Jika
rumahku adalah syurgaku, kini syurgaku telah ditabrak malapetaka. Dinding yang
Ayah cat bersama aku dan Abang dua Ramadhan yang lepas kini menunggu masa untuk
menyembah bumi. Malam tadi kami tidur berbumbungkan bintang-bintang yang
berjuta tahun cahaya jauhnya; atap zink yang dulu ku runguti kerana menakung
bahang telah lesap bersama ribut. Kami semua bangun subuh dengan bengkak
bengkil ehsan nyamuk dan pelbagai serangga yang memohon dermaan darah.
Sebaik
pulang dari pusat pemindahan, kami membersihkan dapur agar ada ruangan untuk
memasak dan membasuh, mengembalikan rentak normal dalam hidup kami. Yang masih
utuh hanyalah para dapur yang dibina daripada konkrit dan sinki, Adik
telah menghabiskan masa sepanjang pagi semalam untuk membersihkan penunu dapur
yang berkerak dengan selut kering. Dapatlah Ibu menjerang air dan mentanak
beras sumbangan program bantuan yang Abang dapatkan di sekolah Cina di pekan
kelmarin.
Tiada
satu pun perabot dalam rumahku yang masih elok. Aku dan Adik telah menarik
keluar semua tilam dan bantal dan kusyen; yang masih elok kami basuh dan jemur,
selainnya ditimbun untuk dilupuskan. Bagaimana, aku pun tak tahu. Almari yang
dulu dipenuhi pinggan mangkuk yang Ibu bayar bulan-bulan dengan duit kutu, duit
jual kuih dan anyam tikar kini ditimbunkan di luar bersama lain-lain sampah
sarap kayu untuk dibakar. Tiada satu pun pinggan mangkuk itu masih utuh,
semuanya hancur beribu serpih, bertaburan, menanti untuk melukakan kaki yang
tidak berhati-hati. Mata Ibu merah tetapi kering memerhatikan aku dan Abang
menyodok serpih-serpih itu untuk dibuang. Hanya mangkuk dan cawan plastik
dengan gambar Upin dan Ipin yang Ayah belikan untuk Adik sewaktu dia kecil
dahulu yang tinggal. Ianya tak lengkap, maka kami pun makan dan minum bergilir-gilir,
berkongsi apa yang ada.
Barang
persiapan untuk perkahwinan Abang juga telah lenyap bersama air bah. Aku
terdengar dia berbincang dengan Ibu malam tadi untuk menangguhkan rancangan
pernikahannya dengan Kak Nita. Suara garau Abang rendah dan berkocak nadanya
dengan air mata yang tidak berlinang. Ibu berjanji akan menghubungi keluarga
tunangan Abang untuk berbincang; tidak seperti Abang air mata Ibu melimpah
dengan rasa kasih dan sedih kerana impian Abang untuk majlis yang meriah telah
runtun. Aku hanya mampu tunduk dan berkongsi kesayuan Ibu.
Aku
duduk bersama Ayah di bawah pokok rambutan di tepi rumah; pangkin yang dipaku
bersama oleh Ayah daripada saki baki papan membaiki reban. Memang ajaib
bagaimana beberapa papan buruk itu masih utuh sedangkan tapak konkrit bilik air
kami hanyut bak istana pasir di air pasang. Ayah mengeluarkan sebatang rokok
dan mancis dari saku bajunya. Kertas gulung yang disumbat tembakau dengan
serbuk cengkih itu dinyalakan. Haruman tembakau dan cengkih yang terbakar itu
menyekat buat sementara bau hanyir, maung dan aroma busuk sampah sarap yang
ditinggalkan oleh bah yang surut. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba menyumbat
hidungku dengan asap rokok yang selama ini tidak kusukai, agar dapat
menyengkang sementara bau igauan ngeri kehidupanku.
Mata
Ayah redup memerhatikan halaman rumahku. Pokok kelapa gading di tepi jalan
semakin condong, akarnya diumpil arus deras minggu lepas. Alhamdulillah pokok
rambutan dan mangga di sekeliling rumahku masih kukuh. Sudah tidak kelihatan
lagi rumput karpet yang tebal yang dulunya menjadi tempat Adik berlatih main
bola. Lumpur masih lagi menyelimuti halaman kami walaupun Abang dan Ayah telah
berusaha menyodok lumpur tebal dan hanyir itu sebanyak mungkin. Kerongkongku
terasa bengkak kembali menahan tangisan, menelan air mata kekecewaan dan
ketakutan yang mencengkam tatkala aku terasa lemah mengenangkan segala yang
telah hilang.
Bibir
Ayah mengukirkan senyuman sambil dia menyedut asap rokoknya.
"Esok
kalau ungka tu datang nak ranggas buah kita, mesti dia terkejut."
Aku
terkebil-kebil. Lima minit kemudian Ibu keluar menjenguk mengapa dua beranak
ini masih lagi ketawa berdekah-dekah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tokok-tambah