Memaparkan catatan dengan label Sisipan realiti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sisipan realiti. Papar semua catatan

17.11.15

Mendana Keganasan Selepas 9/11

Tiada Kumpulan Pengganas Dapat Hidup Tanpa Biaya Kewangan Sesuatu Negara - Pakar Ekonomi Keganasan

Masa Penerbitan: 15 Disember, 2014 06:28
Masa Penyuntingan: 16 Disember, 2014 06:46

Terjemahan daripada rencana asal. Gaya bahasa mungkin ganjil kerana ini adalah transkrip sebuah rancangan wawancara.

Organisasi pengganas tidak banyak berbeza dengan perniagaan, dan ia berkos tinggi — organisasi itu memerlukan senjata, bekalan dan setiap rekrut perlu diberi makan dan peralatan; semuanya memerlukan biaya. Tapi dari manakah organisasi pengganas mendapat wang mereka? Bagaimanakah keganasan didana? Bolehkah jihad dilaksanakan tanpa sokongan kewangan yang besar? Dan bolehkah sesuatu organisasi pengganas berdiri atas kaki mereka sendiri? Kami mengajukan soalan-soalan ini kepada pengkaji ekonomi dan pakar pembiayaan keganasan, Loretta Napoleoni, di Sophie&Co hari ini.
Ikuti @SophieCo_RT

Sophie Shevarnadze (SS): Loretta Napoleoni, pakar ekonomi, penulis, pakar pembiayaan keganasan. Selamat datang ke rancangan kami, gembira dapat bersama anda. Anda pernah menyebut kewujudan sistem ekonomi yang anda gelarkan “ekonomi aktiviti keganasan” yang selari dengan sistem ekonomi yang lazim. Menurut anda, ia bernilai $1.5 trilion — dan itu sebelum peristiwa 11 September. Saya tertanya-tanya, berapa besarkah ekonomi keganasan ini pada hari ini.

Loretta Napoleoni (LN): Pada anggaran saya, ia kini 5% lebih besar berbanding sebelum 9 September. Malah, pengedaran wang ini sangat berbeza sekarang. Ada lebih banyak aktiviti di negara-negara Islam berbanding sebelum ini. Kebanyakan wang ini mengalir dalam bentuk tunai dari satu tempat ke tempat lain; dahulu ia bergerak melalui sistem perbankan antarabangsa yang biasa. Jadi sekarang ada banyak perbezaannya.

SS: Baiklah, kita akan meneroka perbezaan ini secara terperinci sebentar lagi, tapi saya ingin memahami gambaran yang lebih menyeluruh di sini — selain daripada penjualan dadah dan senjata, juga penyeludupan berlian, adakah aktiviti keganasan juga melabur dalam perusahaan perniagaan yang lazim?

LN: Ya. Sebenarnya lebih kurang satu pertiga ekonomi aktiviti keganasan berkait rapat dengan pergerakan ekonomi yang sah. Kedua-duanya saling berurus niaga dengan satu sama lain. Saya berikan contoh — apa yang sedang berlaku dengan industri gandum di Iraq. Pihak kerajaan membeli kesemua gandum yang dihasilkan di sana dan mengawal harganya demi memastikan harganya di bawah paras tertentu. IS mengawal lebih kurang 40% hasil gandum di Iraq. Jadi, kerajaan Iraq sebenarnya membeli gandum dari kawasan-kawasan yang dikuasai oleh IS. Ini adalah contoh baik bagaimana sebuah kerajaan yang sah sebenarnya berurus niaga dengan organisasi pengganas.

SS: Sebentar lagi kita akan berbincang tentang hubungan keganasan dan pembiayaan kerajaan, tapi sebelum itu saya mahu berkongsi satu lagi contoh. Saya pernah menemuramah seorang tukang adu HSBC yang membongkar amalan pengubahan wang haram yang turut digunakan untuk mendana organisasi pengganas — mungkin anda pernah mendengar kisah ini, kerana ia mendapat liputan meluas. Adakah ahli perniagaan yang berurusan dengan aliran tunai ini tidak peduli dari mana datangnya wang ini?

LN: Sememangnya. Saya rasa ekonomi dunia sekarang sedang mengecut; banyak negara mengalami kemelesetan, dan ada negara yang menuju ke arah deflasi. Jika seseorang datang membawa wang tunai mencari peluang pelaburan — anda tidak akan bertanya dari mana datangnya wang itu. Jadi, ekonomi tunai sebenarnya telah mengembang dengan pesat sejak 2008, dan ekonomi pasaran gelap juga telah pesat mengembang sejak 2008.

SS: Anda juga berkata yang selepas Patriot Act diwartakan, perniagaan yang didana oleh aktiviti keganasan telah berpindah dari Amerika Syarikat ke Eropah, bertukar daripada urusniaga  dalam dolar ke Euro. Boleh anda huraikan? Di manakah organisasi keganasan menyorokkan wang mereka sekarang?

