10.2.14

Malam minggu yang bosan

Aku menghela nafas lega setelah habis memuat naik ke pelayan tugasan terakhirku. Tetikusku menari-nari sambil aku memeriksa kesemua pautan pada laman web pelangganku dan mungkin aku masuk lif picit sendiri (dan sememangnya pun!) tapi semua kulihat elok dan sempurna. Komputerku di"tidur"kan dengan beberapa klik tetikus; cukuplah kerja untuk malam ini.

Angin malam membawa kehangatan seminggu tanpa hujan di ibu kota. Kipas silingku berputar bak gasing tapi tidak melegakan. Malam ini saja sudah dua kali aku membasahkan tubuhku; sekali lagi dan kulitku akan menyamai tangan nyonya si penjual tofu di pasar Chow Kit; kembang tapi berkedut.

Aku ke dapur menjengah peti ais. Buat beberapa ketika aku menyamankan diriku dengan hawa dari kotak pembeku. Aiskrim yang aku beli kelmarin telah tamat riwayatnya. Mendengus, aku tutup kembali pintu peti ais dan melangkah ke sofa.

Aku kutip buku terbaru Lee Child yang telah aku habiskan dan cuba mencari mukasurat yang aku sukai, cuba untuk memendam keresahan yang merengsa di bawah permukaan kulitku ini. Di luar, sang bulan membentuk sfera yang hampir penuh. Aku tahu yang keresahan ini akan hilang sekiranya aku keluar berburu, tapi aku seakan malas untuk ke Bukit Gasing atau Klang Gate untuk melepaskan diriku yang sebenar.

Telingaku menangkap bait-bait sebuah lagu rock yang dilapiskan dengan unsur-unsur jazz. Aku memejamkan mata, mengatur nafasku seperti yang diajar di kelas yoga, membiarkan aku dilenakan oleh keindahan muzik itu. Tamat lagu itu, rentaknya berubah ke sebuah lagu bossa nova. Aku suka.

Bingkas, aku bangun dan ke bilik, menukar pakaian dan mencapai dompet serta iPhoneku yang usang. Kedua-duanya ku sorongkan ke kocek seluar kargoku. Aku melangkah keluar, koridor rumah sewa ku suram dan sunyi. Kunci rumahku masuk ke satu lagi kocek. Inilah sebabnya aku suka seluar kargo; semua poketnya berguna.

Aku mengatur langkah di bahu jalan, menyusuri pelbagai kenderaan dari motosikal kapchai hingga ke model Volkswagon yang terbaru. Tidak ramai yang menyedari lorong-lorong belakang di ibu kota ni boleh jadi sesunyi perumahan sub-bandar selepas jam 12. Kerancakan aktiviti malam kotaraya ini hanya kelihatan setelah aku memasuki jalan besar yang menaungi pelbagai kelab, disko, restoran dan bar.

Sinar neon melimpah menerangi pelbagai jenis manusia di jalan yang terkenal dengan pelbagai pusat hiburan. Aku menuju ke Jim's, sebuah pub tidak jauh dari rumah sewaku. Kelab itu bukan pusat tumpuan anak-anak muda yang ingin melihat dan dilihat. Jim adalah tempat kegemaran para pekerja asing (jenis expatriate kulit putih, bukan yang sawo matang dan gelap likat yang kerja pembinaan) syarikat minyak dan gas yang tidak jauh daripada situ.

Sebaik sahaja aku membuka pintu Jim's, hidungku yang sensitif diserang asap rokok dan bau pelbagai jenis alkohol yang dihidangkan di situ. Aku mengerut hidung dan menarik nafas cetek, dengan harapan agar hidungku segera terbiasa dengan pencemaran udara di bar itu. Dindingnya berpanel kayu dan disinari lampu sorot kemalapan kecuali di kawasan pentas, menyinari seorang lelaki kulit hitam yang tegap memetik tali double bassnya dengan penuh khusyuk dan nikmat, manik-manik di penghujung tocangnya yang berdozen berklik dengan pergerakan kepalanya. Jim's saling tak ubah persis bar-bar lama yang pernah ku lawati di Eropah.

Aku menuju ke kawasan bar dan mencari sebuah kerusi untuk melabuhkan punggungku. Pelayan bar malam ini adalah Jim sendiri, seorang lelaki British yang sudah melangkaui pertengahan abad. Dia datang ke Malaysia sebagai seorang juruukur untuk sebuah syarikat perladangan gergasi pada tahun 60'an, jatuh cinta dengan seorang wanita tempatan dan hanya pulang ke England dua kali setahun (sekali untuk harijadi ibunya dan sekali lagi untuk Hari Natal) sehinggalah kematian ibunya - selepas itu Jim tidak lagi menjejak kaki ke tanah kelahirannya.

