Tiada Kumpulan Pengganas Dapat
Hidup Tanpa Biaya Kewangan Sesuatu Negara - Pakar Ekonomi Keganasan
Masa Penerbitan:
15 Disember, 2014 06:28
Masa Penyuntingan:
16 Disember, 2014 06:46
Terjemahan daripada rencana asal. Gaya bahasa mungkin ganjil kerana
ini adalah transkrip sebuah rancangan wawancara.
Organisasi pengganas tidak banyak berbeza dengan perniagaan, dan ia berkos
tinggi — organisasi itu memerlukan senjata, bekalan dan setiap rekrut
perlu diberi makan dan peralatan; semuanya memerlukan biaya. Tapi dari manakah
organisasi pengganas mendapat wang mereka? Bagaimanakah keganasan didana?
Bolehkah jihad dilaksanakan tanpa sokongan kewangan yang besar? Dan bolehkah
sesuatu organisasi pengganas berdiri atas kaki mereka sendiri? Kami mengajukan
soalan-soalan ini kepada pengkaji ekonomi dan pakar pembiayaan keganasan,
Loretta Napoleoni, di Sophie&Co hari ini.
Sophie Shevarnadze (SS): Loretta Napoleoni, pakar
ekonomi, penulis, pakar pembiayaan keganasan. Selamat datang ke rancangan kami,
gembira dapat bersama anda. Anda pernah menyebut kewujudan sistem
ekonomi yang anda gelarkan “ekonomi aktiviti keganasan” yang selari dengan
sistem ekonomi yang lazim. Menurut anda, ia bernilai $1.5 trilion — dan
itu sebelum peristiwa 11 September. Saya tertanya-tanya, berapa besarkah
ekonomi keganasan ini pada hari ini.
Loretta Napoleoni (LN): Pada anggaran saya, ia kini 5%
lebih besar berbanding sebelum 9 September. Malah, pengedaran wang ini sangat berbeza sekarang. Ada lebih banyak aktiviti di negara-negara Islam berbanding
sebelum ini. Kebanyakan wang ini mengalir dalam bentuk tunai dari satu tempat
ke tempat lain; dahulu ia bergerak melalui sistem perbankan antarabangsa yang
biasa. Jadi sekarang ada banyak perbezaannya.
SS: Baiklah, kita akan meneroka perbezaan ini secara terperinci sebentar
lagi, tapi saya ingin memahami gambaran yang lebih menyeluruh di sini — selain
daripada penjualan dadah dan senjata, juga penyeludupan berlian, adakah
aktiviti keganasan juga melabur dalam perusahaan perniagaan yang lazim?
LN: Ya. Sebenarnya lebih kurang satu pertiga ekonomi aktiviti keganasan
berkait rapat dengan pergerakan ekonomi yang sah. Kedua-duanya saling
berurus niaga dengan satu sama lain. Saya berikan contoh — apa yang
sedang berlaku dengan industri gandum di Iraq. Pihak kerajaan membeli
kesemua gandum yang dihasilkan di sana dan mengawal harganya demi memastikan
harganya di bawah paras tertentu. IS mengawal lebih kurang 40% hasil gandum di Iraq. Jadi, kerajaan Iraq sebenarnya membeli gandum dari kawasan-kawasan yang dikuasai oleh IS. Ini adalah contoh baik bagaimana
sebuah kerajaan yang sah sebenarnya berurus niaga dengan organisasi pengganas.
SS: Sebentar lagi kita akan berbincang tentang hubungan keganasan dan
pembiayaan kerajaan, tapi sebelum itu saya mahu berkongsi satu lagi contoh.
Saya pernah menemuramah seorang tukang adu HSBC yang membongkar amalan
pengubahan wang haram yang turut digunakan untuk mendana organisasi pengganas — mungkin
anda pernah mendengar kisah ini, kerana ia mendapat liputan meluas. Adakah ahli
perniagaan yang berurusan dengan aliran tunai ini tidak peduli dari mana
datangnya wang ini?
