7.5.12

Pantang maut sebelum ajal

Sakit.

Seluruh tubuhku sakit. Aku tak pernah tahu yang rambut aku pun boleh rasa sakit; bulu mataku pun terasa berdenyut-denyut. Tangan kanan ku gatal yang teramat; aku menggarunya dengan sepuas-puasnya, tapi tak terasa.

Aku terasa seperti obor-obor yang hanyut dalam lautan dan dunia ini gelap semula.

*******

Aku teringat semasa kecil, aku suka berbaring di atas riba ibuku sewaktu dia membaca Al-Quran. Suaranya gemersik melagukan ayat-ayat suci yang disampaikan oleh junjungan Rasullullah SAW, kelunakannya hilang apabila dia memarahi aku. Aku hanyut menikmati bacaannya.

Tapi ibuku sudah lama tiada.

Aku tenggelam kembali.

*******



Perlahan-lahan deriaku terjaga dari lena. Seluruh sarafku bagai direnjat belut elektrik yang kutemui semasa berenang di Sungai Orinoco. Kelopak mataku bagai dibebani batu pemberat, tubuhku longlai seperti kain buruk yang baru diperah.
 
Keperitan membuatkan aku merelakan diriku tenggelam semula dalam kegelapan tanpa sedar.

* * * * * * *

Aku tak tahu berapa lama aku tidak sedar sehingga aku terkebil-kebil melihat belakang tanganku yang merah bak saga. Pandanganku kabur, telingaku terasa pekak seperti sewaktu aku menyelam skuba dahulu.

Anggota tubuhku longlai terapung; aku rasa seperti terbenam di dalam agar-agar. Aku cuba mengawal rasa panik yang menyirap seluruh pembuluh darahku tetapi gagal. Jantungku berdegup kencang, aku cuba menghela nafas sedalam yang mungkin tetapi terasa seperti paru-paruku tersekat daripada mengembang.

Ada sesuatu yang menyengkang rahangku, menghalang aku daripada mengeluarkan bunyi. Air mataku mengalir menahan geram, tubuh degilku enggan bergerak seperti yang ku arahkan. Aku terus meronta, memaksa anggotaku untuk bergerak, lari menjauhi ketidakupayaan yang membelenggu diriku. Aku dapat merasakan tangan dan kakiku ditambat, menyimbah minyak ke atas api panik yang mencengkamku.

Sayup-sayup satu bunyi yang menjengkelkan memecah tumpuanku berdenyut seiring dengan nadiku. Di belakang fikiran aku mengecamnya ia sejenis penggera, membuatkan aku menggandakan rontaanku.

"... Kapten ... tenang ... Kapten ..." seorang wanita yang tidak kukenali berulang-kali memanggilku, menggesa agar aku bertenang, suaranya seakan-akan bergema dalam kepalaku. Akhirnya aku menyerah kepada keletihan, otot-ototku dibakar asid laktik.

Sesuatu yang dingin disuntik ke dalam pembuluh darahku, memperlahankan nadiku dan meredakan otot-ototku yang kejang. Aku mula menyedari kerengsaan seluruh permukaan badanku, seperti kulitku terlalu ketat dan pedih.

Wanita itu terus berkata-kata. Sedikit demi sedikit aku mula memahaminya. "... Kapten Zain ... hospital ... tangki ... hayat ... takut ... usah melawan ..."

Sedikit demi sedikit aku menuruti gesaannya dan berhenti meronta. Suara lembut itu memberitahu yang pandanganku kabur kerana retinaku baru pulih akibat letupan kapal angkasaku, kedua belah tangan dan kakiku turut patah, dan alat yang menyengkang rahangku itulah yang membantu aku bernafas dan mendapat zat.

Sekali lagi cecair dingin meluncur di dalam pembuluh darahku dan aku kembali tenggelam tanpa sedar.