Kepalanya yang licin merah berkilat di bawah sorotan lampu di belakang bar. Dia mengangguk ke arah ku dan menuang air soda yang diperah sepotong lemon sebelum menjatuhkan hirisan itu ke dalam gelas. Ais di dalamnya berbunyi riang apabila berlaga dengan dinding kaca gelas itu. Semangkuk kacang juga diletak di hadapanku.

"Lama tak nampak," sapa Jim sambil mengelap permukaan bar di sebelahku.

"Malas nak keluar," jawabku. Aku meneguk air soda yang dingin dan masam itu, habis dengan sekali hirup. Jim menambah air soda ku dan menambah satu lagi hirisan lemon. Kali ini aku menghirup minumanku dengan lebih perlahan-lahan.

"Nasib kau baik. Setengah jam lagi Freddy akan naik pentas," kata Jim. Freddy yang dimaksudkan ialah Freddy Ganesan. Dia merupakan penyanyi utama untuk sebuah cover band yang mengkhusus kepada muzik Queen. Nama asal Freddy ialah Prabakaran Ganesan; tapi setelah mengambil persona arwah Freddy Mercury, dia hanya menjawab apabila dipanggil Freddy.

Aku memang suka Queen dan Freddy dan rakan-rakannya mengalunkan lagu-lagu Queen dengan baik. Memang nasib aku baik malam ini.

"Donna tak ada malam ni?" Selalunya isteri Jim akan duduk di suatu ceruk dengan komputer ribanya, menyelesaikan buku kira-kira perniagaan Jim dan juga dirinya. Donna Liew-Coleridge adalah seorang akauntan bertauliah yang pernah berkhidmat dengan PWC; dia kini menjalankan pekhidmatan setiausaha syarikat dan pengauditan kewangan untuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

"Tak. Maureen turun KL jadi dua beradik tu ada rancangan sendiri pada malam ini," kata Jim. Aku mengangguk dan kembali meneguk minuman ku. Sang pemain double bass sudah mengakhiri persembahannya dan tunduk menerima tepukan daripada pelanggan-pelanggan yang ada.

"Satu lagi wiski," minta pelanggan yang baru mendekati bar di sebelahku. Jim bergerak ke arah tempat botol alkohol keras tersusun untuk menjawab permintaan pelanggan yang mengambil tempat di sebelah tempat duduk aku. Aku tertangkap pandangannya dan terpaksa menjawab senyuman yang dilemparkannya. Bukankah rakyat Malaysia harus peramah orangnya?

"Hai," dia menyapa. Rambutnya yang perang kemerahan didandan gaya faux 'hawk yang popular di kalangan lelaki muda kini. Orangnya tinggi dan susuk tubuhnya yang dibaluti kemeja kotak-kotak yang dibuat daripada kain kapas nipis kekar berotot, kakinya yang panjang disarungi seluar jeans biru muda.

"Selalu datang ke sini?" dia mengalihkan tubuhnya untuk menghadap aku.

"Kalau lapang," aku mengusik gelas minumanku. Matanya hijau bak daun pisang muda, bundar dan dilapisi dengan bulu mata yang sangat lebat, membuatkan dia kelihatan seakan-akan memakai celak. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat dan aku sambut. Orang Amerika memang suka genggam tangan orang dan goncang kuat-kuat bila berjabat tangan. Aku memendam keinginan untuk meramas tangannya dan membuatkan dia meraung. Aku harimau; aku lebih baik daripada itu. Telapak tangannya lebar dan hangat, dilapisi kematu. Ini orang yang kerjanya memerlukan kudrat.

"Awak orang tempatan ke?" aku tercium bau wiski dan bir pada nafasnya. Nampaknya wiski yang dipesannya bukanlah gelas pertama untuknya malam ini. Aku mengangguk, tanganku yang dijabatnya ke mangkuk kacang, mengutip beberapa butir untuk masuk ke mulutku.

"Pertama kali ke Kuala Lumpur?" tanyaku sambil mengunyah. Pertengahan minggu ini kacang yang dihidang masih lagi rangup. Aku mengalihkan tubuhku untuk menghadap dia, memudahkan aku untuk menjamu mata. Mat saleh bukanlah jenis yang aku gemari, tapi yang ini boleh tahan kacaknya.