LN: Sememangnya. Saya rasa ekonomi dunia sekarang sedang mengecut; banyak
negara mengalami kemelesetan, dan ada negara yang menuju ke arah deflasi. Jika
seseorang datang membawa wang tunai mencari peluang pelaburan — anda
tidak akan bertanya dari mana datangnya wang itu. Jadi, ekonomi tunai
sebenarnya telah mengembang dengan pesat sejak 2008, dan ekonomi pasaran gelap
juga telah pesat mengembang sejak 2008.
SS: Anda juga berkata yang selepas Patriot Act diwartakan, perniagaan yang
didana oleh aktiviti keganasan telah berpindah dari Amerika Syarikat ke Eropah,
bertukar daripada urusniaga dalam dolar ke Euro. Boleh anda huraikan? Di manakah organisasi keganasan menyorokkan wang mereka sekarang?
LN: Selepas peristiwa 11 September, setiap urus niaga dalam dolar Amerika
dipantau oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat di bawah Patriot Act — jadi
orang yang tidak mahu pihak berkuasa A.S. mengetahui berapa banyak wang yang mereka miliki atau apa yang mereka lakukan dengan wang itu — tidak
semestinya mereka ini ada kaitan dengan organisasi keganasan — membuat
keputusan untuk mengalihkan wang mereka keluar daripada zon dolar ke Euro. Ini
menjelaskan mengapa nilai matawang Euro meningkat secara mendadak daripada
tahun 2001 sehingga 2005. Selepas itu, dunia dilanda krisis kewangan 2007-8
yang telah menghentam dolar dan Euro. Hari ini, hanya sedikit pendanaan
keganasan yang berlangsung di zon Euro ataupun zon tradisi dolar. Semua
urus niaga adalah dalam bentuk tunai dan di luar sistem perbankan antarabangsa
secara mutlak. Jadi kita tidak tahu bagaimana untuk mengesan aliran dana ini
seperti dahulu.
SS: Boleh anda terangkan
apabila anda kata yang pembayar cukai adakalanya mendana keganasan tanpa
pengetahuan mereka? Bolehkah saya menjadi penaja keganasan? Bolehkah anda beri
contoh yang lebih tepat?
LN: Salah satu contoh yang saya gunakan dalam buku saya ialah apa yang
berlaku di Ireland Utara semasa zaman IRA. Pihak IRA menguasai setiap sistem
pengangkutan swasta dan milik persendirian di sana; jadi setiap kali anda
menaiki teksi, anda sebenarnya mendana IRA tanpa anda sedari. Satu lagi contoh
ialah pembayar cukai di negara-negara yang mendana organisasi bersenjata.
Sebagai contoh, hari ini di Amerika Syarikat, dan juga di Eropah, kita terlibat
dengan beberapa kumpulan yang menentang IS di Syria dan Iraq — jadi
wang yang disalurkan ke sana untuk membeli senjata, atau membantu mereka dalam
usaha mereka untuk menentang IS sebenarnya datang daripada poket kita. Beberapa
kumpulan ini, misalnya PKK, masih dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh
Amerika Syarikat dan juga Turki. Keadaan ganjil ini di luar jangkaan kita,
kerana wajah peperangan telah berubah dengan ketara sejak tamatnya Perang
Dingin.
SS: Sekarang ini, apakah masalah
utama yang dihadapi oleh mana-mana kumpulan pengganas? Mencari duit ataupun
ideologi? Apakah yang menjadi keutamaan kepada mereka?
LN: Mencari duit ialah keutamaan mereka kerana tanpa wang, apa pun tidak
boleh berjalan. Ideologi sentiasa berputar sebagai bunyi latar. Ianya penting
untuk merekrut — IS adalah contoh yang baik bagaimana ideologi
digunakan secara moden dan pragmatik untuk membina sebuah negara. Ia menarik
penyokong dari seluruh pelusuk dunia — tapi usaha ini tidak dapat
menyokong kemandirian aktiviti keganasan, ataupun perjuangan untuk menakluk
wilayah baru. Apa yang menyokong aktiviti ini adalah pengeluaran ekonomi --
lebih kurang sama seperti GDP sesebuah negara -- dalam wilayah yang
dikuasai oleh organisasi tersebut.
