4.5.13

Pandanglah lihatlah ...

Aku melihat gambar ini di blog Uncle Gedek yang merakamkan wajahnya setiap hari dengan air muka yang sama berlatar belakangkan sesuatu yang lucu ataupun diberikan petikan yang kelakar.

Jangan marah ya, Uncle.

Aku teringat satu insiden di mana aku ditahan polis trafik kerana melanggar lampu merah. Kejadian berlaku di Seksyen 14 Petaling Jaya di satu simpang tiga dekat dengan JayaOne (cewah! Bunyi macam pembaca berita pulak).

Aku dari arah SS2 masuk ke kiri untuk menuju ke Jalan Universiti. Lampu dah merah, tapi jalan masuk ke arah Jalan Universiti tu ada 3 lorong. Aku ingat tak apalah aku curi masuk; kereta yang sepatutnya jalan ada lagi 2 lorong untuk dilalui.

Masuk sahaja aku ke jalan itu aku dilambai oleh abang Polis Trafik yang tegap dengan kumis menggiurkan ala2 Magnum PI (lebih kurang dengan misai Uncle Gedek, tak silap aku). Menggeletar aku berhenti ke bahu jalan. Aku pun bersedia dengan dompet untuk mengeluarkan lesen sekiranya diminta. Freddie Mercury terhenti di tengah-tengah lagu apabila aku padamkan radio.

"Lambat pergi kerja ya?" tanya Abang Polis Trafik. "Tau kan yang langgar lampu merah tu salah?"

"Ya, Encik," jawabku penuh hormat. Dah memang salah, nak kata apa lagi?

"Kerja kat mana?" Aku terpegun dengan cermin mata aviatornya yang berkilat macam cermin bilik air yang baru digilap.

"Universiti Malaya, Encik."

Tak semena-mena, Abang Polis Trafik bertanya aku soalan cepu emas.

"Suami kerja kat mana?"

"Takde suami, Encik. Semak sangat, takde siapa yang nak," aku menjawab dengan penuh jujur. Pagi itu aku basuh rambutku yang separas bawah bahu itu. Aku memandu dengan tingkapku terbuka dan rambutku kusut ditiup angin, saling tak ubah seperti sarang burung camar di tepi cenuram Lautan Atlantik.

Abang Polis Trafik itu tersedak; aku syak dia menahan ketawa. Setelah mengawal air mukanya untuk kembali kepada mode garang, dia lepaskan aku tanpa saman dan hanya dengan amaran untuk tidak mengulangi kesilapan itu.

Tapi aku rasa kalau aku lelaki, nescaya aku tak terima soalan cepu emas tu.

4 ulasan:

Tokok-tambah