Memaparkan catatan dengan label Kisah Cinta X. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Cinta X. Papar semua catatan

6.2.14

Kisah Cinta Tanpa Nama: Bahagian Dua

( Disunting untuk ketepatan butiran.)

Bahagian 1

Kipas angin di siling bilik guru itu berputar malas, mengitar udara dalam bilik yang dihuni dua puluh orang guru di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth. Jam bermuka putih di atas pintu masuk itu menunjukkan jam empat, hanya tinggal tiga orang guru yang masih lagi di meja masing-masing, asyik melunaskan kerja.

Edith Baumgardner menerima segulung ijazah daripada Mount Holyoake dengan semangat berkobar-kobar untuk mengubah dunia. Apabila terbaca tentang program sukarelawan Peace Corp, Edith dengan pantas mengisi borang dan menghantar permohonannya. Ayah dan ibunya kurang bersetuju dengan tindakan Edith. Ibunya risau yang dia akan dihinggapi malaria dan entah apa lagi penyakit eksotik di negara dunia ketiga; manakala En. Baumgardner mengomel tentang pembaziran wang yuran kolejnya di tempat masyarakat tempatannya masih duduk di atas pokok. Bibirnya mengukir senyuman kecil mengenangkan betapa nyamannya udara di negara tropika ini berbanding musim panas di rumah ibunya di Brooklyn.

Sudah tiga bulan Edith di Malaysia dan dia sedikit pun tidak menyesali pilihannya. Dia sukakan cabaran mengajar di daerah kecil di kaki Titiwangsa ini; bandar kecil ini terlalu sunyi tidak seperti kota New York yang ditinggalkannya. Mengajar empat kelas serentak adalah lebih berat daripada yang dijangkanya, tapi anak-anak gadis yang diajarnya rata-rata bersemangat untuk belajar dan mengambil sepenuhnya peluang untuk mengasah kemahiran bahasa Inggeris mereka. Pelajar begitu membuatkan Edith berasa puas untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru di sini.

Pensel di tangannya mengilas kajang di hadapannya. Lakaran kasarnya kini lebih terbentuk, timbul gambaran sebuah poster majlis tari menari. Edith memblok bahagian untuk tajuk posternya dan berdebat jenis font yang terbaik untuk membuatkan posternya itu lebih menarik. Awal tengahari tadi dia telah berbincang dengan jawatankuasa Kelab Kebudayaan yang dikelolakannya. Cadangannya untuk menganjurkan sebuah majlis tari menari untuk mengumpul dana bagi aktiviti Kelab  telah disambut dengan riuh; kesemuanya sebulat suara bersetuju dan mula berbincang apa persediaan yang perlu dilakukan bagi menjayakan majlis tersebut. Setiausaha Kelab dengan lekas telah mengeluarkan kertas kajang untuk mendraf surat memohon kebenaran daripada pengetua sekolah.

Dalam kerancakan AJK Kelab itu membuat perancangan, Edith sedar yang tanpa lampu hijau daripada pengetua, ianya hanyalah angan-angan mereka sahaja. Dalam beberapa pertemuannya dengan Puan Sakunthala, dia mendapat gambaran seorang pentadbir yang tegas tapi boleh dibawa bertolak ansur. Edith mempertimbangkan pendekatan yang perlu diguna pakai olehnya untuk mendapatkan persetujuan Puan Sakunthala dan memutuskan yang dia memerlukan lebih banyak maklumat. Pensel di tangannya diletakkan dan dia berpaling menghadap guru muda yang duduk di penjuru sudut dengannya.

"Cik Lee, boleh saya tanya sesuatu?"

Lee Ai Lin mendongak daripada buku latihan yang sedang ditandanya. Pen dakwat merahnya ditutup kemas agar tidak mencomotkan jari jemarinya. Dia sebenarnya berasa lega dengan pertanyaan guru Peace Corp daripada Amerika Syarikat itu, terasa seperti otaknya sudah beku menanda jawapan kefahaman pelajar kelas tingkatan tiganya itu.

"Ada apa, Cik Baumgardner?" Ai Lin meregangkan jari jemarinya yang lenguh dan memalingkan wajahnya menghadap Edith.

"Tabung Kelab Kebudayaan tu terlalu cetek untuk membuat apa-apa program yang menarik. Jadi, kami bercadang untuk mengadakan satu majlis tari menari untuk mengutip duit untuk tabung kelab. Pada pendapat Cik Lee, agaknya Puan Sakunthala setuju tak nak beri kebenaran untuk kami anjurkan majlis tu?" Edith bangun dan merapati meja Ai Lin. Dia memerhatikan dengan sedikit rasa iri akan rambut Ai Lin yang lurus tersisir rapi di bawah skaf yang sepadan dengan dres hijau air tanpa lengan yang dipakainya. Corak buluh kain dres itu seperti menekankan kelangsingan tubuhnya Ai Lin, menambah kecemburuan Edith.

