21.4.15

Pulanglah sebelum Maghrib

Gergaji rantai di tangan Ayub mengaum gagah, hingarnya memecah kesunyian senja Ahad itu. Sedikit demi sedikit, dahan manggis yang kekar gugur ke tanah, pangkal yang dimamah mata bilah bergerigi melelehkan getah bak darah dari anggota yang diketak. Langit merah disinari mentari yang mencecah ufuk barat mengintai di celah-celah rimbunan menipis pokok yang mabuk daun itu. Milah berpesan agar dia pulang sebelum Maghrib tapi dia mahu menghabiskan rancangannya di kebun itu dahulu.

Tiba-tiba ekor mata Ayub menangkap suatu kelibat melintas pandangan sisinya. Ngauman gergaji rantainya terhenti. Hatinya merungut sambil tangannya menarik picu untuk menghidupkan semula motor gergaji itu. Panas hati Ayub bila motor gergaji itu hanya menderam tapi tidak menangkap untuk hidup semula.  Hanya lagi dua dahan dan kerjanya akan selesai.

Sedang dia asyik untuk menghidupkan motor gergaji itu, Ayub terasa seperti dahan dia bertenggek itu menyenget, seakan-akan ada bebanan selain daripadanya di atas dahan itu. Ayub mengangkat wajahnya dan memandang sekeliling. Kelam berbalam di bawah rimbunan tidak memberikan pencerahan. Jantungnya berdegup kencang melihat hujung dahan tenggekannya semakin senget. Dahan sebesar peha kerbau johannya itu tiba-tiba terasa rapuh. Tapi masih tiada apa yang dapat ditangkap pancainderanya mengapa dahan itu mengerang bagai dibebani seekor gajah yang bergayut padanya.

KRAK!

Kata orang bila kita di ambang maut, sekilas hidup kita terbayang di mata. Beberapa saat tubuhnya terjunam sepuluh meter untuk terhempas atas dahan-dahan manggis yang sudah dikeratnya terasa seperti titisan susu getah petang yang menitik ke dalam cawan tadahnya - tiada penghujungnya.

Tapi guni kulit yang menyaluti daging pejal dan tulang-temulang membentuk tubuh Ayub tidak berdaya menahan tarikan graviti. Daya yang dijana tenaga kinetik dan tenaga potensi daripada jatuhannya menghempaskan tubuhnya tanpa rasa belas atas tilam dahan dan ranting tajam yang mengelilingi batang pokok manggis yang sudah berusia lebih empat puluh tahun itu. Impak hentakan tubuhnya membuatkan Ayub pitam seketika kerana kesakitan.

Tubuhnya tergelimpang mirip kusyen cucuk pin tukang jahit yang sudah terkeluar isinya. Dahan manggis menebuk dada kanan dan abdomennya. Darah hitam pekat membuak keluar dari luka abdomennya, tanda hatinya sudah pecah.

Ayub terlentang sambil terkebil-kebil. Tangan dan kakinya menguit di luar kawalannya seperti dia terkena renjatan elektrik. Nafasnya tersekat-sekat, Ayub tidak berdaya untuk menjerit.

Pandangannya yang semakin kabur terpaku pada dahan atas tempat dia bertenggek tadi. Ada suatu susuk tubuh sedang membelek gergaji rantai yang ajaibnya tidak terjatuh bersamanya. Mata Ayub berkelip-kelip cuba memfokus ke arah gergajinya. Kejutan akibat pendarahan teruk telah mengabui pemikirannya, kesakitan yang sepatutnya menguasai kesedarannya berundur bak air surut.

Ngauman gergaji rantainya kembali berkumandang. Pandangan terakhir Ayub ialah kilauan mentari senja yang mengucup bilah gergaji rantainya yang menjunam ke atas tubuhnya yang sudah terlumpuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tokok-tambah