SS: Bagaimana pula dengan dana yang mereka kutip, adakah wang itu digunakan
untuk urus niaga atau untuk memastikan kelangsungan ideologi mereka?
LN: Oh, wang itu adalah untuk perniagaan. Ideologi mereka didukung oleh
kewujudan dan pentadbiran wilayah mereka. Wilayah ini diuruskan sama
seperti mana-mana kerajaan dalam dunia. Sebagai contoh, mereka ada
mahkamah Islamik untuk menguruskan aduan masyarakat, ada pentadbiran, dan
birokrasi yang menyokong urusan rakyat seharian. Mereka yang tinggal di wilayah IS menjalankan
urusan seharian mereka dan membayar cukai sama seperti rakyat negara lain, dan wang ini
disalurkan ke IS. Pada masa yang sama, mereka memberikan perkhidmatan kepada
rakyat di bawah payung fahaman Salafi, dan ini membantu mereka untuk
memantapkan penerapan ideologi mereka.
SS: Tapi bukankah ini boleh dikatakan sama untuk semua organisasi pengganas?
Saya bertemu seorang wartawan yang telah mengikuti militan Islam di Syria; dia
tidak pula bercerita tentang urus niaga kewangan — menurutnya, hampir
segenap lapisan ahli kumpulan yang dijumpainya sangat bersemangat untuk
menegakkan undang-undang Islam.
LN: Ya. Pada amatan saya, mereka yang menyertai organisasi seperti ini bukan
mengejar keuntungan kewangan. Kita bukan bercakap tentang tentera upahan di
sini. Kita maksudkan mereka yang digoda untuk menyertai — godaan
sebenar kerana bagi remaja Islam yang tinggal di Barat, yang merasa tersisih
daripada aliran normal masyarakat setempat, tiba-tiba menerima pelawaan
dari IS, “Marilah bantu kami membina sebuah negara baru, datang dan
bantulah kami membina sebuah utopia politik Islam” — sesuatu yang
diusahakan masyarakat Islam sejak berkurun tetapi sering menemui kegagalan.
Mereka ini tidak digerakkan oleh keuntungan, tetapi ideologi. Tapi untuk
mencapai tahap ini, IS harus membina kedudukan mereka, dan mereka melakukan ini
dengan wang.
SS: Bagaimana pula dengan tajaan oleh kerajaan tertentu? Misalnya, Taliban
disokong oleh Pakistan, pihak Contra di Nicaragua oleh Amerika Syarikat. Dana
dari negara Teluk disalurkan ke Syria, Iran adalah rakan Hezbollah — adakah
keganasan boleh wujud tanpa tajaan mana-mana kerajaan?
LN: Sangat sukar untuk keganasan wujud tanpa tajaan sesuatu kerajaan. Secara
amnya, pasukan bersenjata yang kita bincangkan di sini didana oleh sesuatu
kerajaan atau organisasi, mahupun orang persendirian yang sangat kaya. Dalam
kes pejuang Mujahidin, kita tahu yang CIA terlibat, begitu juga Arab Saudi — jadi
sesuatu organisasi keganasan itu boleh ada lebih daripada satu penaja. Bila
kumpulan itu sudah bertapak, jika ia cekap dan bijak, ia boleh menswastakan
‘perniagaan keganasan’; yakni mencari jalan menampung pembiayaan dirinya
sendiri. Inilah yang telah terjadi dengan IS. Daripada 2011 ke 2013, ia ditaja
oleh beberapa negara, contohnya Arab Saudi, Kuwait dan Qatar — bila
ia sudah bertapak di wilayah tersebut, ia mengubah pendekatan kepada mengawal
dan menswastakan 'perniagaan keganasan', jadi ia pun mula menguruskan sumber
strategik bersama dengan penduduk setempat dan lama-kelamaan, ia tidak
memerlukan dana dari luar lagi. Bila ini berlaku, organisasi keganasan itu
boleh bertindak secara bebas dan tidak lagi mengikut telunjuk sesiapa pun.