Dia mengangguk dengan penuh semangat, wiskinya yang baru tiba terus hinggap ke bibir. Aku rasa dia ini jenis pemabuk yang ceria; kalau kau kena lepak dengan orang mabuk, jenis yang macam ini paling menyenangkan jiwa. Kalau macam Desmond, bukan hanya kau akan rasa nak bunuh dia, tapi juga nak bunuh diri kerana dia sungguh depressing bila mabuk. Tapi kalau macam Chula pun susah juga; dia mabuk lepas tu asyik nak cari gaduh.

"Bagaimana dengan cuaca di sini? Boleh tahan?" aku memberi isyarat kepada Jim untuk memesan sandwic. Perutku berbunyi lagi walaupun aku telah makan malam pukul 8 tadi.

"Takde masalah," jawabnya sambil tertawa. "Sesiapa yang pernah bekerja di Williston pada bulan Julai dah tak hairan lagi dengan kepanasan. Tapi, ambil masa juga untuk tahan kelembapan di sini."

Memang aku perasan ramai orang asing yang tak pernah duduk dekat dengan garisan Khatulistiwa sering akan merungut pasal kelembapan di sini. Tapi elok lagi lembap dan hangat di sini daripada hangat dan kering macam yang aku pernah rasa bulan Ogos di New Mexico. Sebulan setengah aku di sana, hari-hari aku nyaris dilemaskan oleh darah yang mengalir keluar dari lubang hidungku yang comel. Menderita!

"Williston tu di mana? Awak buat apa di sana?" rasa ingin tahuku tercuit. Walaupun dia bergaya seperti seseorang yang biasa dengan gaya dan fesyen di kota besar, tapi telapak tangannya memberikan cerita lain. Bahunya lebar dan berotot, lengannya di bawah lipatan lengan bajunya persis lengan seorang buruh kontraktor pembinaan.

Pelancong Amerika itu menyambut buka bicaraku, memperkenalkan dirinya sebagai Evan, seorang wildcatter yang berasal daripada New Jersey. Dia menganggur hampir dua tahun selepas mendapat ijazah Kesusasteraan Inggeris daripada New York University, angan-angannya untuk menjadi penulis ruangan pojok yang disindiket ke seluruh negara musnah bila berhadapan dengan realiti alam pekerjaan dan kemerunduman penerbitan akhbar di Amerika Syarikat. Nasibnya berubah setelah berjumpa dengan seorang saudara fraternitinya yang bekerja di salah satu telaga minyak di Dakota Utara. Mendengar cerita bagaimana dia boleh mendapat hampir seratus ribu dolar setahun bekerja di telaga minyak, Evan menjual permainan video dan komik yang dikumpulnya sejak berusia belasan tahun; duitnya digunakan untuk membeli peralatan berkhemah dan makanan kering. Kesemua miliknya itu disumbat di dalam sebuah trak pikap yang dulunya milik datuknya dan dia pun memulakan pengembaraannya di Dakota Utara.

"Sekarang ni awak jadi koboi minyak lah?"

Evan tertawa. Dalam dia asyik bercerita riwayat hidupnya padaku, sudah tiga lagi gelas wiski diteguknya. Melihat sandwic tuna lapan lapis aku, dia pun membuat pesanan yang sama. Pingganku sudah licin, tapi sandwicnya masih lagi ada separuh.

"Lebih kurang. Dah lama saya asyik bercerita pasal saya saja. Awak pula? Apa yang awak buat di kota yang hebat ni?" dia mengangkat sepotong sandwic yang digigitnya dengan giginya yang putih teratur.

"Saya pereka laman web," jawabku dengan ringkas. Aku memerhatikan rahangnya yang bersatah bergerak sambil dia mengunyah.

"Kenapa awak pilih untuk datang bercuti ke Malaysia?" tanyaku.

"Mula-mulanya saya ke Bangkok untuk bercuti dua minggu lepas. Awak pernah pergi ke Angkor Wat? Saya ingat tempat tu besar macam yang kita tengok dalam filem Lara Croft tu, tapi sebenarnya taklah besar sangat." dia tertawa.

"Rasanya bukan semua kompleks Angkor Wat tu dah dibaik pulih dan dibuka untuk pelawat," jawabku berdiplomasi. Dia ni sesat kah, dari Bangkok tapi melawat Siem Reap? Atau fail geografi?

"Dan saya sedih pasal tak ada pun patung dewata tu yang terbang," tertawanya lagi. Memang sah mamat ni dah mabuk betul.

Bunyi feedback daripada pembesar suara membingit, menarik perhatianku ke arah pentas kecil yang diduduki pemain double bass tadi. Rupa-rupanya sambil aku berbual dengan mat saleh Amerika ini, Freddy dan rakan-rakannya telah tiba dan menyusun peralatan mereka.