LN: Selepas peristiwa 11 September, setiap urus niaga dalam dolar Amerika dipantau oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat di bawah Patriot Act — jadi orang yang tidak mahu pihak berkuasa A.S. mengetahui berapa banyak wang yang mereka miliki atau apa yang mereka lakukan dengan wang itu — tidak semestinya mereka ini ada kaitan dengan organisasi keganasan — membuat keputusan untuk mengalihkan wang mereka keluar daripada zon dolar ke Euro. Ini menjelaskan mengapa nilai matawang Euro meningkat secara mendadak daripada tahun 2001 sehingga 2005. Selepas itu, dunia dilanda krisis kewangan 2007-8 yang telah menghentam dolar dan Euro. Hari ini, hanya sedikit pendanaan keganasan yang berlangsung di zon Euro ataupun zon tradisi dolar. Semua urus niaga adalah dalam bentuk tunai dan di luar sistem perbankan antarabangsa secara mutlak. Jadi kita tidak tahu bagaimana untuk mengesan aliran dana ini seperti dahulu.

SSBoleh anda terangkan apabila anda kata yang pembayar cukai adakalanya mendana keganasan tanpa pengetahuan mereka? Bolehkah saya menjadi penaja keganasan? Bolehkah anda beri contoh yang lebih tepat?

LN: Salah satu contoh yang saya gunakan dalam buku saya ialah apa yang berlaku di Ireland Utara semasa zaman IRA. Pihak IRA menguasai setiap sistem pengangkutan swasta dan milik persendirian di sana; jadi setiap kali anda menaiki teksi, anda sebenarnya mendana IRA tanpa anda sedari. Satu lagi contoh ialah pembayar cukai di negara-negara yang mendana organisasi bersenjata. Sebagai contoh, hari ini di Amerika Syarikat, dan juga di Eropah, kita terlibat dengan beberapa kumpulan yang menentang IS di Syria dan Iraq — jadi wang yang disalurkan ke sana untuk membeli senjata, atau membantu mereka dalam usaha mereka untuk menentang IS sebenarnya datang daripada poket kita. Beberapa kumpulan ini, misalnya PKK, masih dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat dan juga Turki. Keadaan ganjil ini di luar jangkaan kita, kerana wajah peperangan telah berubah dengan ketara sejak tamatnya Perang Dingin.

SSSekarang ini, apakah masalah utama yang dihadapi oleh mana-mana kumpulan pengganas? Mencari duit ataupun ideologi? Apakah yang menjadi keutamaan kepada mereka?

LN: Mencari duit ialah keutamaan mereka kerana tanpa wang, apa pun tidak boleh berjalan. Ideologi sentiasa berputar sebagai bunyi latar. Ianya penting untuk merekrut — IS adalah contoh yang baik bagaimana ideologi digunakan secara moden dan pragmatik untuk membina sebuah negara. Ia menarik penyokong dari seluruh pelusuk dunia — tapi usaha ini tidak dapat menyokong kemandirian aktiviti keganasan, ataupun perjuangan untuk menakluk wilayah baru. Apa yang menyokong aktiviti ini adalah pengeluaran ekonomi -- lebih kurang sama seperti GDP sesebuah negara -- dalam wilayah yang dikuasai oleh organisasi tersebut.

SS: Bagaimana pula dengan dana yang mereka kutip, adakah wang itu digunakan untuk urus niaga atau untuk memastikan kelangsungan ideologi mereka?

LN: Oh, wang itu adalah untuk perniagaan. Ideologi mereka didukung oleh kewujudan dan pentadbiran wilayah mereka. Wilayah ini diuruskan sama seperti mana-mana kerajaan dalam dunia. Sebagai contoh, mereka ada mahkamah Islamik untuk menguruskan aduan masyarakat, ada pentadbiran, dan birokrasi yang menyokong urusan rakyat seharian. Mereka yang tinggal di wilayah IS menjalankan urusan seharian mereka dan membayar cukai sama seperti rakyat negara lain, dan wang ini disalurkan ke IS. Pada masa yang sama, mereka memberikan perkhidmatan kepada rakyat di bawah payung fahaman Salafi, dan ini membantu mereka untuk memantapkan penerapan ideologi mereka.

SS: Tapi bukankah ini boleh dikatakan sama untuk semua organisasi pengganas? Saya bertemu seorang wartawan yang telah mengikuti militan Islam di Syria; dia tidak pula bercerita tentang urus niaga kewangan — menurutnya, hampir segenap lapisan ahli kumpulan yang dijumpainya sangat bersemangat untuk menegakkan undang-undang Islam.

