19.4.12

Ini bukan kisah Uda dan Dara zaman mak kamu

"Kenapakah cinta kita begitu mencabar, Uda?" rintih Dara Melarat sambil teresak-esak dramatik. Dia pun menyeka air matanya yang luruh bak air terjun Chilling di bahu kemeja-t Uda Durjana yang belabel buaya itu. Dalam hati, Uda Durjana berdoa agar kekasihnya itu tidak mengesat hingus sekali di kemejanya seperti yang pernah dilakukan oleh Dara Melarat.

"Uda pun tak faham. Kenapakah Daddy Dara begitu kasar lagi bila mengetahui nama bapa Uda? I don't understand it." Uda Durjana memeluk Dara Melarat dengan lebih kemas lagi, menikmati keempukan dada Dara Melarat yang montok menyondol dadanya yang kekar. Tak mengapa kalau kena hingus sekalipun, Sunarti kan boleh basuhkan nanti? Dia membenamkan hidungnya di ubun-ubun kepala Dara Melarat, menyedut wangian syampu dan pewarna rambut, mereka berdating setelah Dara Melarat selesai sesi bersama pendandan rambut kesukaannya.

"Mungkin Mummy boleh tolong kita nanti, Uda. Dara akan suruh Mummy kurangkan membeli beg tangan LV untuk bulan ini sebelum dia pujuk Daddy to be more reasonable about our love," Dara Melarat mengangkat wajahnya, bulu mata palsunya bergenang dengan air mata yang tidak tumpah. Buat seketika Uda Durjana merenung wajah kekasihnya dengan penuh rasa takjub: bagaimanakah mekap Dara Melarat masih lagi sempurna walaupun setelah menangis semahu-mahunya? Dia teringat bagaimana wajah bekas kekasihnya menyerupai beruang panda setelah menangis kerana eyeliner dan maskaranya telah cair.

"Kita akan usahakan agar Daddy Dara faham yang we are in love," Uda Durjana mengusap rambut perang berbelak coklat Dara Melarat. Tidak kelihatan lagi akar rambutnya yang hitam; gandingan kulit Dara Melarat yang dicerahkan dengan usaha asid buah alfa hidroksi dan krim SPF 2 juta dan rambutnya yang perang bak JLo itu membuatkannya kelihatan seperti Beyonce Asia yang sungguh comel tanpa peha segagah peha Beyonce.

"And nothing's gonna change my love for you," kata mereka serentak. Dengan serta-merta angin petang membawa runut bunyi lagu George Benson yang kemudiannya dipopularkan oleh Glenn Medeiros di era 80an itu, terima kasih kepada kedai lanun cetak rompak yang terletak bersebelahan Secret Recipe tempat mereka memadu kasih.



5 ulasan:

  1. Dara adalah nama jahanam dalam life aku sbg student d sekolah geologi dulu, arghhhhh hilang mood aku membaca cerita ini!
    keh keh keh

    BalasPadam
  2. Aiseyman ... aku sebenarnya nak buat lampoon cerita cinta terlarang yang memualkan di kaca televisyen itu. Aku tengok 15 minit pun kulitku terengsa seperti aku bergolek di atas sarang kerengga.

    Ala ... klu ko tak sokong aku dengan membaca, siapa nak baca tulisanku?

    *bersedih*

    BalasPadam
  3. Mintak maaf sangat - sangat, tidak dapat ku tak dapat menahan air mata terlebih ketawa ketika membaca cerita ini. ku tahu cerita ini adalah cerita sedih.. akan tetapi..bwhahahahaahahaha

    BalasPadam
  4. Kita saaaaaaaayyyyyaaaaaaanggg sgt ngan Shazni! Hee!

    *twirls*

    Naz, siapa yg baca terasa sedih, mmg dasar org tak sensitif ngan aura sarcasm, hahahah!

    BalasPadam

Tokok-tambah