"Tuan-tuan dan puan-puan, inilah - Freddy and the Gang!" umum Jim. Pelanggan-pelanggan yang ada memberikan tepukan yang sambil lewa sambil Freddy mengambil tempat di pentas.

Malam ini Freddy mengenakan seluar sukan putih dengan kasut dan singlet sedondon yang pernah digayakan oleh arwah En. Mercury. Kumisnya disisir rapi, rambutnya yang hitam dan tebal diminyak dan disikat sebiji seperti idolanya itu. Dia memulakan set dengan I was Born to Love You. Lagu tu kegemaran aku sejak darjah dua lagi (ya, aku dah tua!).

"Awak nak menari?"

Keasyikan aku terganggu dengan soalan itu. Evan sudah menghabiskan makanannya dan berdiri tercegat di sebelah aku, sebelah tangannya dihulur, tapak ke atas, dalam isyarat mempelawa yang universal. Aku termangu sebentar; tak pernah aku menari di Jim's.

"Awak nampak suka betul dengan lagu ni. Marilah kita menari," ajaknya lagi. Aku menggelengkan kepala, melihat ketidakstabilan cara dia berdiri. Silap haribulan, dia pening menari lepas tu muntah atas aku. Oh, tidak.

"Tak apalah. Saya cuma suka dengar, saya tak menari," aku terpaksa meninggikan suaraku kerana lagu itu telah sampai ke bahagian gitar elektrik yang mendesing. Evan kembali melabuhkan punggungnya di sebelahku sambil menarik wajah pura-pura merajuk. Alahai, orang dah dewasa kalau merajuk buruk rupanya, bang. Dia memesan lagi wiski daripada Jim dan kembali menghirup minuman kerasnya.

Aku tidak menghiraukan pelancong Amerika itu dan terus menikmati persembahan Freddy dan kugirannya. Setelah habis set kedua, aku terperasan yang Evan telah lama diam. Aku pun menoleh ke tepi, tapi tidak ternampak dia lagi. Ada sesuatu di penjuru mataku membuatkan aku merendahkan pandangan. Rupa-rupanya Evan sudah tersepuk di kaki bar, matanya terpejam. Nasib baik pelanggan di Jim's tidak berapa ramai malam ini; tiada siapa yang terseradung dengan kakinya yang terjulur tak bertulang itu. Bila Freddy habis memainkan Tie Your Mother Down, telingaku dapat menangkap dengkuran halus dari mulutnya yang ternganga sedikit.

"Jim, ada orang dah pengsan," kataku kepada Jim yang sedang mengelap gelas.


"Biarlah. Aku akan kejutkan dia bila nak tutup kedai nanti," kata Jim, acuh tak acuh. Mungkin pemandangan sekujur tubuh berdengkur di lantai pubnya bukan sesuatu yang baru padanya.

Aku duduk mendengar lagi empat lagu yang dialunkan oleh Freddy sebelum rasa gelisahku kembali lagi. Aku menyeluk saku, mengeluarkan beberapa keping not merah yang aku tinggalkan di atas bar. Jim yang sedang berdiri di hujung bar berborak dengan seorang pelanggan lain mengangkat tangan kepadaku apabila aku membuka pintu untuk keluar.

Suasana di kaki lima masih lagi hingar bingar dengan khalayak yang masih lagi memburu hiburan pada malam minggu ini. Aku berdiri sebentar, menghirup udara dan memeriksa iPhoneku untuk sebarang pesanan. Hanya mesej minta nyawa Candy Crush daripada beberapa rakanku. Ah, kalau nak menang sangat, bayar saja lah, rungutku dalam hati dan menyimpan semula tali pusat elektronik itu.

Aku kembali ke jalan besar, memerhatikan kerencaman masyarakat yang masih lagi berpeleseran di tengah kotaraya mega ini. Di seberang jalan ada beberapa kumpulan "anak ikan" berlegar-legar di pintu hadapan kelab gay yang paling popular masa ini. Kesemuanya kelihatan seperti mereka lahir daripada makmal yang sama mengeluarkan bintang K-pop androgini yang digilai ramai mutakhir ini: kulit licin bak telur dikupas, mata yang bundar digaris dengan celak, bibir mungil bak delima merekah, rambut pelbagai warna yang dibentuk styling products seperti ekor merak dicabai.

Salah seorang daripada spesis itu melangkah keluar daripada kelab itu dengan seorang lelaki kulit putih separuh umur yang menggayakan fesyen seolah-olah dia baru melepasi usia remaja. Silaplah, kemeja mahal mana sekalipun tak dapat nak menyelindungi keboroian yang dipam oleh bergelen-gelen bir yang pernah diteguknya. Ada di kalangan anak ikan yang menanti di luar itu menjeling rakan seangkatan yang berpasangan dengan mat saleh berusia itu, seakan-akan cemburu. Pemuda itu berbuat-buat tertawa kepada sesuatu yang dibisikkan oleh mat saleh itu, seakan-akan baru mendengar jenaka yang lebih hebat daripada apa yang disajikan oleh Maharaja Lawak.