LN: Ya. Pada amatan saya, mereka yang menyertai organisasi seperti ini bukan mengejar keuntungan kewangan. Kita bukan bercakap tentang tentera upahan di sini. Kita maksudkan mereka yang digoda untuk menyertai — godaan sebenar kerana bagi remaja Islam yang tinggal di Barat, yang merasa tersisih daripada aliran normal masyarakat setempat, tiba-tiba menerima pelawaan dari IS, “Marilah bantu kami membina sebuah negara baru, datang dan bantulah kami membina sebuah utopia politik Islam” — sesuatu yang diusahakan masyarakat Islam sejak berkurun tetapi sering menemui kegagalan. Mereka ini tidak digerakkan oleh keuntungan, tetapi ideologi. Tapi untuk mencapai tahap ini, IS harus membina kedudukan mereka, dan mereka melakukan ini dengan wang.

SS: Bagaimana pula dengan tajaan oleh kerajaan tertentu? Misalnya, Taliban disokong oleh Pakistan, pihak Contra di Nicaragua oleh Amerika Syarikat. Dana dari negara Teluk disalurkan ke Syria, Iran adalah rakan Hezbollah — adakah keganasan boleh wujud tanpa tajaan mana-mana kerajaan?

LN: Sangat sukar untuk keganasan wujud tanpa tajaan sesuatu kerajaan. Secara amnya, pasukan bersenjata yang kita bincangkan di sini didana oleh sesuatu kerajaan atau organisasi, mahupun orang persendirian yang sangat kaya. Dalam kes pejuang Mujahidin, kita tahu yang CIA terlibat, begitu juga Arab Saudi — jadi sesuatu organisasi keganasan itu boleh ada lebih daripada satu penaja. Bila kumpulan itu sudah bertapak, jika ia cekap dan bijak, ia boleh menswastakan ‘perniagaan keganasan’; yakni mencari jalan menampung pembiayaan dirinya sendiri. Inilah yang telah terjadi dengan IS. Daripada 2011 ke 2013, ia ditaja oleh beberapa negara, contohnya Arab Saudi, Kuwait dan Qatar — bila ia sudah bertapak di wilayah tersebut, ia mengubah pendekatan kepada mengawal dan menswastakan 'perniagaan keganasan', jadi ia pun mula menguruskan sumber strategik bersama dengan penduduk setempat dan lama-kelamaan, ia tidak memerlukan dana dari luar lagi. Bila ini berlaku, organisasi keganasan itu boleh bertindak secara bebas dan tidak lagi mengikut telunjuk sesiapa pun.

SS: Saya tertanya sekiranya kita boleh menjejak siapa yang mendana kumpulan ini ... misalnya negara Teluk seperti Arab Saudi dan Qatar sering dituduh menjadi pendana keganasan. Tetapi, siasatan seringkali menunjukkan yang sumber kewangan ini banyaknya datang dari dana persendirian — adakah mungkin untuk kita menjejak individu terbabit, ataupun adil untuk menuduh kerajaan negara-negara tersebut, jika wang itu adalah daripada orang perseorangan?

LN: Dahulu kita boleh menjejak wang itu dengan mudah; misalnya sewaktu isu kontra Iran, dan menyurih bukti bahawa keputusan mendana kontra tersebut melalui jualan senjata api kepada Iran itu dibuat oleh Rumah Putih. Ini pada era 1980-an, pada zaman pemerintahan Reagan. Sekarang memang sukar untuk menjejak dana dengan cara yang sama kerana wang ini bergerak dalam bentuk tunai daripada Arab Saudi kepada sesiapa yang menjadi rakan IS yang aktif pada 2011-2012. Menjejak wang tunai adalah hampir mustahil. Dahulu ianya lebih mudah kerana aktiviti pendanaan seperti ini tidak banyak melibatkan wang tunai.

SS: Sekiranya saya seorang pengganas, bagaimanakah cara terbaik untuk mendapatkan lebih banyak dana? Adakah kemasyhuran negatif ('notoriety') penting untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak persendirian? Adakah perlu untuk menjadi lebih kejam atau jahat daripada pengganas yang lain untuk menarik perhatian jutawan Teluk agar mereka mula menghantar wang kepada saya?

LN: Sudah tentu jika anda lebih terkenal, anda akan menarik lebih banyak sumbangan. Saya rasa tidak perlu untuk menjadi lebih kejam ataupun ganas. Saya rasa anda perlu menjadi lebih cekap — dan inilah yang berlaku kepada IS. Strategi mereka sangat menarik kerana mereka tidak menyerang tentera Assad, mereka menyerang kumpulan jihadi yang lain — ini menaikkan nama mereka di kalangan pergerakan jihadi, kerana mereka nampak lebih kuat, lebih terurus, lebih gagah, jadi pejuang daripada kumpulan lain pun mahu menyertai mereka. Para penaja pula berfikir, “Oh, kumpulan ini sangat bagus, lebih hebat daripada yang lain, mari kita menderma kepada mereka.” Kemasyhuran negatif melalui Internet juga turut membantu. Organisasi ini sangat popular di Internet, kerana mereka sangat berjaya dan mereka dapat lebih banyak sumbangan daripada penyokong dan pesimpati dari seluruh dunia.