SS: Saya tertanya sekiranya kita boleh menjejak siapa yang mendana kumpulan
ini ... misalnya negara Teluk seperti Arab Saudi dan Qatar sering dituduh
menjadi pendana keganasan. Tetapi, siasatan seringkali menunjukkan yang sumber
kewangan ini banyaknya datang dari dana persendirian — adakah mungkin
untuk kita menjejak individu terbabit, ataupun adil untuk menuduh kerajaan
negara-negara tersebut, jika wang itu adalah daripada orang perseorangan?
LN: Dahulu kita boleh menjejak wang itu dengan mudah; misalnya sewaktu isu
kontra Iran, dan menyurih bukti bahawa keputusan mendana kontra tersebut melalui
jualan senjata api kepada Iran itu dibuat oleh Rumah Putih. Ini pada era 1980-an, pada zaman pemerintahan Reagan. Sekarang memang sukar untuk menjejak
dana dengan cara yang sama kerana wang ini bergerak dalam bentuk tunai daripada
Arab Saudi kepada sesiapa yang menjadi rakan IS yang aktif pada 2011-2012.
Menjejak wang tunai adalah hampir mustahil. Dahulu ianya lebih mudah kerana
aktiviti pendanaan seperti ini tidak banyak melibatkan wang tunai.
SS: Sekiranya saya seorang pengganas, bagaimanakah cara terbaik untuk
mendapatkan lebih banyak dana? Adakah kemasyhuran negatif ('notoriety') penting
untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak persendirian? Adakah perlu untuk
menjadi lebih kejam atau jahat daripada pengganas yang lain untuk menarik
perhatian jutawan Teluk agar mereka mula menghantar wang kepada saya?
LN: Sudah tentu jika anda lebih terkenal, anda akan menarik lebih banyak
sumbangan. Saya rasa tidak perlu untuk menjadi lebih kejam ataupun ganas. Saya
rasa anda perlu menjadi lebih cekap — dan inilah yang berlaku kepada
IS. Strategi mereka sangat menarik kerana mereka tidak menyerang tentera Assad,
mereka menyerang kumpulan jihadi yang lain — ini menaikkan nama
mereka di kalangan pergerakan jihadi, kerana mereka nampak lebih kuat, lebih
terurus, lebih gagah, jadi pejuang daripada kumpulan lain pun mahu menyertai
mereka. Para penaja pula berfikir, “Oh, kumpulan ini sangat bagus, lebih hebat
daripada yang lain, mari kita menderma kepada mereka.” Kemasyhuran negatif
melalui Internet juga turut membantu. Organisasi ini sangat popular di
Internet, kerana mereka sangat berjaya dan mereka dapat lebih banyak sumbangan daripada
penyokong dan pesimpati dari seluruh dunia.
SS: Bila keganasan sayap kiri naik
pada era 70-an, sebenarnya kumpulan pengganas daripada pelbagai negara berkait
rapat antara satu sama lain, dari Ireland ke Jerman Barat, ke Palestin dan
Jepun — bagaimana pula keadaannya sekarang? Adakah kumpulan pengganas
ini bersaing antara satu sama lain, seperti syarikat? Kita lihat rengkahan
antara Al-Qaeda dan IS. Adakah ini bukti mereka adalah pesaing di pasaran yang
sama?