Sebuah kereta BMW model baru yang tidak aku cam (macam aku peduli sangat dengan kereta) menderam dengan machonya ke kaki lima. Seorang valet tempat letak kereta melompat keluar daripada tempat duduk pemandu dan membuka pintu kereta itu dengan hormat untuk pasangan itu. Dengan langkah mendada, pasangan mat saleh itu menyelinap di belakang stereng sementara valet itu menutup pintu tempat duduk penumpang untuk mat saleh itu. Buat seketika aku terfikir, siapakah sebenarnya anak ikan dalam hubungan itu? Setelah kedua-duanya masuk, BMW itu memecut ke arah Jalan Ampang dengan ngauman enjin rekaan Jerman.

Aku meninggalkan jalan besar yang dibarisi kladeiskop hiburan kotaraya itu menuju ke rumah sewaku.Tak sampai dua minit aku melangkah, suasana kembali sepi. Kawasan rumah sewaku itu banyak didiami penghuni yang telah menginjak usia emas dengan beberapa pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga dan dua tiga orang bujang seperti aku. Rata-rata mereka membeli flat di situ ketika ia masih murah pada tahun 60an dulu; anak-anak yang sudah berkahwin mencari kediaman lain yang lebih luas dan selesa.

Angin malam membawa bau mawar dan melati daripada pasu-pasu yang membarisi hadapan rumah En. Selvamoney. Isterinya yang mendandan pokok-pokok di blok itu, kebanyakannya bunga-bungaan harum yang diikat menjadi kalungan dan dijual di hadapan kuil Dewa Ganesha dua jalan dari sini. Aku teringat satu insiden sewaktu aku balik daripada sembahyang terawikh dengan rakan-rakan ku dulu. Kami melalui sisi sebuah tapak perkuburan apabila tiba-tiba terbit bau wangi entah daripada mana. Suatu susuk putih dapat dilihat seakan-akan melayang-layang daripada celah-celah nisan yang tersusun rapi.

Rakan-rakanku menjerit-jerit dan mengangkat tapak langkah empat puluh empat melarikan diri. Tinggal aku seorang saja tercegat di situ. Setelah kelibat rakan-rakanku hilang, bunyi hilaian ketawa yang menaikkan bulu roma terbit daripada kawasan perkuburan itu. Dua susuk tubuh yang samar-samar muncul dan melangkah ke arahku, Kak Yong dan sepupuku yang sebaya dengannya, Kak Ton yang berjalan seiringan sambil ketawa berdekah-dekah. Aku tercium bau bunga yang diramas daripada tangan Kak Ton, dan Kak Yong sedang menggulung kain telekungnya yang digunakan untuk menakut-nakutkan kawan-kawanku yang memang pengecut itu.

Tanganku yang gatal memetik sekuntum bunga melur isteri En. Selvamoney dan menghidu harumannya. Kejadian itu telah menaikkan sahamku di sekolah sebagai seorang yang tidak takut dengan jembalang sekalipun. Aku tersenyum sendiri, mengelamun sambil aku menapak naik ke rumah sewaku. Ah Kiong telah mengganti kalimantang di koridor itu, bayang-bayangku sepanjang hantu galah mengekori aku. Aku membuka pintu, menguncinya kembali dan menghempaskan tubuhku atas katil setelah menanggalkan pakaianku yang tepu dengan asap rokok di Jim's.

Malam esok aku akan ke Klang Gate dan menghapuskan kegelisahan yang merengsa di bawah kulitku. Aku memejamkan mata, terlelap dengan imej anak-anak ikan yang lari dikejar harimau dalam kotak fikiranku.


Kisah sebelum ini:

Ironi.
Katakan sayang dengan...
Tidurlah wahai permaisuri
Rezeki
Gig
Belasungkawa


6.2.14

Kisah Cinta Tanpa Nama: Bahagian Dua

( Disunting untuk ketepatan butiran.)

Bahagian 1

Kipas angin di siling bilik guru itu berputar malas, mengitar udara dalam bilik yang dihuni dua puluh orang guru di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth. Jam bermuka putih di atas pintu masuk itu menunjukkan jam empat, hanya tinggal tiga orang guru yang masih lagi di meja masing-masing, asyik melunaskan kerja.