SSBila keganasan sayap kiri naik pada era 70-an, sebenarnya kumpulan pengganas daripada pelbagai negara berkait rapat antara satu sama lain, dari Ireland ke Jerman Barat, ke Palestin dan Jepun — bagaimana pula keadaannya sekarang? Adakah kumpulan pengganas ini bersaing antara satu sama lain, seperti syarikat? Kita lihat rengkahan antara Al-Qaeda dan IS. Adakah ini bukti mereka adalah pesaing di pasaran yang sama?

LN: Sudah tentu. Saya rasa situasi sekarang sangat berbeza berbanding 1970-an, kerana tiada lagi Perang Dingin. Sewaktu 1970-an rata-rata kumpulan pengganas adalah organisasi Marxist — Briged Merah misalnya, PLO, termasuk juga ETA, IRA — yang menentang penjajahan di Barat*. Mereka saling berkait rapat dan bantu-membantu; misalnya membeli senjata bersama secara pukal untuk menjimatkan kos. Hari ini, situasinya berbeza kerana ada persaingan sengit dalam pergerakan jihadi itu sendiri. Ini adalah hasil corak masyarakat sekarang. Segalanya bertumpu kepada diri sendiri membuatkan masing-masing mencari kelebihan untuk diri sendiri, termasuklah kumpulan pengganas. Al-Qaeda memang memandang negati terhadap IS — jangan lupa yang IS berasal daripada kumpulan Al-Zarqawi yang ditubuhkan pada 2003, yang tidak disukai Al-Qaeda kerana perbezaan strategi dan polisi. Tapi sekarang, boleh dikatakan bahawa IS telah mengalahkan Al-Qaeda dalam senarai organisasi jihadi yang utama. Maksud saya, mana-mana anak muda sekarang yang mahu pergi berjuang akan menyertai IS dan bukannya Al-Qaeda. 

SS: Nampaknya ada usaha penjenamaan semula di sini, daripada Al-Qaeda di Iraq ke ISIL, ke ISIS, ke IS — adakah ini sebahagian daripada strategi pemasaran? Adakah penjenamaan semula ini sebahagian daripada strategi perniagaan juga?

LN: Ya, sudah pasti. Penjenamaan semula ini adalah satu strategi asas yang utama. Apabila Al-Baghdadi mula-mula menjadi ketua apa yang digelarkan “Al-Qaeda di Iraq” pada 2010, dengan segera dia menukar nama ini kepada nama asalnya, iaitu “Kerajaan Islam di Iraq”. Dia berbuat begini kerana dia mahu menjarakkan diri daripada Al-Qaeda yang sangat tidak disukai di wilayah Sunni Iraq, dan begitu juga di Syria. Jadi, mereka menjenamakan diri mereka untuk membentuk satu identiti baru. Kemudian, bila mereka bergabung dengan Al-Nusra, yang ada kaitan dengan Al-Qaeda di Syria, penjenamaan ini diulang menjadi “Kerajaan Islam di Iraq dan Al-Sham”, iaitu nama Arab untuk Syria. Sekali lagi mereka menjarakkan diri daripada Al-Qaeda. Penjenamaan semula yang paling terkini, yang mungkin juga yang terakhir, ialah “Kerajaan Islam”, sama seperti kekhalifahan yang dibina oleh Nabi Muhammad pada kurun ke-7M. Sekarang mereka telah membentuk sebuah negara, dan ianya diberi nama Kerajaan Islam. Penjenamaan yang sangat ringkas, sangat kukuh dan sangat berkesan.

SS: Jadi bila ISIS memulakan kempen hubungan awam yang menonjol -- hingga muncul “ISIS cats” yang terkenal di Twitter, dan mereka juga menghasilkan video bermut -- sebenarnya mereka memancing sumbangan dan rekrut, betul atau tidak?

LN: Ya, mereka memancing sumbangan, memancing rekrut, dan menggunakan media untuk menggerunkan khalayak — jangan lupa yang tujuan utama pengganas ialah untuk menakut-nakutkan kita, kerana bila kita takut, kita tidak akan bertindak secara rasional dan seterusnya, merasakan yang musuh kita adalah lebih kuat daripada sebenarnya. Mereka menggunakan media sosial untuk tujuan ini. Itulah sebabnya kita dapat lihat hukuman mati yang kejam seperti pemenggalan kepala di media sosial, kerana itu akan menggerunkan kita.

SS: Menurut siasatan Newsweek bulan lepas, IS memperoleh sehingga 2.5 juta dolar dalam hasil minyak -- jualan minyak -- setiap hari. Siapa yang membeli minyak itu? Saya telah bertanya beberapa pakar, tapi tidak seorang pun dapat memberikan jawapan konkrit. Adalah minyak mustahil untuk dijejak juga?

