6.7.11

Tidurlah wahai permaisuri ...

Kalau aku pandai nyanyi macam Jamal Abdillah, nescaya itulah lagu tema aku.


Seperti kebanyakan harimau, aku memang suka tidur. Kalau aku ada superpower, pastinya kebolehan aku untuk tidur di mana-mana pada bila-bila masa mengatasi kehebatan Sang Labah-labah itu. "Kehebatan" ini jugalah yang membuatkan mak aku geram gila bila nak kejutkan aku. Pernah sekali dua (atau sedozen kali) zaman aku bersekolah, mak menyimbah aku dengan segayung air kerana aku tak bangun-bangun, walhal dah digerak berulang-kali.

Kadang-kadang aku teringin nak jadi sukarelawan di makmal tidur. Aku dengar ada dua tiga hospital di sekitar ibukota yang menjalankan kajian atas gangguan tidur. Tapi masalah aku ialah aku tak ada gangguan tidur; aku cuma terlebih tidur. Kira gangguan juga ke tak?

Tapi aku dapati dengan meningkatnya usia, aku taklah seteruk dulu untuk dikejutkan. Malah, aku mampu bangun dengan alarm Nokia ku dengan hanya disnoozekan untuk sejam. Boleh tahan la tu; kalau tak memang aku tak bangun langsung.

Aku suka bertanya pada orang apakah tabiat bangun tidur mereka, kerana aku tiada tabiat tetap bila bangun. Yang paling aku suka dengar ialah seorang kawan aku yang membuat "senaman rimau" setiap pagi. Dia belajar senaman rimau tu dari datuknya, seorang mahaguru silat. Pernah aku minta dia tunjukkan macam mana rupa senaman rimau tu; rupa-rupanya ia pelbagai postur dan aksi untuk meregangkan tubuh. Siapa kata hanya kungfu cina yang mengambil inspirasi dari alam semulajadi?

Ada juga yang minum dua gelas air suam setiap pagi sebelum gosok gigi. Kononnya merangsangkan enzim air liur basi bagi mengekarkan tubuh. Aku pernah cuba; tapi macam muntah air bila aku berus lidah. Haram aku tak buat lagi.

Seorang lagi kawan aku pula percayakan kuasa lucid dreaming. Kononnya jika dia boleh bermimpi cara itu, dia boleh membebaskan kuasa akal fikirannya. Jadi tiap-tiap pagi, celik mata saja dia akan mencapai buku nota dan pen di tepi katil dan mencatat mimpinya, dengan harapan suatu hari nanti dia boleh menyedari yang dia bermimpi sewaktu dia bermimpi. Macam cerita Inception, gitu. Dia pernah tunjukkan diari mimpinya itu pada aku; ianya penuh dengan adegan aksi bak filem Indiana Jones. Baca saja pun aku dah penat.

Aku menggeliat, dangau tempat aku berbaring dihiasi bintik-bintik cahaya mentari mengintai di celah-celah atap rumbia. Malam tadi giliran aku menjaga dusun dan mengutip durian yang luruh. Durian-durian itu semua dah aku kumpul dan masukkan ke dalam bakul untuk diangkut dengan ATV ke rumah nanti kecuali 2 biji yang dah aku buka untuk dijadikan sarapan.

Hidungku yang tajam tercium bau manusia. Tiga orang pemuda orang asli menapak bersahaja dalam 200 meter dari perbaringanku; agaknya nak pergi mengutip petai. Tangan kananku naik, menabik kehadiran mereka dan disambut dengan lambaian balas.

Aku kembali berbaring, selesa walaupun lantai buluh dangau ini hanya dilapik dengan tikar mengkuang buruk. Tak apalah, sempat untuk aku tidur sekejap lagi. Aku pun memejamkan mata. Nikmat hawa dara hutan Belum ini hanyalah mimpi yang diganti dengan asakan bau hancing/pahit/masam/tak semulajadi udara metropolis gagah itu bila aku pulang ke ibukota lusa nanti.

3.7.11

Soal siasat



Kadang-kadang bila aku balik kampung, aku terasa macam gambar kat atas tu. Aku rasa kalau mak, ayah, abang dan kakak aku kerja untuk CIA, nescaya tak payah ada Guantanamo Bay.

Bak kata orang putih: "Family. Can't live with 'em. Can't kill 'em either."