Edith Baumgardner menerima segulung ijazah daripada Mount Holyoake dengan semangat berkobar-kobar untuk mengubah dunia. Apabila terbaca tentang program sukarelawan Peace Corp, Edith dengan pantas mengisi borang dan menghantar permohonannya. Ayah dan ibunya kurang bersetuju dengan tindakan Edith. Ibunya risau yang dia akan dihinggapi malaria dan entah apa lagi penyakit eksotik di negara dunia ketiga; manakala En. Baumgardner mengomel tentang pembaziran wang yuran kolejnya di tempat masyarakat tempatannya masih duduk di atas pokok. Bibirnya mengukir senyuman kecil mengenangkan betapa nyamannya udara di negara tropika ini berbanding musim panas di rumah ibunya di Brooklyn.

Sudah tiga bulan Edith di Malaysia dan dia sedikit pun tidak menyesali pilihannya. Dia sukakan cabaran mengajar di daerah kecil di kaki Titiwangsa ini; bandar kecil ini terlalu sunyi tidak seperti kota New York yang ditinggalkannya. Mengajar empat kelas serentak adalah lebih berat daripada yang dijangkanya, tapi anak-anak gadis yang diajarnya rata-rata bersemangat untuk belajar dan mengambil sepenuhnya peluang untuk mengasah kemahiran bahasa Inggeris mereka. Pelajar begitu membuatkan Edith berasa puas untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru di sini.

Pensel di tangannya mengilas kajang di hadapannya. Lakaran kasarnya kini lebih terbentuk, timbul gambaran sebuah poster majlis tari menari. Edith memblok bahagian untuk tajuk posternya dan berdebat jenis font yang terbaik untuk membuatkan posternya itu lebih menarik. Awal tengahari tadi dia telah berbincang dengan jawatankuasa Kelab Kebudayaan yang dikelolakannya. Cadangannya untuk menganjurkan sebuah majlis tari menari untuk mengumpul dana bagi aktiviti Kelab  telah disambut dengan riuh; kesemuanya sebulat suara bersetuju dan mula berbincang apa persediaan yang perlu dilakukan bagi menjayakan majlis tersebut. Setiausaha Kelab dengan lekas telah mengeluarkan kertas kajang untuk mendraf surat memohon kebenaran daripada pengetua sekolah.

Dalam kerancakan AJK Kelab itu membuat perancangan, Edith sedar yang tanpa lampu hijau daripada pengetua, ianya hanyalah angan-angan mereka sahaja. Dalam beberapa pertemuannya dengan Puan Sakunthala, dia mendapat gambaran seorang pentadbir yang tegas tapi boleh dibawa bertolak ansur. Edith mempertimbangkan pendekatan yang perlu diguna pakai olehnya untuk mendapatkan persetujuan Puan Sakunthala dan memutuskan yang dia memerlukan lebih banyak maklumat. Pensel di tangannya diletakkan dan dia berpaling menghadap guru muda yang duduk di penjuru sudut dengannya.

"Cik Lee, boleh saya tanya sesuatu?"

Lee Ai Lin mendongak daripada buku latihan yang sedang ditandanya. Pen dakwat merahnya ditutup kemas agar tidak mencomotkan jari jemarinya. Dia sebenarnya berasa lega dengan pertanyaan guru Peace Corp daripada Amerika Syarikat itu, terasa seperti otaknya sudah beku menanda jawapan kefahaman pelajar kelas tingkatan tiganya itu.

"Ada apa, Cik Baumgardner?" Ai Lin meregangkan jari jemarinya yang lenguh dan memalingkan wajahnya menghadap Edith.

"Tabung Kelab Kebudayaan tu terlalu cetek untuk membuat apa-apa program yang menarik. Jadi, kami bercadang untuk mengadakan satu majlis tari menari untuk mengutip duit untuk tabung kelab. Pada pendapat Cik Lee, agaknya Puan Sakunthala setuju tak nak beri kebenaran untuk kami anjurkan majlis tu?" Edith bangun dan merapati meja Ai Lin. Dia memerhatikan dengan sedikit rasa iri akan rambut Ai Lin yang lurus tersisir rapi di bawah skaf yang sepadan dengan dres hijau air tanpa lengan yang dipakainya. Corak buluh kain dres itu seperti menekankan kelangsingan tubuhnya Ai Lin, menambah kecemburuan Edith.

"Menarik cadangan tu, Cik Baumgardner. Saya rasa, ada kemungkinan yang agak baik untuk Puan Sakunthala memberi persetujuannya. Ini bukanlah majlis tari menari pertama yang diadakan di sini. Tahun lepas ada yang menganjurkan joget lambak di dewan sekolah ni," kata Ai Lin sambil tersenyum.

