6.5.13
Pantang maut sebelum ajal
Bila aku sedar semula, aku masih lagi di dalam tangki sokongan hayat itu. Cuma kali ini, penglihatanku jelas dan aku dapat melihat betapa tubuhku diselaputi kulit baru yang licin. Tangan dan kakiku masih lagi dicengkam kemas oleh belenggu bio tapi kini aku bernafas dengan alat yang menutup bahagian bawah wajahku tanpa lagi rahangku disangga alat sokongan hayat.
Lega aku bila merasakan yang aku sudah boleh menggerakkan anggotaku, walaupun terhad. Jari-jariku diregang silih berganti dengan genggaman penumbuk. Kulitku terasa sangat ketat, tendon dan urat tanganku tegang. Penumbuk ku lebih mirip kepada
"Selamat pagi, Kapten Zain," suara wanita itu berkumandang lagi di dalam kepalaku. Kulitku tidak lagi semerah yang terakhir kuingat. "Selamat pulang ke alam sedar. Saya Dr. Rehan. Kapten jangan risau dengan situasi Kapten. Kami akan keluarkan Kapten dari dalam tangki sokongan hayat hari ini. Buat masa ini, Kapten masih ada tiub pemakanan dalam hidung, jadi mungkin Kapten rasa sedikit kurang selesa. Kami dah ganti tiub intra-trakea kepada topeng repiratori untuk membantu Kapten bernafas. InsyaAllah Kapten selesa sedikit. Boleh Kapten angguk kalau Kapten faham?"
Aku merasa leherku bergerak sedikit dan nampaknya ia cukup untuk memuaskan hati sang doktor itu. "Jangan takut kalau Kapten rasa lemah, ini biasa dengan rawatan tangki sokongan hayat. Sebentar lagi kami akan lepaskan tekanan dalam tangki. Kapten mungkin rasa ganjil sikit kerana bila tekanan dilepaskan, gel dalam tangki akan bertukar menjadi cecair. Bersedia ya?"
Belum sempat aku bertindak-balas, tekanan tangki itu dilepaskan dengan desis yang boleh dibanggakan anakonda Brazil yang telah lama lenyap. Tekanan yang tidak kusedari menekap seluruh tubuhku tiba-tiba lenyap. Tanganku yang terapung jatuh dek berat belenggu yang membalut tanganku dari pergelangan hingga hampir ke siku. Aku mula menyedari kesan graviti kerana tubuhku tidak lagi ditampung "agar-agar" yang mengisi tangki itu.
Perlahan-lahan tubuhku diangkat keluar daripada tangki itu. Buat seketika aku terbayangkan bagaimana kontena kargo diangkat menggunakan kren di sektor logistik. Tubuhku dibaringkan di atas sebuah katil pesakit dan aku dapat merasakan tangan-tangan menyentuh bahagian-bahagian tubuhku; jauh dalam benakku terbit rasa marah yang aku disentuh tanpa rela, seperti anak patung dibelek-belek anak kecil.
Aku cuba menyapu lendir di wajahku supaya dapat aku melihat dengan lebih jelas tapi tanganku tak bermaya. Tangan yang lemah-lembut mengelap mukaku dengan pergerakan terlatih dan kemas. Aku terkebil-kebil, mataku menggeronyot menahan keterikan lampu.
"Selamat pulang, Kapten," ucap Dr. Rehan. Aku dapat mendengar senyuman puas dalam suaranya. Belenggu di tangan dan kakiku serta topeng pernafasanku ditanggalkan. Aku menghirup udara yang tidak dikitar semula buat pertama kali setelah sekian lama. Lain-lain tiub yang disambung ke pelbagai rongga tubuhku juga turut dicabut perlahan-lahan oleh kakitangan Dr. Rehan; walaupun lembut pergerakan mereka, pedihnya tetap berbisa.
Tubuhku disiram lembut pancuran air suam, sepan berbusa membantu membersihkan lendir cecair gel dalam tangki hayat itu. Walaupun tanpa seurat benang, aku terlalu tidak bertenaga untuk berasa malu bila badanku dibersihkan, dikeringkan dan disarungkan baju oleh kakitangan Dr Rehan.
Aku tersandar dan merenung tangki yang telah menjadi "rumahku" entah berapa lama itu. Ia setinggi lebih kurang 2 meter dengan diameter lebih kurang sama. Diperbuat daripada bahan lutsinar, aku mengandaikan yang ia berkemungkinan sejenis Silliglas (TM) ; nama yang lucu itu merupakan bahan berasaskan silikon yang tahan lasak. Cecair didalamnya kelihatan kebiruan dan berkeladak. Adakah kulit baru aku berdaki di dalam tangki itu? Ada pelbagai sambungan terdapat padanya ; ia kelihatan lebih kompleks daripada enjin tujahan anti-matter pesawatku.