LN: Tidak, kita boleh mengesannya, kita tahu dengan tepat ke mana perginya minyak itu. Minyak itu disalurkan sama ada ke Turki atau ke selatan Syria. Ianya dijual dalam lot kecil, bukan melalui saluran paip minyak biasa, tapi memang benar hasilnya bernilai dalam 2 ke 2.5 juta dolar sehari, bergantung kepada betapa mudah untuk menyeludupnya. Ianya dibeli oleh orang tempatan yang kemudian menjualnya semula dalam lot dan kuantiti yang kecil. Adalah mustahil untuk menyekat penyeludupan seumpama itu kerana kita tidak mengawal wilayah tersebut. Anda mungkin menganggap, “Bukankah Turki mengawal sempadan mereka?”, tetapi sempadan di antara Syria, Iraq dan Turki adalah sangat luas, dan kebanyakan penyeludupan berlaku di atas air, yakni sungai. Ini menambah kesukaran untuk mengesannya. Di kawasan selatan, memang sukar untuk mengawasi sempadan di sana kerana wilayah itu tidak dikawal oleh pihak berkuasa yang sebenar. Banyak wilayah di sana sedang dilanda anarki politik, jadi apakah cara untuk kita menjejaknya? Bagaimanakan ianya boleh disekat?

SS: Anda menyatakan bahawa IS ialah satu model baru untuk membina negara, anda sebut yang ianya mengawal 40% hasil pengeluaran gandum. IS berkelakuan seperti sebuah negara. Ia memonopoli keganasan, ia mempunyai ekonominya sendiri. Tapi berita melaporkan yang penduduk tempatan wilayah tersebut tidak mampu membayar untuk makanan atau air atau ubat-ubatan ataupun elektrik, manakala para pejuang — mereka pula hidup mewah. Benarkah organisasi keganasan boleh membina sebuah negara yang berfungsi? Apa pendapat anda?

LN: Menurut sumber saya, sebenarnya, saya tidak percaya yang para pejuang hidup mewah. Saya rasa itu tidak benar. Sebenarnya bayaran IS kepada pejuang mereka  adalah lebih rendah daripada yang diterima oleh pejuang Al-Qaeda ataupun Taliban. Saya rasa kita sedang menyaksikan sesuatu yang amat menakutkan — peralihan sebuah organisasi bersenjata kepada sebuah negara sebenar. Peralihan ini berlaku dengan menguruskan wilayah yang mereka kuasai seperti sebuah negara sebenar — ada pentadbiran, bahagian birokrasi dan juga sektor ketenteraan. Kedua sektor ini adalah terpisah dan ditadbir urus dengan berbeza. Rakyat biasanya berurusan dengan bahagian pentadbiran dan birokrasi IS. Mereka sedang membaiki prasarana, mewujudkan undang-undang dan ketenteraman, malah memberikan pelalian polio kepada kanak-kanak. Sebenarnya, mereka sedangkan mewujudkan satu bentuk kehidupan normal dan tenteram di wilayah yang telah mengalami kesengsaraan perang sejak sekian lama, dan mereka melakukannya kerana mereka mencari sokongan — hanya dengan sokongan ini dapat mereka membina negara ini, dan inilah yang sedang mereka usahakan.

SS: Baiklah, begitulah suatu tinjauan yang menarik dalam kehidupan biasa di wilayah yang dikuasai oleh pengganas. Terima kasih atas perkongsian ini. Kita tadi berbual dengan Loretta Napoleoni, pakar ekonomi keganasan. Kita telah berbincang tentang bagaimana keganasan didana pada masa kini dan bagaimana ia berkait rapat dengan pembiayaan daripada kerajaan dan perniagaan. Setakat ini sahaja edisi Sophie&Co pada hari ini, kita berjumpa lagi di lain hari.


*Briged Merah mahukan kerajaan Komunis di Eropah. 
PLO (Palestine Liberation Organisation) menuntut kemerdekaan Palestin. 
ETA (“Euskadi ta Askatasuna” atau Kemerdekaan Negara Basque) adalah pejuang pemisah yang mahukan negara Basque yang merdeka daripada Sepanyol. 
IRA (Irish Republican Army) adalah pasukan bersenjata yang meahukan kemerdekaan Ireland Utara daripada pemerintahan United Kingdom.

20.5.15

Nakalkah nafsu?

Aku tak berapa menyukai puisi. Pemikiranku telus, tiada simpang siur. Aku tak tahu menghargai pembayang dan metafora. Jiwaku tiada ketidakteraan (subtlety) untuk membaca yang tersirat di antara garisan. 

Tapi aku suka pantun. Aku sukakan rentak bahasanya, aku sukakan irama suku katanya. Aku hanya menghargai kehalusan makna tersirat dalamnya bila menghadiri satu kuliah Allahyarham Pak Tenas Effendy tentang kesantunan Melayu. Itulah kali pertama aku menghadiri kuliah yang membuka mata jiwaku sehingga terpaksa mengesat air mata.

