( Disunting untuk ketepatan butiran.)
Bahagian 1
Kipas angin di siling bilik guru itu berputar malas, mengitar udara dalam bilik yang dihuni dua puluh orang guru di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth. Jam bermuka putih di atas pintu masuk itu menunjukkan jam empat, hanya tinggal tiga orang guru yang masih lagi di meja masing-masing, asyik melunaskan kerja.
Edith Baumgardner menerima segulung ijazah daripada Mount Holyoake dengan semangat berkobar-kobar untuk mengubah dunia. Apabila terbaca tentang program sukarelawan Peace Corp, Edith dengan pantas mengisi borang dan menghantar permohonannya. Ayah dan ibunya kurang bersetuju dengan tindakan Edith. Ibunya risau yang dia akan dihinggapi malaria dan entah apa lagi penyakit eksotik di negara dunia ketiga; manakala En. Baumgardner mengomel tentang pembaziran wang yuran kolejnya di tempat masyarakat tempatannya masih duduk di atas pokok. Bibirnya mengukir senyuman kecil mengenangkan betapa nyamannya udara di negara tropika ini berbanding musim panas di rumah ibunya di Brooklyn.
Sudah tiga bulan Edith di Malaysia dan dia sedikit pun tidak menyesali pilihannya. Dia sukakan cabaran mengajar di daerah kecil di kaki Titiwangsa ini; bandar kecil ini terlalu sunyi tidak seperti kota New York yang ditinggalkannya. Mengajar empat kelas serentak adalah lebih berat daripada yang dijangkanya, tapi anak-anak gadis yang diajarnya rata-rata bersemangat untuk belajar dan mengambil sepenuhnya peluang untuk mengasah kemahiran bahasa Inggeris mereka. Pelajar begitu membuatkan Edith berasa puas untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru di sini.
Pensel di tangannya mengilas kajang di hadapannya. Lakaran kasarnya kini lebih terbentuk, timbul gambaran sebuah poster majlis tari menari. Edith memblok bahagian untuk tajuk posternya dan berdebat jenis font yang terbaik untuk membuatkan posternya itu lebih menarik. Awal tengahari tadi dia telah berbincang dengan jawatankuasa Kelab Kebudayaan yang dikelolakannya. Cadangannya untuk menganjurkan sebuah majlis tari menari untuk mengumpul dana bagi aktiviti Kelab telah disambut dengan riuh; kesemuanya sebulat suara bersetuju dan mula berbincang apa persediaan yang perlu dilakukan bagi menjayakan majlis tersebut. Setiausaha Kelab dengan lekas telah mengeluarkan kertas kajang untuk mendraf surat memohon kebenaran daripada pengetua sekolah.
Dalam kerancakan AJK Kelab itu membuat perancangan, Edith sedar yang tanpa lampu hijau daripada pengetua, ianya hanyalah angan-angan mereka sahaja. Dalam beberapa pertemuannya dengan Puan Sakunthala, dia mendapat gambaran seorang pentadbir yang tegas tapi boleh dibawa bertolak ansur. Edith mempertimbangkan pendekatan yang perlu diguna pakai olehnya untuk mendapatkan persetujuan Puan Sakunthala dan memutuskan yang dia memerlukan lebih banyak maklumat. Pensel di tangannya diletakkan dan dia berpaling menghadap guru muda yang duduk di penjuru sudut dengannya.
"Cik Lee, boleh saya tanya sesuatu?"
Lee Ai Lin mendongak daripada buku latihan yang sedang ditandanya. Pen dakwat merahnya ditutup kemas agar tidak mencomotkan jari jemarinya. Dia sebenarnya berasa lega dengan pertanyaan guru Peace Corp daripada Amerika Syarikat itu, terasa seperti otaknya sudah beku menanda jawapan kefahaman pelajar kelas tingkatan tiganya itu.
"Ada apa, Cik Baumgardner?" Ai Lin meregangkan jari jemarinya yang lenguh dan memalingkan wajahnya menghadap Edith.
"Tabung Kelab Kebudayaan tu terlalu cetek untuk membuat apa-apa program yang menarik. Jadi, kami bercadang untuk mengadakan satu majlis tari menari untuk mengutip duit untuk tabung kelab. Pada pendapat Cik Lee, agaknya Puan Sakunthala setuju tak nak beri kebenaran untuk kami anjurkan majlis tu?" Edith bangun dan merapati meja Ai Lin. Dia memerhatikan dengan sedikit rasa iri akan rambut Ai Lin yang lurus tersisir rapi di bawah skaf yang sepadan dengan dres hijau air tanpa lengan yang dipakainya. Corak buluh kain dres itu seperti menekankan kelangsingan tubuhnya Ai Lin, menambah kecemburuan Edith.
"Menarik cadangan tu, Cik Baumgardner. Saya rasa, ada kemungkinan yang agak baik untuk Puan Sakunthala memberi persetujuannya. Ini bukanlah majlis tari menari pertama yang diadakan di sini. Tahun lepas ada yang menganjurkan joget lambak di dewan sekolah ni," kata Ai Lin sambil tersenyum.
"Joget lambak tu apa, Cik Lee?"
Ai Lin pun menerangkan konsep majlis joget lambak kepada Edith. Dia siap bangun untuk menunjukkan beberapa langkah tarian joget untuk Edith, menerangkan yang joget adalah tarian yang sopan; pasangan yang menari langsung tidak bersentuhan. Edith menyuarakan kehairanannya tentang bagaimana seorang lelaki dan perempuan boleh menari tanpa memegang tangan sekalipun. Ai Lin tertawa dan berkongsi kisah joget lambak yang dulu sering dikunjunginya semasa dia masih tinggal di Melaka.
"Mungkin kita boleh gabungkan elemen joget lambak dalam majlis tari menari kelab Cik Baumgardner untuk memberi suatu kelainan kepada majlis tu," saran Ai Lin. "Boleh jadi ia akan menarik orang yang tak biasa dengan konsep tari menari Barat untuk turut serta."
"Bagus juga cadangan awak tu, Cik Lee. Kalau awak ada sikit masa, boleh tak kita bincangkan perkara ni dengan lebih lanjut? Saya rasa kami akan perlukan input daripada awak supaya benda ni boleh dijayakan dengan betul. Sekejap, saya nak ambil buku nota untuk tulis saranan dan idea awak," ujar Edith, sambil melangkah ke mejanya. Dia mencapai buku nota kecilnya di dalam laci atas dan sebuah pen yang baru diisi dakwatnya tadi dan kembali ke meja Ai Lin. Ai Lin dengan gembiranya mengenepikan sebentar timbunan buku latihan yang perlu disemaknya dan mereka berdua pun rancak berbincang dan mencatat butiran rancangan untuk menganjurkan majlis tari menari mengumpul dana yang pertama di Sekolah Menengah Perempuan Queen Elizabeth.
babe....series ketiga bila mau keluar??
BalasPadambest beb. sambunglah. jangan kau gantung macam cerita kapten zain ko tu. aku tungguuuuuuu
BalasPadam