"Menarik cadangan tu, Cik Baumgardner. Saya rasa, ada kemungkinan yang agak baik untuk Puan Sakunthala memberi persetujuannya. Ini bukanlah majlis tari menari pertama yang diadakan di sini. Tahun lepas ada yang menganjurkan joget lambak di dewan sekolah ni," kata Ai Lin sambil tersenyum.

"Joget lambak tu apa, Cik Lee?"

Ai Lin pun menerangkan konsep majlis joget lambak kepada Edith. Dia siap bangun untuk menunjukkan beberapa langkah tarian joget untuk Edith, menerangkan yang joget adalah tarian yang sopan; pasangan yang menari langsung tidak bersentuhan. Edith menyuarakan kehairanannya tentang bagaimana seorang lelaki dan perempuan boleh menari tanpa memegang tangan sekalipun. Ai Lin tertawa dan berkongsi kisah joget lambak yang dulu sering dikunjunginya semasa dia masih tinggal di Melaka.

"Mungkin kita boleh gabungkan elemen joget lambak dalam majlis tari menari kelab Cik Baumgardner untuk memberi suatu kelainan kepada majlis tu," saran Ai Lin. "Boleh jadi ia akan menarik orang yang tak biasa dengan konsep tari menari Barat untuk turut serta."

"Bagus juga cadangan awak tu, Cik Lee. Kalau awak ada sikit masa, boleh tak kita bincangkan perkara ni dengan lebih lanjut? Saya rasa kami akan perlukan input daripada awak supaya benda ni boleh dijayakan dengan betul. Sekejap, saya nak ambil buku nota untuk tulis saranan dan idea awak," ujar Edith, sambil melangkah ke mejanya. Dia mencapai buku nota kecilnya di dalam laci atas dan sebuah pen yang baru diisi dakwatnya tadi dan kembali ke meja Ai Lin. Ai Lin dengan gembiranya mengenepikan sebentar timbunan buku latihan yang perlu disemaknya dan mereka berdua pun rancak berbincang dan mencatat butiran rancangan untuk menganjurkan majlis tari menari mengumpul dana yang pertama di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth.

Bahagian 1

5.2.14

Kisah Cinta Tanpa Nama: Bahagian Satu

Mentari petang masih lagi terasa keterikannya. Dari jauh, nampak logamaya yang mengapung di atas jalan yang baru diturap itu. Tarnya masih hitam, berkilat, bau likat yang hangit menusuk hidung. Kuli-kuli India yang tadinya meratakan kerikil, menuang tar dan menggeleknya hingga sebati atas jalan itu berbaring-baring di bawah pokok tembusu di simpang itu. Rumput yang terpotong rapi itu tidaklah segebu tilam mahal, tapi cukuplah untuk melabuhkan tubuh yang kepenatan.

Kicauan unggas dan dengung serangga yang menghuni taman dan persekitaran Kelab Sultan Idris itu disulami suara-suara jantan yang rancak berbual dalam bahasa Tamil. Sesekali angin petang meniup mengeringkan keringat, membawa hawa petanda hujan akan tiba malam nanti. Tercium bau kelembapan walaupun mega belum muncul.

Kelab itu pada mulanya didirikan sebagai rumah kelab rekreasi untuk pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di daerah di kaki banjaran Titiwangsa itu. Kekayaan bijih yang dikaut dengan rakusnya oleh Inggeris memastikan yang prasarana kelab itu setanding dengan kelab lain di Georgetown dan Kuala Lumpur. Tiap petang gelanggang tenisnya riuh dengan tawa dan sorakan pemain dan penonton. Setiap pagi Jumaat menyaksikan pelajar-pelajar lelaki di sekolah mubaligh berdekatan belajar berenang dan terjun di papan anjal di kolam renang bersaiz Olimpik di sebelah gelanggang tenis berkembar itu; sekurang-kurangnya tiga orang perenang wakil negeri berasal daripada sekolah mubaligh itu.

Senibinanya mirip rumah kelab golf di Glasgow tempat kelahiran jurubinanya, ciri gothiknya diimbangkan dengan kemasan cat putih yang memberikan gambaran saiz yang lebih besar daripada yang sebenar. Lanskap mukabuminya telah mengubah sebuah kolam tinggal setelah habis bijihnya dilombong menjadi satu pemandangan indah yang boleh dinikmati daripada dewan tari menari dan dewan santapan rumah kelab itu.

Tapi keringnya bijih di kawasan itu selepas Perang Dunia Kedua telah membawa kesepian kehadiran Inggeris di situ. Orang Kaya Jajahan daerah itu mengambil alih pengurusan kelab itu dan dinamakan Kelab Sultan Idris. Langkah pertama yang dilakukan oleh bangsawan itu ialah mengarahkan papan tanda "Europeans Only" di pintu hadapan kelab itu dicabut dan papan itu dibakar. Kini pintunya terbuka kepada bangsawan dan orang ternama tempatan, saudagar-saudagar Cina yang kaya raya dan pegawai-pegawai kerajaan serta keluarga mereka.

