19.4.12

Ini bukan kisah Uda dan Dara zaman mak kamu

"Kenapakah cinta kita begitu mencabar, Uda?" rintih Dara Melarat sambil teresak-esak dramatik. Dia pun menyeka air matanya yang luruh bak air terjun Chilling di bahu kemeja-t Uda Durjana yang belabel buaya itu. Dalam hati, Uda Durjana berdoa agar kekasihnya itu tidak mengesat hingus sekali di kemejanya seperti yang pernah dilakukan oleh Dara Melarat.

"Uda pun tak faham. Kenapakah Daddy Dara begitu kasar lagi bila mengetahui nama bapa Uda? I don't understand it." Uda Durjana memeluk Dara Melarat dengan lebih kemas lagi, menikmati keempukan dada Dara Melarat yang montok menyondol dadanya yang kekar. Tak mengapa kalau kena hingus sekalipun, Sunarti kan boleh basuhkan nanti? Dia membenamkan hidungnya di ubun-ubun kepala Dara Melarat, menyedut wangian syampu dan pewarna rambut, mereka berdating setelah Dara Melarat selesai sesi bersama pendandan rambut kesukaannya.

"Mungkin Mummy boleh tolong kita nanti, Uda. Dara akan suruh Mummy kurangkan membeli beg tangan LV untuk bulan ini sebelum dia pujuk Daddy to be more reasonable about our love," Dara Melarat mengangkat wajahnya, bulu mata palsunya bergenang dengan air mata yang tidak tumpah. Buat seketika Uda Durjana merenung wajah kekasihnya dengan penuh rasa takjub: bagaimanakah mekap Dara Melarat masih lagi sempurna walaupun setelah menangis semahu-mahunya? Dia teringat bagaimana wajah bekas kekasihnya menyerupai beruang panda setelah menangis kerana eyeliner dan maskaranya telah cair.

"Kita akan usahakan agar Daddy Dara faham yang we are in love," Uda Durjana mengusap rambut perang berbelak coklat Dara Melarat. Tidak kelihatan lagi akar rambutnya yang hitam; gandingan kulit Dara Melarat yang dicerahkan dengan usaha asid buah alfa hidroksi dan krim SPF 2 juta dan rambutnya yang perang bak JLo itu membuatkannya kelihatan seperti Beyonce Asia yang sungguh comel tanpa peha segagah peha Beyonce.

"And nothing's gonna change my love for you," kata mereka serentak. Dengan serta-merta angin petang membawa runut bunyi lagu George Benson yang kemudiannya dipopularkan oleh Glenn Medeiros di era 80an itu, terima kasih kepada kedai lanun cetak rompak yang terletak bersebelahan Secret Recipe tempat mereka memadu kasih.



12.4.12

Belasungkawa

"And I .... I .... I .... will always ... love you ..."

Mendayu-dayu suara arwahnya Whitney Houston berkumandang dari corong stereoku. Lagu yang digarap oleh Dolly Parton itu dilontarkan dengan lantang dan bertenaga oleh seorang wanita yang kini telah dikebumikan. Tanganku mencapai alat kawalan jauh untuk menurunkan paras bunyi radioku itu.

Sejak kematiannya diumumkan Ahad lalu, lagu-lagu Whitney Houston diputarkan semula oleh stesen-stesen radio. Aku terasa agak geli hati kerana sewaktu hayatnya yang ditenggelami penggunaan dadah, dia sering dirujuk dengan nada menghina. Maklumlah, bila populariti dan bakat merosot dek menyedut kokain, siapa nak julang lagi? Pijak dan sepak lagi ada lah.

Kipas di siling berputar kencang menggerakkan angin petang. Nasib baik flat kediamanku ini dilindungi hotel-hotel ternama di segitiga emas kotaraya ini; panahan mentari petang tak menyinari rumahku. Aku duduk menatap laman muka buku, menyorot pelbagai video Whitney yang dikongsi rakan-rakanku. Ramai yang berkongsi pujian dan kenangan manis bersama arwahnya Cik Houston. Mulutku terukir senyuman sinis; jelas sekali maut membersihkan reputasi dan ingatan sama seperti Clorox memutihkan tuala mandi.

Tetikus di tangan kiriku mengklik laporan kematian Whitney; dia dijumpai lemas .... bla bla bla ... laporan toksikologi hanya akan diketahui sebulan kemudian. Nampaknya CSI alam nyata di Amerika Syarikat tidaklah secekap yang aku tonton di tv. Kalau yang itu, pasti aku akan tahu punca kematian mangsa empat puluh minit selepas kamera merakamkan mayat yang terkujur dengan begitu seni sekali. Aku teringatkan seorang senior aku di universiti yang bengang dengan cara francais CSI menggambarkan betapa glamornya kerja menjadi seorang penyiasat tempat kejadian.

