28.6.11

Katakan sayang dengan ...

"... I was born this way!" teriak Lady Gaga. Tanganku menggagau mencari sumber bunyi menjengkelkan itu. Nasib baik bahagian otak hadapan aku mengenalpasti nada dering abang sulungku dan menghalang pusat limbik dari menggerakkan tanganku untuk melempar Nokia itu ke dinding untuk mendiamkannya buat selama-lamanya.

"... lo?"

"Dah beli dah yang Yop suruh tu?" Sememangnya abangku itu bukan seorang yang membuang masa dengan santunan yang biasa membuka sesuatu perbualan. Otakku yang mamai cuba menafsir apa yang dimaksudkan oleh abang.

"Yang mana satu?" Aku menggeliat sepuas-puasnya. Sendi-sendiku meletup bak bertih.

"Benda untuk mak tu la. Engkau baru bangun tidur ya? Dah Zohor pun kau tidur lagi?" Abang sering lupa yang akulah adiknya yang mewarisi kesemua gen harimau malas keluarga kami.

"Malam tadi ada gig. Balik lambat." Aku menyepak selimutku ke kaki katil dan terkebil-kebil. Mentari tengahari dihadang oleh langsir blackout; bilik tidur aku dingin dan gelap bak gua kelawar.

"Maknanya kau jadi porter angkat barang, kan? Tak sesuai langsung dengan kedudukan kita tau." Aku buat-buat dengar omelan abang: engkau patut bla bla ... jangan lagi bla bla ... sedar sikit bla bla ... dengan respon bunyi-bunyian yang dia sendiri tahu adalah jawapan tak ikhlas aku.

Abang-abang aku cukup tak suka aku menjadi roadie untuk kugiran kawan baik aku. Pada mereka, kalau bukan sebagai watak utama, tak usah nak masuk teater. Kalau bukan untuk membuat persembahan, buat apa ikut kugiran? Macamlah mereka tak tau yang kalau aku menyanyi, boleh banjir dibuatnya dek kehebatan hujan yang aku seru. Dan aku bukannya tahu main gitar ke, apa ke.Tapi aku suka muzik dan aku nak sokong kawan aku. Tak salah kan?

Tapi, keluarga mana yang tak fikirkan yang hebat-hebat untuk kau, betul tak? Walaupun kau sebenarnya langsung tak berbakat.

"Cuba ingatkan balik apa yang nak kena beli untuk mak tu?"Pintas aku bila abang menarik nafas untuk menyambung leterannya. Kalau dibiarkan, abang akan membebel sampai habis bateri telefon. Dia memang jaguh leter. Kakak ipar aku pun akui.

Sepuluh minit berlalu dengan akhirnya aku berjanji untuk mengepos buku-buku dan benang kait yang dikehendaki mak sebelum hujung minggu ni. Nasib baik ada anak saudara yang melaung-laung memanggil abang; kalau tak mesti panjang lagi bebelannya. Aku tak kisah; adik yang bongsu mesti tebal telinganya menahan leteran yang datang dari segenap penjuru. Pada aku, leteran itu tanda kasih sayang. Haramlah mana-mana ahli keluarga aku berkata, "I love you" seperti yang dilihat di kaca televisyen.

Kami harimau, okey? Bukan orang putih atau pelakon melodrama.
Lepas ni, jangan lupa jemur kain! (Gambar oleh floridapfe)

26.6.11

Ironi

Lampu kalimantang yang menyinari tangga ke rumah sewa aku berkerdipan bak bulu mata mak nyah Lorong Haji Taib bila ternampak pelanggan. Aku menyumpah Ah Kiong, pengurus bangunanku buat kesekian kalinya. Memanglah aku tak ada masalah dengan tangga yang malap tu, tapi macam mana pulak dengan jiranku yang lain? Si pemalas tu memang meminta untuk dimaki esok nampaknya.

Asyik aku menapak naik, dua orang lelaki lengkap untuk pergi merempit berselisih denganku. Aku mengerutkan hidung dan cuba menahan nafas, tapi bau hapak tubuh dan baju tak berbasuh yang disulami dengan asap rokok basi itu tetap menusuk deria bauku yang sensitif.

Sampai ke paras rumah sewaku, lampu itu akhirnya menyerah kalah. Cahaya dari lampu jalan yang mengintip di celah-celah lubang pengudaraan di hujung sana gagal memecah kegelapan menyelubungi koridor sunyi itu. Aku masuk ke rumahku dan mencampakkan beg sandangku di atas sofa. Jiran sebelahku tidak boleh tidur lagi; terdengar bunyi gitar klasik dipasang perlahan bagi menemaninya membaca. Perut ku berkeroncong, mematahkan semangat aku untuk mandi. Langkahku kembali ke dapur.

Aku menghabiskan saki-baki hidangan tengahari kelmarin dan memasang ingatan di telefon bimbitku untuk ke pasar Chow Kit esok. Peti aisku sekosong almari Mother Hubbard dari cerita kanak-kanak Enid Blyton yang aku sukai semasa kecil dulu. Aku habiskan susu, membilas karton kosong itu sebelum mencampaknya ke timbunan barang kitar semula. Hmm ... kena singgah tong sampah juga.

Banyak betul kerja aku esok nampaknya.

Bilik air rumah sewaku dulu sangat daif sewaktu aku mula-mula pindah. Tanpa memperdulikan kontrak sewaan, aku telah menukar mangkuk tandas dan sinki yang retak dihiasi lumut hitam. Itulah gunanya ada abang kontraktor kelas A, bukan? Aku cuba mengekalkan elemen-elemen retro bangunan yang dibina sewaktu zaman pop yeh yeh dulu; aku rasa Austin Powers pun akan selesa melepak di sini.

Habis mandi dan berus gigi, aku menyarungkan t-shirt zaman haluansiswaku yang nipis setelah dibasuh beratus kali bersama seluar pendek yang kucuri dari almari kakakku. Seperti kebiasaannya aku tidak memasang lampu; memadailah sinaran neon Kuala Lumpur yang membelah malam. Kertas dinding monitor komputerku menayangkan gambar terbaru Winchester bersaudara di penjuru ruang yang aku label "pejabat"ku; aku sepatutnya menyiapkan laman web untuk perniagaan kek cawan kawan kakakku.

Tanpa rasa bersalah aku berlanjar di atas lantai di hadapan beranda dengan buku terbaru Carrie Vaughn di tanganku. Aku hanyut dibawa kisah pengembaraan Kitty dan hanya menutup buku itu setelah azan subuh berkumandang. Menggeliat sepuas-puasnya, aku bangun ke bilik air.

Tiger

Click here to get Images &Tiger Pictures - Pictures

Seorang harimau jadian yang ketagih fiksyen paranormal.Itulah aku.