LN: Sudah tentu. Saya rasa situasi sekarang sangat berbeza berbanding
1970-an, kerana tiada lagi Perang Dingin. Sewaktu 1970-an rata-rata kumpulan
pengganas adalah organisasi Marxist — Briged Merah misalnya, PLO,
termasuk juga ETA, IRA — yang menentang penjajahan di
Barat*. Mereka saling berkait rapat dan bantu-membantu; misalnya membeli
senjata bersama secara pukal untuk menjimatkan kos. Hari ini, situasinya
berbeza kerana ada persaingan sengit dalam pergerakan jihadi itu sendiri. Ini
adalah hasil corak masyarakat sekarang. Segalanya bertumpu kepada diri sendiri
membuatkan masing-masing mencari kelebihan untuk diri sendiri, termasuklah
kumpulan pengganas. Al-Qaeda memang memandang negati terhadap IS — jangan
lupa yang IS berasal daripada kumpulan Al-Zarqawi yang ditubuhkan pada 2003,
yang tidak disukai Al-Qaeda kerana perbezaan strategi dan polisi. Tapi
sekarang, boleh dikatakan bahawa IS telah mengalahkan Al-Qaeda dalam senarai
organisasi jihadi yang utama. Maksud saya, mana-mana anak muda sekarang yang
mahu pergi berjuang akan menyertai IS dan bukannya Al-Qaeda.
SS: Nampaknya ada usaha penjenamaan semula di sini, daripada Al-Qaeda di
Iraq ke ISIL, ke ISIS, ke IS — adakah ini sebahagian daripada
strategi pemasaran? Adakah penjenamaan semula ini sebahagian daripada strategi
perniagaan juga?
LN: Ya, sudah pasti. Penjenamaan semula ini adalah satu strategi asas yang
utama. Apabila Al-Baghdadi mula-mula menjadi ketua apa yang digelarkan
“Al-Qaeda di Iraq” pada 2010, dengan segera dia menukar nama ini kepada nama
asalnya, iaitu “Kerajaan Islam di Iraq”. Dia berbuat begini kerana dia mahu
menjarakkan diri daripada Al-Qaeda yang sangat tidak disukai di wilayah Sunni
Iraq, dan begitu juga di Syria. Jadi, mereka menjenamakan diri mereka untuk
membentuk satu identiti baru. Kemudian, bila mereka bergabung dengan Al-Nusra,
yang ada kaitan dengan Al-Qaeda di Syria, penjenamaan ini diulang menjadi
“Kerajaan Islam di Iraq dan Al-Sham”, iaitu nama Arab untuk Syria. Sekali lagi
mereka menjarakkan diri daripada Al-Qaeda. Penjenamaan semula yang paling
terkini, yang mungkin juga yang terakhir, ialah “Kerajaan Islam”, sama seperti
kekhalifahan yang dibina oleh Nabi Muhammad pada kurun ke-7M. Sekarang mereka
telah membentuk sebuah negara, dan ianya diberi nama Kerajaan Islam.
Penjenamaan yang sangat ringkas, sangat kukuh dan sangat berkesan.
SS: Jadi bila ISIS memulakan kempen hubungan awam yang menonjol -- hingga
muncul “ISIS cats” yang terkenal di Twitter, dan mereka juga menghasilkan video
bermut -- sebenarnya mereka memancing sumbangan dan rekrut, betul atau tidak?
LN: Ya, mereka memancing sumbangan, memancing rekrut, dan menggunakan media
untuk menggerunkan khalayak — jangan lupa yang tujuan utama pengganas
ialah untuk menakut-nakutkan kita, kerana bila kita takut, kita tidak akan
bertindak secara rasional dan seterusnya, merasakan yang musuh kita adalah
lebih kuat daripada sebenarnya. Mereka menggunakan media sosial untuk tujuan
ini. Itulah sebabnya kita dapat lihat hukuman mati yang kejam seperti
pemenggalan kepala di media sosial, kerana itu akan menggerunkan kita.
SS: Menurut siasatan Newsweek bulan lepas, IS memperoleh sehingga 2.5 juta
dolar dalam hasil minyak -- jualan minyak -- setiap hari. Siapa yang membeli
minyak itu? Saya telah bertanya beberapa pakar, tapi tidak seorang pun dapat
memberikan jawapan konkrit. Adalah minyak mustahil untuk dijejak juga?
LN: Tidak, kita boleh mengesannya, kita tahu dengan tepat ke mana perginya
minyak itu. Minyak itu disalurkan sama ada ke Turki atau ke selatan Syria.