"Joget lambak tu apa, Cik Lee?"

Ai Lin pun menerangkan konsep majlis joget lambak kepada Edith. Dia siap bangun untuk menunjukkan beberapa langkah tarian joget untuk Edith, menerangkan yang joget adalah tarian yang sopan; pasangan yang menari langsung tidak bersentuhan. Edith menyuarakan kehairanannya tentang bagaimana seorang lelaki dan perempuan boleh menari tanpa memegang tangan sekalipun. Ai Lin tertawa dan berkongsi kisah joget lambak yang dulu sering dikunjunginya semasa dia masih tinggal di Melaka.

"Mungkin kita boleh gabungkan elemen joget lambak dalam majlis tari menari kelab Cik Baumgardner untuk memberi suatu kelainan kepada majlis tu," saran Ai Lin. "Boleh jadi ia akan menarik orang yang tak biasa dengan konsep tari menari Barat untuk turut serta."

"Bagus juga cadangan awak tu, Cik Lee. Kalau awak ada sikit masa, boleh tak kita bincangkan perkara ni dengan lebih lanjut? Saya rasa kami akan perlukan input daripada awak supaya benda ni boleh dijayakan dengan betul. Sekejap, saya nak ambil buku nota untuk tulis saranan dan idea awak," ujar Edith, sambil melangkah ke mejanya. Dia mencapai buku nota kecilnya di dalam laci atas dan sebuah pen yang baru diisi dakwatnya tadi dan kembali ke meja Ai Lin. Ai Lin dengan gembiranya mengenepikan sebentar timbunan buku latihan yang perlu disemaknya dan mereka berdua pun rancak berbincang dan mencatat butiran rancangan untuk menganjurkan majlis tari menari mengumpul dana yang pertama di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth.

Bahagian 1

5.2.14

Kisah Cinta Tanpa Nama: Bahagian Satu

Mentari petang masih lagi terasa keterikannya. Dari jauh, nampak logamaya yang mengapung di atas jalan yang baru diturap itu. Tarnya masih hitam, berkilat, bau likat yang hangit menusuk hidung. Kuli-kuli India yang tadinya meratakan kerikil, menuang tar dan menggeleknya hingga sebati atas jalan itu berbaring-baring di bawah pokok tembusu di simpang itu. Rumput yang terpotong rapi itu tidaklah segebu tilam mahal, tapi cukuplah untuk melabuhkan tubuh yang kepenatan.

Kicauan unggas dan dengung serangga yang menghuni taman dan persekitaran Kelab Sultan Idris itu disulami suara-suara jantan yang rancak berbual dalam bahasa Tamil. Sesekali angin petang meniup mengeringkan keringat, membawa hawa petanda hujan akan tiba malam nanti. Tercium bau kelembapan walaupun mega belum muncul.

Kelab itu pada mulanya didirikan sebagai rumah kelab rekreasi untuk pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di daerah di kaki banjaran Titiwangsa itu. Kekayaan bijih yang dikaut dengan rakusnya oleh Inggeris memastikan yang prasarana kelab itu setanding dengan kelab lain di Georgetown dan Kuala Lumpur. Tiap petang gelanggang tenisnya riuh dengan tawa dan sorakan pemain dan penonton. Setiap pagi Jumaat menyaksikan pelajar-pelajar lelaki di sekolah mubaligh berdekatan belajar berenang dan terjun di papan anjal di kolam renang bersaiz Olimpik di sebelah gelanggang tenis berkembar itu; sekurang-kurangnya tiga orang perenang wakil negeri berasal daripada sekolah mubaligh itu.

Senibinanya mirip rumah kelab golf di Glasgow tempat kelahiran jurubinanya, ciri gothiknya diimbangkan dengan kemasan cat putih yang memberikan gambaran saiz yang lebih besar daripada yang sebenar. Lanskap mukabuminya telah mengubah sebuah kolam tinggal setelah habis bijihnya dilombong menjadi satu pemandangan indah yang boleh dinikmati daripada dewan tari menari dan dewan santapan rumah kelab itu.

Tapi keringnya bijih di kawasan itu selepas Perang Dunia Kedua telah membawa kesepian kehadiran Inggeris di situ. Orang Kaya Jajahan daerah itu mengambil alih pengurusan kelab itu dan dinamakan Kelab Sultan Idris. Langkah pertama yang dilakukan oleh bangsawan itu ialah mengarahkan papan tanda "Europeans Only" di pintu hadapan kelab itu dicabut dan papan itu dibakar. Kini pintunya terbuka kepada bangsawan dan orang ternama tempatan, saudagar-saudagar Cina yang kaya raya dan pegawai-pegawai kerajaan serta keluarga mereka.