"Kau tau tak, mana ada penyiasat tempat kejadian pakai kasut setinggi tu?" ujarnya sambil menjuihkan bibir ke skrin komputer riba yang memaparkan seorang pelakon berambut perang dan panjang yang sedang mencangkung memeriksa kelongsong peluru di luar rumah mangsa episod ini.

"Kan namanya Hollywood?" balas aku.

"Bukan ke diorang tu berbangga dengan betapa tepatnya set dan skrip mereka? Takkan itu pun tak terfikir? Kalau kerja kena berdiri lama, masuk semak, lecah. Ini lagi dengan rambut lepas berjurai macam tu, tak rimas ke?"

"Rimas pun takpe la ... gaji dia tetap beribu setiap episod," aku menyuap saki-baki Mamee di dalam bungkusan ke dalam mulutku. Jari-jari yang terpalit serbuk perasa itu aku jilat sampai bersih. Biasalah aktiviti  petang Ahad di kolej, menonton episod terbaru siri Hollywood yang dimuat turun dengan jalur lebar universiti.

Salah seorang sepupuku pun masuk universiti memilih jurusan sains forensik akibat terpukau dengan cerita pura-pura Hollywood. Ghairah dia nak mengutip darah, menganalisa sampel mani dan bermain dengan alat-alat cerakin kimia yang terkini. Ya lah tu. Kita tunggu dan lihat. Senior aku tu berkhidmat dengan PDRM empat tahun; lepas dia jadi bini nombor dua Superintenden Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur, terus dia berhenti, duduk rumah jaga anak. Tak payah lagi main dengan HPLC.

Habis saja lagu itu, satu lagi lagu Whitney dimainkan. Aku tersenyum memikirkan bagaimana dahulu aku boleh ikut menyanyi lagu itu dengan penuh perasaan dan gaya, sehinggalah Kak Yong bagi tau aku yang lagu itu ialah lagu kekasih curang. Maklumlah, waktu tu aku bukannya pandai sangat bahasa omputih. Tapi sejak Kak Yong berikan penerangan tu, aku selalu teragak-agak nak ikut nyanyi. Takut nanti aku pula menjadi kayu ketiga perhubungan orang lain. Memang la karut, tapi ada kalanya kita terikut-ikut benda karut, bukan?

Michael Jackson dan Whitney Houston, dua gergasi muzik tahun 80an dan 90an yang tersungkur di bawah himpitan kemasyhuran dan kegagalan mereka menangani kejayaan yang mengawal hidup mereka. Penghujung hidup mereka diwarnai gosip liar dan percubaan untuk mengungkap kembali zaman kegemilangan yang pernah mereka kecapi. Keduanya mati akibat dadah; yang berbeza hanya samada sumbernya daripada doktor peribadi atau pun pengedar dadah mesra di kejirananan mereka. Tapi tiada siapa yang boleh menafikan bakat mereka mahupun kesan mereka atas arena muzik seantero dunia. Setakat ini, aku tak nampak lagi mana-mana artis, mahupun Barat ataupun Timur yang dapat menandingi kehebatan mereka.

Terkadang aku terfikir, adakah kejayaan itu menjadi satu sumpahan kepada mereka? Tapi masih ada ramai lagi orang yang berjaya, tapi tak pula rosak macam tu. Jadi betul lah kata orang tua-tua: usah dengki dengan orang lain, kita tak tau sebenarnya hidup mereka macam mana. Dari luar nampak berkilat dan unggul, tapi dalamnya reput dan berkudis.

Aku kembali mencantikkan laman web syarikat yang sedang aku bangunkan sejak dua hari yang lepas. Memanglah jadi pengendali laman web di kotaraya negara Timur ni tak sehebat mana, tapi kemungkinan untuk aku ditemui lemas dalam kolah rumahku akibat terlebih makan dadah pun tak berapa tinggi. Maklumlah, aku tak berduit nak hisap dadah sampai tahap bintang Hollywood. Lagi pun aku takut nanti mak aku tibai kalau dia tau aku hisap dadah. Ya, itulah fakta sebenar kenapa aku tak mencuba dadah durjana; kerana aku takut dengan mak aku.

Selamat tinggal, Whitney Houston. Terima kasih di atas lagu dan kenangan yang kau bawa satu ketika dahulu. Semoga segala keperitan yang cuba kau lemaskan dengan dadah itu meninggalkan kau buat selama-lamanya.