Ianya dijual dalam lot kecil, bukan melalui saluran paip minyak biasa, tapi
memang benar hasilnya bernilai dalam 2 ke 2.5 juta dolar sehari, bergantung
kepada betapa mudah untuk menyeludupnya. Ianya dibeli oleh orang tempatan yang
kemudian menjualnya semula dalam lot dan kuantiti yang kecil. Adalah mustahil
untuk menyekat penyeludupan seumpama itu kerana kita tidak mengawal wilayah
tersebut. Anda mungkin menganggap, “Bukankah Turki mengawal sempadan mereka?”,
tetapi sempadan di antara Syria, Iraq dan Turki adalah sangat luas, dan kebanyakan
penyeludupan berlaku di atas air, yakni sungai. Ini menambah kesukaran untuk
mengesannya. Di kawasan selatan, memang sukar untuk mengawasi sempadan di sana
kerana wilayah itu tidak dikawal oleh pihak berkuasa yang sebenar. Banyak
wilayah di sana sedang dilanda anarki politik, jadi apakah cara untuk kita
menjejaknya? Bagaimanakan ianya boleh disekat?
SS: Anda menyatakan bahawa IS ialah satu model baru untuk membina negara,
anda sebut yang ianya mengawal 40% hasil pengeluaran gandum. IS berkelakuan seperti
sebuah negara. Ia memonopoli keganasan, ia mempunyai ekonominya sendiri. Tapi
berita melaporkan yang penduduk tempatan wilayah tersebut tidak mampu membayar
untuk makanan atau air atau ubat-ubatan ataupun elektrik, manakala para pejuang — mereka
pula hidup mewah. Benarkah organisasi keganasan boleh membina sebuah negara
yang berfungsi? Apa pendapat anda?
LN: Menurut sumber saya, sebenarnya, saya tidak percaya yang para pejuang
hidup mewah. Saya rasa itu tidak benar. Sebenarnya bayaran IS kepada pejuang
mereka adalah lebih rendah daripada yang diterima oleh pejuang Al-Qaeda
ataupun Taliban. Saya rasa kita sedang menyaksikan sesuatu yang amat menakutkan — peralihan
sebuah organisasi bersenjata kepada sebuah negara sebenar. Peralihan ini
berlaku dengan menguruskan wilayah yang mereka kuasai seperti sebuah negara
sebenar — ada pentadbiran, bahagian birokrasi dan juga sektor
ketenteraan. Kedua sektor ini adalah terpisah dan ditadbir urus dengan berbeza.
Rakyat biasanya berurusan dengan bahagian pentadbiran dan birokrasi IS. Mereka
sedang membaiki prasarana, mewujudkan undang-undang dan ketenteraman, malah
memberikan pelalian polio kepada kanak-kanak. Sebenarnya, mereka sedangkan
mewujudkan satu bentuk kehidupan normal dan tenteram di wilayah yang telah mengalami
kesengsaraan perang sejak sekian lama, dan mereka melakukannya kerana mereka
mencari sokongan — hanya dengan sokongan ini dapat mereka membina
negara ini, dan inilah yang sedang mereka usahakan.
SS: Baiklah, begitulah suatu tinjauan yang menarik dalam kehidupan biasa di
wilayah yang dikuasai oleh pengganas. Terima kasih atas perkongsian ini. Kita
tadi berbual dengan Loretta Napoleoni, pakar ekonomi keganasan. Kita telah
berbincang tentang bagaimana keganasan didana pada masa kini dan bagaimana ia
berkait rapat dengan pembiayaan daripada kerajaan dan perniagaan. Setakat ini
sahaja edisi Sophie&Co pada hari ini, kita berjumpa lagi di lain hari.
*Briged Merah mahukan kerajaan Komunis di Eropah.
PLO (Palestine Liberation Organisation) menuntut kemerdekaan
Palestin.
ETA (“Euskadi ta Askatasuna” atau Kemerdekaan Negara Basque) adalah
pejuang pemisah yang mahukan negara Basque yang merdeka daripada
Sepanyol.
IRA (Irish Republican Army) adalah pasukan bersenjata yang meahukan
kemerdekaan Ireland Utara daripada pemerintahan United Kingdom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tokok-tambah