Ada suatu binaan yang jauh sedikit daripada bangunan kolam renang bersebelahan dengan garaj kenderaan kelab. Ianya menjadi tumpuan setiap petang Sabtu bagi penggemar tinju; gelanggang tinju di gimnasium itu menjadi medan peninju amatur daerah belatih dan bertanding. Kesemua tingkap dan pintu gimnasium itu terbuka untuk membenarkan angin petang meredakan bahang yang terkuap dalam bangunan itu. Di penjuru tergantung sebuah beg pasir yang sedang terbuai-buai mengikut tumbukan padu yang dilepaskan oleh satu-satunya pengguna gim pada petang itu.

Peninju muda itu tinggi dan kekar, lebih tinggi daripada rakan-rakan sebayanya. Kemeja dalamnya lutsinar dibasahi keringat, melekap, melakar lanskap otot tubuhnya dan bahunya yang lebar. Lengannya berlingkar urat dek kuatnya genggaman penumbuknya. Nafasnya deras dengan setiap tumbukan yang hinggap kepada beg pasir itu. Muhammad Ali berdiri di dinding sebelahnya dengan kedua penumbuk di paras dada, seakan-akan mencabar peninju muda itu untuk beraksi dengannya.

Sepatu di kakinya berdesir dengan setiap tumbukan; jab, cross, hook dan uppercut, silih berganti. Setelah tamat masa yang ditetapkannya di beg pasir, peninju muda itu berhenti. Sederet lima botol Coca Cola tersusun di tepi telah diisi dengan air kosong. Disimbahnya wajahnya yang hangat dan dihirup barang tiga empat teguk untuk melincirkan kerongkongnya yang kering. Dia bersandar sebentar untuk memperlahankan nafasnya yang kencang. Satu jalur sinar matahari yang menembusi tingkap dari sudut ufuk barat menyinari wajah peninju muda itu. Kulitnya sawo matang dan licin; berdahi luas di atas sepasang mata yang dalam letaknya. Bulu matanya yang lebat membuatkan matanya kelihatan seakan-akan digarisi celak tebal; punca dia sering diejek sejak kecil dan menjadi satu pendorong kepadanya untuk menyarung sarung tinju. Hidungnya yang panjang jelas pernah menerima hentakan buku lima yang keras; batangnya sudah tidak lurus dan terbonjol sedikit. Bibirnya jarang mengukir senyuman; tegas peribadinya menyorokkan suatu sense of humour yang menghargai kesinisan dan lelucon mainan kata.

Reda alunan ombak dadanya, dia membuka gulungan pembalut yang melindungi buku limanya daripada kain guni yang meliputi beg pasir itu. Buku tangannya berbelulang, tindak balas pelindungan kulitnya akibat hentaman yang biasa dialami kerana ayunan penumbuknya. Dengan cermat dia menggulung pembalut itu untuk digunakan semasa latihan akan datang, disimpan kemas di sudut simpanan. Dia mencapai tali dan kembali ke kawasan lapang untuk cool down skip 100 kali seperti kebiasaannya.

Peninju muda itu asyik melompat mengikut irama kiraan dalam kepalanya tanpa menyedari dirinya diperhatikan oleh sesusuk tubuh di luar gimnasium itu. Yang empunya mata itu berhati-hati untuk berdiri hampir dengan pohon spruce yang ditanam di perimeter bangunan itu, menyorokkan tubuhnya di bayangan pokok malar hijau itu. Dia memerhatikan peninju muda itu beralih kepada push ups dan sit ups sebelum melakukan latihan kalistenik meregang, mengagumi kekuatan dan kelasakan sang peninju itu yang berlatih dengan penuh dedikasi. Mendengar namanya dipanggil, si pemerhati itu bingkas beralih, meninggalkan peninju muda yang mengelap peluhnya dengan tuala.

Kawanan gagak memanggil-manggil untuk pulang ke sarang mengiringi derap tapak peninju muda itu melangkah ke rumahnya. Angin petang meniup lembut, menyisir rambutnya yang mula kering. Beg sekolah dan peralatan latihannya digalas kemas, berayun dengan irama setiap langkahnya. Peninju muda itu bersiul-siul, meniru siulan serindit. Tenggelam mentari di ufuk barat memberinya bayang yang panjang bak hantu galah, mengekori geraknya pulang di kuarters kakitangan kerajaan yang tidak jauh dari Kelab Sultan Idris.

Dan sang pemerhati menatap lagi daripada tingkap belakang Daimler yang menyusuri jalan ke rumah-rumah banglo di kaki bukit.