Kapal Angkasa Diraja Adnan.
Jantungku seperti direnggut memikirkan kapal angkasaku yang musnah dihentam kor musuh. Sedih berbaur geram membara rasa marahku atas kemusnahan pesawatku yang kusayangi itu.
"Doktor... anak ... kapal ... saya ..." kerongkongku masih gersang dan ngilu kesan tiub intra-trakea itu. Dr. Rehan berhenti berbincang dengan rakan sekerjanya dan berpaling kepadaku, matanya bersinar dengan simpati.
"Maaf, Kapten. Saya tak tahu. Mungkin Kapten boleh tanya Kolonel Rahman bila dia datang untuk debrief Kapten nanti."
"Duta ... Scolari?" Aku merasakan hatiku berat menanti jawapannya. Dr. Rehan saling berpandangan dengan rakan sekerjanya. Dia menggelengkan kepala.
"Maklumat berkenaan Duta Scolari masih dirahsiakan, Kapten. Kami tak dapat nak beri apa-apa jawapan," jawab rakan sekerjanya, seorang lelaki yang tinggi dengan mata yang dingin bak fros Artik. Pakaian jurubedah beliau tegang di bahunya yang lebar, lengannya menunjukkan otot yang kekar. Seorang doktor yang turut terlatih untuk membunuh. Ramai kakitangan di pusat perubatan ketenteraan terlatih untuk mengubati dan juga menyebabkan keperluan untuk diubati.
Aku mendiamkan diri selepas itu kecuali mengucapkan terima kasih kepada jururawat yang menyuakan air dingin untuk membasahkan mulut dan tekakku yang kering bak dataran Insula Ventorum di Bulan. Fikiranku berkisar sekitar nasib anak kapalku dan Duta Scolari sambil aku dibawa ke sebuah bilik.
Latihan pemerhatianku meyakinkanku yang aku kini di sebuah hospital tentera; besar kemungkinan kembali di Bumi kerana tiada kemudahan perubatan di mana-mana stesen angkasa mempunyai kelengkapan seperti tangki sokongan hayat. Koridor-koridor yang aku lalui semuanya sunyi, manusia dan robot perubatan di stesen-stesen tertentu sahaja yang kelihatan. Aku meneka yang aku di sayap penyelidikan kerana banyak katil-katil di wad yang aku lalui kosong. Mustahil ada hospital tentera milik Persekutuan yang begitu sikit penghuninya, tambah lagi sekarang dengan ketegangan di antara pihak Persekutuan dan Gabungan Maastricht.
Bilik di mana katilku ditempatkan diterangi cahaya dari luar sebuah tingkap yang ditutupi langsir nipis. Jururawat yang menanti di bilik itu memasang lead alat pemantau sokongan hayat ke tubuhku dan memeriksa bacaan di peralatannya sebelum beredar. Hanya Dr. Rehan dan jurubedah yang sasa itu yang tinggal.
"Saya Dr. Scofield," katanya, memperkenalkan dirinya. Aku mengangguk. Dr. Rehan menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya sambil menghela nafas lega. Dia seorang wanita yang agak gempal, ditambah dengan saiz kandungannya yang aku agak menanti hari untuk dilahirkan. Tangan kirinya menggosok pinggangnya yang pasti lenguh.
Tanpa disuruh, Dr. Scofield menarik sebuah lagi kerusi hampir ke kaki Dr. Rehan, memberi isyarat agar dia meletakkan kakinya di atas kerusi yang lagi satu. Dr. Rehan mengucapkan terima kasih dan berbuat demikian. Buku lalinya yang terjulur di hujung seluarnya itu nampak bengkak sekali.
Doktor yang hamil itu menyusun dirinya hingga selesa di antara 2 kerusi itu sementara rakannya menyandarkan bahunya ke dinding dekat dengan pintu. Aku menundukkan kepalaku untuk mencapai minuman yang diletakkan berhampiran dengan badanku; jururawat yang bertimbang-rasa itu turut meletakkan penyedut minuman di dalam gelas berisi air sejuk itu.
"Tahniah, Kapten. Awaklah orang pertama yang telah merasmikan tangki hayat itu setelah kami buat pembaharuan terhadapnya," kata Dr. Rehan, sambil tersenyum. Perempuan ini cukup murah dengan senyumannya, barangkali terlalu gembira yang bahan ujikajinya (yakni aku) berjaya.