Ada suatu binaan yang jauh sedikit daripada bangunan kolam renang bersebelahan dengan garaj kenderaan kelab. Ianya menjadi tumpuan setiap petang Sabtu bagi penggemar tinju; gelanggang tinju di gimnasium itu menjadi medan peninju amatur daerah belatih dan bertanding. Kesemua tingkap dan pintu gimnasium itu terbuka untuk membenarkan angin petang meredakan bahang yang terkuap dalam bangunan itu. Di penjuru tergantung sebuah beg pasir yang sedang terbuai-buai mengikut tumbukan padu yang dilepaskan oleh satu-satunya pengguna gim pada petang itu.

Peninju muda itu tinggi dan kekar, lebih tinggi daripada rakan-rakan sebayanya. Kemeja dalamnya lutsinar dibasahi keringat, melekap, melakar lanskap otot tubuhnya dan bahunya yang lebar. Lengannya berlingkar urat dek kuatnya genggaman penumbuknya. Nafasnya deras dengan setiap tumbukan yang hinggap kepada beg pasir itu. Muhammad Ali berdiri di dinding sebelahnya dengan kedua penumbuk di paras dada, seakan-akan mencabar peninju muda itu untuk beraksi dengannya.

Sepatu di kakinya berdesir dengan setiap tumbukan; jab, cross, hook dan uppercut, silih berganti. Setelah tamat masa yang ditetapkannya di beg pasir, peninju muda itu berhenti. Sederet lima botol Coca Cola tersusun di tepi telah diisi dengan air kosong. Disimbahnya wajahnya yang hangat dan dihirup barang tiga empat teguk untuk melincirkan kerongkongnya yang kering. Dia bersandar sebentar untuk memperlahankan nafasnya yang kencang. Satu jalur sinar matahari yang menembusi tingkap dari sudut ufuk barat menyinari wajah peninju muda itu. Kulitnya sawo matang dan licin; berdahi luas di atas sepasang mata yang dalam letaknya. Bulu matanya yang lebat membuatkan matanya kelihatan seakan-akan digarisi celak tebal; punca dia sering diejek sejak kecil dan menjadi satu pendorong kepadanya untuk menyarung sarung tinju. Hidungnya yang panjang jelas pernah menerima hentakan buku lima yang keras; batangnya sudah tidak lurus dan terbonjol sedikit. Bibirnya jarang mengukir senyuman; tegas peribadinya menyorokkan suatu sense of humour yang menghargai kesinisan dan lelucon mainan kata.

Reda alunan ombak dadanya, dia membuka gulungan pembalut yang melindungi buku limanya daripada kain guni yang meliputi beg pasir itu. Buku tangannya berbelulang, tindak balas pelindungan kulitnya akibat hentaman yang biasa dialami kerana ayunan penumbuknya. Dengan cermat dia menggulung pembalut itu untuk digunakan semasa latihan akan datang, disimpan kemas di sudut simpanan. Dia mencapai tali dan kembali ke kawasan lapang untuk cool down skip 100 kali seperti kebiasaannya.

Peninju muda itu asyik melompat mengikut irama kiraan dalam kepalanya tanpa menyedari dirinya diperhatikan oleh sesusuk tubuh di luar gimnasium itu. Yang empunya mata itu berhati-hati untuk berdiri hampir dengan pohon spruce yang ditanam di perimeter bangunan itu, menyorokkan tubuhnya di bayangan pokok malar hijau itu. Dia memerhatikan peninju muda itu beralih kepada push ups dan sit ups sebelum melakukan latihan kalistenik meregang, mengagumi kekuatan dan kelasakan sang peninju itu yang berlatih dengan penuh dedikasi. Mendengar namanya dipanggil, si pemerhati itu bingkas beralih, meninggalkan peninju muda yang mengelap peluhnya dengan tuala.

Kawanan gagak memanggil-manggil untuk pulang ke sarang mengiringi derap tapak peninju muda itu melangkah ke rumahnya. Angin petang meniup lembut, menyisir rambutnya yang mula kering. Beg sekolah dan peralatan latihannya digalas kemas, berayun dengan irama setiap langkahnya. Peninju muda itu bersiul-siul, meniru siulan serindit. Tenggelam mentari di ufuk barat memberinya bayang yang panjang bak hantu galah, mengekori geraknya pulang di kuarters kakitangan kerajaan yang tidak jauh dari Kelab Sultan Idris.

Dan sang pemerhati menatap lagi daripada tingkap belakang Daimler yang menyusuri jalan ke rumah-rumah banglo di kaki bukit.