Pembacaanku dalam bahasa ibundaku terlalu terhad. Aku tidak pernah tahu nilai erotis yang wujud dalam kesusasteraan Melayu. Mungkin kerana aku dibesarkan dalam suasana pembudayaan keIslaman yang condong ke Asia Barat dan menenggelamkan estetika budaya leluhurku yang dianggap "rosak" ataupun lucah. 

Sesungguhnya satu-satunya pembacaan bahasa ibundaku yang menyentuh perkara seksual secara langsung adalah satu buku lucah yang dipinjamkan oleh kawan sekelasku. Buku itu tiada penerbit, sekadar satu salinan fotokopi yang dijilid tanpa kulit muka. Sungguh tak stim baca buku lucah bila terpaksa cari makna perkataannya dalam kamus, tau! Tapi kalau bahasa Inggeris, cukup pula perbendaharaan kata-kata lucahku. =P

Pertemuanku dengan Cik Puan Zalina Abdul Aziz, pencoret hikayat Nusantara yang tersohor itu, membenih bibit ingin tahu akan kesusasteraan lama bahasa ibundaku yang kian luput. Beliau memberitahuku bahawa penulisan lama mempunyai nilai erotis yang tinggi. Aku tak ingat tajuknya, tapi ada hikayat yang mempunyai satu perenggan yang bertumpu hanya kepada cumbuan! Itu belum termasuk babak rangkulan dan ... dan ... apa-apalah seterusnya. Kalah penerbitan Ellora's Cave!

Menurutnya lagi, penglipur lara silam menghargai kepentingan eros dalam menggalakkan penceritaan dan membangunkan watak. Masyarakat Melayu dahulunya tidak kolot perihal nafsu dan seksualiti. Tapi ini mula terhakis bila pembudayaan Arab semakin menular sejak tahun 70an di sini. Sayang seribu kali sayang.

Tuan Suhaimi, sahabatku mukabuku aku dari Kota Singa, seorang budayawan, penyair dan pengkaji persenjataan Melayu, telah memperkenalkanku kepada pantun erotis bahasa ibundaku. Alangkah menakjubkan! Berikut antara perkongsian beliau:




Nyiur gading di tepi halaman
Buah setandan masak kemirau
Tidur sepicing mimpikan tuan
Kononnya tuan datang bergurau


Anak cindai anak serasah
Ketiga anak rakam keling
Kalau diampai bertambah basah
Kalau direndam bertambah kering

Kain dicelup akan kesumba
Direndam lama jadi pelangi
Tuan dipeluk lalu diriba
Puaslah dendam selama ini

Kain selerang kain pelikat
Payung terkembang tengah hari
Sungguhlah abang pandai memikat
Burung terbang menyerah diri

Kalau ada kain berkampuh
Apalah guna kain selerang
Kalau ada angin merempuh
Takkanlah bunga tak mau kembang

Tengah malam mimpikan bulan
Mimpi dipagar bintang tujuh
Tengah malam mimpikan tuan
Mimpi bertukar kain ditubuh

Rumah besar digoncang bayu
Atap ijuk dindingnya papan
Tuan umpama kain baju
Tidaklah luput dari badan

Hilir labuh mudik labuh
Akan jinjing sarang tempua
Huraikan rambut yg labuh
Akan payung kita berdua

Jikalau tuan pergi ke laut
Bawa balik ketam bertelur
Kalau tuan menjadi rambut
Biar saya suntingkan melur

Melapuh kaki ku terkena tunggul
Tunggul besar ditengah padang 
Gelusuh hati ku melihat sanggul
Sanggul besar bunga bergoyang

Terbang burung di gunung ledang
Anak undan gugur bulunya
Kalau boleh pinjam selendang
Abang rindu akan baunya

Sedap baunya kenanga hutan
Tarik akar jalinkan lantai
Sedap baunya adinda tuan
Lekat dikain kekanda pakai

Hilir labuh mudik labuh 
Akan jinjing sarang tempua
Huraikan rambut yg labuh
Akan payung kita berdua

Wajah ayu si bujur sireh
Kulit berseri si kuning langsat
Hati ku sayu bercampur sedih
Sudah ku beri tidak ku dapat

Kening lentik rambutnya ikal
Baju biru berleher jinjang
Wajahnya cantik senyumnya nakal
Terbayang hamba hingga ke ranjang

Pinggang ramping bagai kerengge
Pipi merah pauh di mayang
Tiada boleh mencari lega
Tidur malam terbayang-bayang

Aku masih meneliti kedalaman makna dan menafsir perutusan pantun-pantun ini yang tersurat dan tersirat. Apa yang pasti ialah budaya sastera masyarakatku sebenarnya sangat tinggi kehalusan estetika bahasanya hingga berjaya menukil yang nakal dengan kata-kata yang lunak. Kehangatan dan keghairahan yang disampaikan tidak tawar sekalipun ayat dikias berlapik. 

Terima kasih, Tuan Suhaimi Nasrain.