"Terima kasih ... saya ingat ... dah mati ..." aku menyandar pada bantal gebu di belakangku.
"Memang Kapten dah nyawa-nyawa ikan waktu KAD Adnan ditemui skuadron penyelamat," ujar Dr. Scofield. Dia pun menggariskan kesemua kecederaan aku. "Melecur tahap ketiga lebih 70% badan Kapten, patah tulang kedua belah tangan dan kaki, retak tempurung kepala, limpa pecah dan pendarahan teruk di hati. Ini tak termasuk luka-luka permukaan. Kami terpaksa bubuh skru titanium untuk menstabilkan tulang belakang Kapten di bahagian sakral dan lumbar."
"Jangan terkejut bila Kapten lihat muka Kapten di cermin nanti bila bercukur," kata Dr. Rehan dengan lembut. "Kami terpaksa membentuk semula wajah Kapten kerana ia cedera teruk lepas ruang pusat kawalan meletup."
"Peduli ... apa ... penting ... krew ..." alat pemantau di sebelah katilku mula berbunyi, menepati denyutan nadiku yang meliar bersama perasaanku yang bergolak. Dr. Scofield
bingkas menekan butang-butang mematikan penggera itu.
"Tenang, Kapten. Kami faham yang Kapten ambil berat tentang keselamatan krew Adnan. Kolonel Rahman akan datang pagi esok jadi Kapten tak perlu risau. Buat masa ini, biar kami bincang tentang keadaan diri Kapten."
Pintu bilikku diketuk oleh jururawat tadi yang datang meninjau alat pemantauku yang berbunyi tadi. Dia beredar kembali setelah berbincang sebentar dengan Dr. Scofield.
"Kecederaan Kapten boleh dikira katastrofik," kata Dr. Rehan dengan serius. "Kami telah lakukan yang terbaik dan ianya satu keajaiban yang Kapten boleh sampai ke tahap ini. Kapten perlu bersedia yang Kapten mungkin menghadapi kesukaran untuk kembali bertugas.”
“Saya … faham.” Aku tak beritahu dia yang sebenarnya aku ingat aku akan mati bersama KAD Adnan. Aku hanya boleh bersyukur yang aku belum lagi menapak ke alam barzakh bersama letupan terakhir yang membantai kapal angkasaku.
“Nasib baik tengkorak Kapten keras … itu sebabnya kecederaan kepala paling teruk yang Kapten alami hanyalah di bahagian muka. Kami pun terkejut yang tiada tanda-tanda kecederaan serius pada sereberum atau serebelum Kapten,” kata Dr. Scofield. Pandanganku kabur, jadi aku tak pasti samada dia berseloroh ataupun tidak.
“Walaupun kata-kata Dr. Scofield tu agak, kejam, tapi ia benar,” Dr. Rehan menjeling kepada Dr. Scofield sebelum menyambung. “Yang paling kami bimbangkan ialah jangkitan kerana Kapten mengalami lecur tahap ketiga hampir keseluruhan tubuh Kapten; yang terselamat hanya hujung kaki Kapten yang dilindungi but.”
"Heh." Aku tersenyum pahit. Semua orang tahu yang antara ke semua bahagian seragam tentera angkasa Malaysia, but itulah yang paling tahan lasak dan kalis pelbagai kerosakan. Malangnya para saintis masih belum berjaya mengulangi polimer but tersebut dengan cukup lembut untuk dijadikan kain pakaian seragam.
"Sekarang ni, Kapten perlu tumpukan perhatian untuk pulih sepenuhnya. Jangan sia-siakan usaha kami untuk memanjangkan nyawa Kapten, okey? Sebentar lagi jururawat akan datang dengan makan tengahari ... hanya makanan yang lembut buat masa ini. Petang nanti pakar fisioterapi akan datang untuk memulakan rawatan pemulihan." Dr Rehan merujuk kepada peranti tablet di tangannya. Dia dan Dr Scofield saling bertukar pandangan, berbincang tanpa suara sebelum Dr Rehan menurunkan kakinya dan bangun perlahan-lahan. Dr Rehan menggenggam tanganku dengan kemas dan tersenyum, seolah-olah mahu memberikan aku kekuatan, sebelum beredar.
Dr Scofield berhenti di depan pintu bilikku dan berpaling. "Selamat kembali, Kapten Zain."
Bahagian satu
4.5.13
Pandanglah lihatlah ...
Aku melihat gambar ini di blog Uncle Gedek yang merakamkan wajahnya setiap hari dengan air muka yang sama berlatar belakangkan sesuatu yang lucu ataupun diberikan petikan yang kelakar.
