.. kata si nun tu buang anak luaq nikah, tanam kat tapak dewan tuh macam-macam. pastu tu pi sekolah mrsm lak.. lagi mantel, serangan histeria dll. Pastu pi matriks mara ukm kat seremban.. ada budak siap nampak berdepan lagi.. dia dok kat tepi kati wakakaka..bengong tul

    BalasPadam
  4. Aku satu je.. bau toilet yg biasa mcm tak basuh taklah seram.. tp kalau bau mcm byk lipas kat situ.. alamat mmg tak jadi masukla LOL. Itula yg tak menahan.. takuts woo.. gelis giler ngan menatang yg kaki 6 dan sukala kalau terbang tu terbang kat orang.

    BalasPadam

Tokok-tambah