30.9.14

Merit dalam meritokrasi neoliberalisme


Neoliberalisme menyerlahkan kejahatan dalam diri kita
Sistem ekonomi yang memberi pulangan kepada ciri personaliti psikotik telah mengubah sistem etika dan personaliti kita
o    Paul Verhaeghe, PhD, adalah seorang Profesor Kanan di Universiti Ghent dan pemegang Kursi Jabatan Psikoanalisis dan Psikologi Kaunseling di universiti tersebut. Beliau telah menerbitkan lapan buku, lima daripadanya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris.
o    theguardian.com, Isnin 29 September 2014 09.00 BST

Nota: Saya menterjemah rencana ini kerana saya merasakan yang ia merumuskan dengan ringkas intipati masalah kemasyarakatan yang dihadapi oleh masyarakat Barat pada masa ini. Penulis asal adalah seorang warga Belgium dan Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertama beliau. Beliau juga menulis daripada sudut pandangan seorang warga Eropah Barat dan mungkin menggunakan rujukan yang asing dengan isu masyarakat Malaysia. Saya minta maaf jika ada kesilapan dalam penafsiran mesej dalam terjemahan saya.


Kita biasa menganggap bahawa identiti kita adalah stabil dan tidak diusik oleh pengaruh luar. Tapi kajian beberapa dekad dan pengalaman dalam rawatan psikologi telah meyakinkan saya bahawa perubahan ekonomi mempunyai kesan yang mendalam bukan sahaja atas prinsip yang kita pegang, malah juga atas keperibadian kita. Amalan neoliberalisme, tekanan pasaran bebas dan penswastaan selama tiga puluh tahun telah mengubah masyarakat kita; tekanan tanpa henti untuk mencapai kejayaan telah menjadi sesuatu yang lazim. Jika anda membaca rencana ini dengan rasa skeptikal, saya ingin mengunjurkan kenyataan ringkas ini kepada anda: meritokrasi neoliberalisme memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai beberapa ciri personaliti dan menyisihkan yang lain.

Ada beberapa ciri-ciri ideal yang diperlukan untuk membina kerjaya yang cemerlang pada hari ini. Yang pertama ialah kepetahan dan kepandaian bercakap untuk memenangi hati seramai mana orang yang boleh. Perhubungan seperti ini mungkin dangkal pada dasarnya, tapi memandangkan kebanyakan interaksi manusia masa kini memang sedemikian, ianya tidak akan diambil peduli.

Kebolehan untuk menjaja keupayaan diri sendiri setinggi yang boleh adalah penting - anda kenal ramai orang berpengaruh, anda mempunyai banyak pengalaman dan telah baru-baru ini menamatkan satu projek yang besar. Selepas itu, mungkin orang akan mendapati bahawa ini semua adalah rekaan atau kisah yang diperbesar-besarkan sahaja, tapi hakikat yang mereka telah tertipu dengan cerita anda telah menunjukkan kebolehan anda untuk berbohong dengan baik tanpa rasa bersalah. Itulah sebabnya anda tidak merasa bertanggungjawab atas sikap anda yang sebegini.


Bukan itu sahaja, anda juga seorang yang bersikap lentur (flexible) dan mengikut gerak hati dengan terburu-buru (impulsive), tidak henti-henti mencari rangsangan dan cabaran yang baru. Sikap ini sering mendorong kepada perangai yang suka mengambil risiko, tapi tak kisahlah kerana bukan anda yang akan menguraikan akibatnya. Sumberi inspirasi untuk senarai ini? Senarai semakan ciri-ciri psikopati oleh Robert Hare, seorang pakar dalam kajian psikopati yang tersohor dewasa ini.

Penerangan ini adalah suatu karikatur yang dimomok-momokkan secara melampau. Namun begitu, krisis kewangan yang melanda Eropah telah memaparkan kesan meritokrasi neoliberalisme atas masyarakat pada peringkat sosial-makro (contohnya pertelingkahan antara negara-negara Eurozone). Penyatupaduan telah menjadi suatu kemewahan dan dipinggirkan untuk perikatan sementara, tumpuan sebenar diberikan ke arah memeras keuntungan yang sebanyak mungkin daripada situasi sedia ada daripada pesaing anda. Ikatan sosial dengan rakan sekerja menjadi semakin lemah, begitu juga iltizam emosi (emotional commitment) kepada syarikat mahupun organisasi.

Membuli dahulunya terhad di sekolah-sekolah; kini ia menjadi satu kelaziman di tempat kerja. Ini adalah simptom lumrah apabila yang tidak berkuasa (impotent) melepaskan rasa geram dan kekecewaan ke atas yang lemah - dalam psikologi ianya dikenali sebagai langsangan teranjak (displaced aggression). Ianya adalah manifestasi ketakutan yang terbenam, meliputi kegemuruhan prestasi (performance anxiety) kepada ketakutan meluas kepada “pihak asing yang mengancam” (the threatening other).
 