Aku teringat satu insiden di mana aku ditahan polis trafik kerana melanggar lampu merah. Kejadian berlaku di Seksyen 14 Petaling Jaya di satu simpang tiga dekat dengan JayaOne (cewah! Bunyi macam pembaca berita pulak).
Aku dari arah SS2 masuk ke kiri untuk menuju ke Jalan Universiti. Lampu dah merah, tapi jalan masuk ke arah Jalan Universiti tu ada 3 lorong. Aku ingat tak apalah aku curi masuk; kereta yang sepatutnya jalan ada lagi 2 lorong untuk dilalui.
Masuk sahaja aku ke jalan itu aku dilambai oleh abang Polis Trafik yang tegap dengan kumis menggiurkan ala2 Magnum PI (lebih kurang dengan misai Uncle Gedek, tak silap aku). Menggeletar aku berhenti ke bahu jalan. Aku pun bersedia dengan dompet untuk mengeluarkan lesen sekiranya diminta. Freddie Mercury terhenti di tengah-tengah lagu apabila aku padamkan radio.
"Lambat pergi kerja ya?" tanya Abang Polis Trafik. "Tau kan yang langgar lampu merah tu salah?"
"Ya, Encik," jawabku penuh hormat. Dah memang salah, nak kata apa lagi?
"Kerja kat mana?" Aku terpegun dengan cermin mata aviatornya yang berkilat macam cermin bilik air yang baru digilap.
"Universiti Malaya, Encik."
Tak semena-mena, Abang Polis Trafik bertanya aku soalan cepu emas.
"Suami kerja kat mana?"
"Takde suami, Encik. Semak sangat, takde siapa yang nak," aku menjawab dengan penuh jujur. Pagi itu aku basuh rambutku yang separas bawah bahu itu. Aku memandu dengan tingkapku terbuka dan rambutku kusut ditiup angin, saling tak ubah seperti sarang burung camar di tepi cenuram Lautan Atlantik.
Abang Polis Trafik itu tersedak; aku syak dia menahan ketawa. Setelah mengawal air mukanya untuk kembali kepada mode garang, dia lepaskan aku tanpa saman dan hanya dengan amaran untuk tidak mengulangi kesilapan itu.
Tapi aku rasa kalau aku lelaki, nescaya aku tak terima soalan cepu emas tu.
Jangan marah ya, Uncle.
Aku teringat satu insiden di mana aku ditahan polis trafik kerana melanggar lampu merah. Kejadian berlaku di Seksyen 14 Petaling Jaya di satu simpang tiga dekat dengan JayaOne (cewah! Bunyi macam pembaca berita pulak).
Aku dari arah SS2 masuk ke kiri untuk menuju ke Jalan Universiti. Lampu dah merah, tapi jalan masuk ke arah Jalan Universiti tu ada 3 lorong. Aku ingat tak apalah aku curi masuk; kereta yang sepatutnya jalan ada lagi 2 lorong untuk dilalui.
Masuk sahaja aku ke jalan itu aku dilambai oleh abang Polis Trafik yang tegap dengan kumis menggiurkan ala2 Magnum PI (lebih kurang dengan misai Uncle Gedek, tak silap aku). Menggeletar aku berhenti ke bahu jalan. Aku pun bersedia dengan dompet untuk mengeluarkan lesen sekiranya diminta. Freddie Mercury terhenti di tengah-tengah lagu apabila aku padamkan radio.
"Lambat pergi kerja ya?" tanya Abang Polis Trafik. "Tau kan yang langgar lampu merah tu salah?"
"Ya, Encik," jawabku penuh hormat. Dah memang salah, nak kata apa lagi?
"Kerja kat mana?" Aku terpegun dengan cermin mata aviatornya yang berkilat macam cermin bilik air yang baru digilap.
"Universiti Malaya, Encik."
Tak semena-mena, Abang Polis Trafik bertanya aku soalan cepu emas.
"Suami kerja kat mana?"
"Takde suami, Encik. Semak sangat, takde siapa yang nak," aku menjawab dengan penuh jujur. Pagi itu aku basuh rambutku yang separas bawah bahu itu. Aku memandu dengan tingkapku terbuka dan rambutku kusut ditiup angin, saling tak ubah seperti sarang burung camar di tepi cenuram Lautan Atlantik.
Abang Polis Trafik itu tersedak; aku syak dia menahan ketawa. Setelah mengawal air mukanya untuk kembali kepada mode garang, dia lepaskan aku tanpa saman dan hanya dengan amaran untuk tidak mengulangi kesilapan itu.
Tapi aku rasa kalau aku lelaki, nescaya aku tak terima soalan cepu emas tu.
Langgan:
Catatan (Atom)