Penilaian di tempat kerja yang tidak habis-habis membuahkan kemerosotan autonomi pekerja dan meningkatkan kebergantungan kepada norma luar yang sering berubah-ubah. Ini mengakibatkan apa yang digelar oleh pakar sosiologi Richard Sennett sebagai “menjadikan pekerja semakin keanak-anakan”. Ia membuatkan orang dewasa menonjolkan sikap kebudakan; misalnya meradang seperti kanak-kanak dan mencemburui perkara remeh (“Dia dapat kerusi pejabat yang baru tapi saya tidak.”), berbohong, menipu untuk mendapatkan kemahuan, suka menjatuhkan orang lain dan membalas dendam. Ini adalah kesan daripada sistem yang gagal melayan pekerja sebagai orang dewasa dan menghalang orang daripada berfikir secara bebas.


Perkara yang lebih merisaukan ialah bencana meritokrasi neoliberalisme ke atas rasa hormat pada diri sendiri bagi ahli masyarakat. Rasa hormat pada diri sendiri bersandar kepada penghargaan yang kita terima daripada orang lain, seperti yang telah ditunjukkan oleh ahli pemikir seperti Hegel  dan Lacan . Sennett  merumuskan perkara yang sama apabila beliau membincangkan persoalan tunjang bagi pekerja masa kini sebagai “Siapa yang memerlukan saya?”. Bagi sejumlah ahli masyarakat yang semakin bertambah, jawapannya ialah: Tiada siapa.


Masyarakat kita sering melaung-laungkan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya sekiranya mereka berusaha cukup keras, tapi pada masa yang sama mengagungkan keistimewaan kelas atasan dan terus-menerus menekan dan menguji kesabaran warga yang sudah keletihan. Semakin ramai orang dicap sebagai gagal, membuatkan mereka berasa hina, malu dan bersalah. Acapkali kita disuap dengan pegangan bahawa kita lebih bebas memilih jalan hidup kita sekarang berbanding sebelum ini, tapi kebebasan untuk memilih aliran di luar naratif kejayaan yang lazim diterima sebenarnya adalah terhad. Tambahan pula, mereka yang "gagal" dianggap sebagai pengecek dan bejat yang mengambil kesempatan atas sistem kebajikan masyarakat.

Meritokrasi neoliberal menyuap kita bahawa kejayaan bergantung sepenuhnya kepada usaha dan bakat seseorang; bermakna tanggungjawab terletak sepenuhnya atas setiap insan dan pihak berkuasa harus memberikan kebebasan mutlak agar masyarakat dapat mencapai tujuan ini. Bagi mereka yang mempercayai dongeng pilihan tanpa sekatan, pengurusan kendiri (self government) dan swaurus (self management) adalah mesej politik yang sering ditonjolkan sebagai menjanjikan kebebasan. Seiring dengan idea bahawa seseorang insan boleh mencapai kesempurnaan mutlak, kebebasan yang kita fikir kita nikmati di Barat ini adalah pembohongan terbesar zaman ini.

Pakar sosiologi  Zygmunt Bauman telah merumuskan dengan ringkas paradoks era kita: “Kita tidak pernah merasa kebebasan seperti masa ini. Kita tidak pernah rasa paling tidak berdaya seperti masa ini.” Memang kita lebih bebas sekarang dari segi kebebasan untuk mengkritik agama, mengambil kesempatan atas sikap sambil lewa terhadap seks dan menyokong mana-mana pergerakan politik yang kita sukai. Kita boleh berbuat semua ini kerana ianya semua sudah tidak bermakna - kebebasan ini sebenarnya tercetus daripada sikap tidak ambil peduli. Namun begitu, kehidupan seharian kita telah menjadi satu pertarungan yang tidak berkesudahan menghadapi sistem birokrasi yang boleh melemahkan lutut Kafka. Semuanya diatur dan dikawal, daripada jumlah garam dalam roti hinggalah kepada membela ayam di kawasan bandar.

Kebebasan yang kita tanggap ini terikat kepada satu perkara asas: kita mesti berjaya - yakni, mencapai objektif yang ditakrifkan oleh masyarakat sekeliling kita. Seorang individu berkemahiran tinggi yang memilih untuk mementingkan keluarga mengatasi kerjaya mereka akan berhadapan dengan kritikan. Seseorang yang menolak kenaikan pangkat demi melaburkan masa dalam urusan lain dilabel sebagai gila - kecualilah urusan tersebut menjamin kejayaan. Seorang wanita muda yang mahu  menjadi guru sekolah rendah didesak ibu bapanya untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam ekonomi - buat apa hendak menjadi guru sekolah?

Ada banyak keluhan tentang kemerosotan norma dan nilai dalam budaya kita. Namun begitu, norma dan nilai adalah teras yang malar dalam identiti kita. Maka ianya tidak boleh hilang, cuma berubah. Dan itulah sebenarnya apa yang telah terjadi: perubahan ekonomi mencerminkan perubahan etika dan menjurus kepada perubahan identiti. Sistem ekonomi masa kini telah menyerlahkan kejahatan dalam diri kita.