Neoliberalisme menyerlahkan kejahatan dalam diri
kita
Sistem ekonomi yang memberi pulangan kepada ciri
personaliti psikotik telah mengubah sistem etika dan personaliti kita
o Paul Verhaeghe, PhD, adalah seorang Profesor Kanan di
Universiti Ghent dan pemegang Kursi Jabatan Psikoanalisis dan Psikologi
Kaunseling di universiti tersebut. Beliau telah menerbitkan lapan buku, lima daripadanya telah diterjemahkan
ke dalam Bahasa Inggeris.
Nota: Saya menterjemah rencana ini kerana saya merasakan yang ia merumuskan dengan ringkas intipati masalah kemasyarakatan yang dihadapi oleh masyarakat Barat pada masa ini. Penulis asal adalah seorang warga Belgium dan Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertama beliau. Beliau juga menulis daripada sudut pandangan seorang warga Eropah Barat dan mungkin menggunakan rujukan yang asing dengan isu masyarakat Malaysia. Saya minta maaf jika ada kesilapan dalam penafsiran mesej dalam terjemahan saya.
Pautan rencana asal di sini.
Kita biasa menganggap bahawa identiti kita adalah
stabil dan tidak diusik oleh pengaruh luar. Tapi kajian beberapa dekad dan pengalaman
dalam rawatan psikologi telah meyakinkan saya bahawa perubahan ekonomi
mempunyai kesan yang mendalam bukan sahaja atas prinsip yang kita pegang, malah
juga atas keperibadian kita. Amalan neoliberalisme, tekanan pasaran bebas dan
penswastaan selama tiga puluh tahun telah mengubah masyarakat kita;
tekanan tanpa henti untuk mencapai kejayaan telah menjadi sesuatu yang lazim. Jika
anda membaca rencana ini dengan rasa skeptikal, saya ingin mengunjurkan
kenyataan ringkas ini kepada anda: meritokrasi neoliberalisme memberi
kelebihan kepada mereka yang mempunyai beberapa ciri personaliti dan menyisihkan yang lain.
Ada beberapa ciri-ciri ideal yang diperlukan untuk
membina kerjaya yang cemerlang pada hari ini. Yang pertama ialah kepetahan dan kepandaian bercakap untuk memenangi hati seramai mana orang yang boleh. Perhubungan seperti ini mungkin dangkal pada dasarnya, tapi memandangkan kebanyakan interaksi manusia masa kini
memang sedemikian, ianya tidak akan diambil peduli.
Kebolehan untuk menjaja keupayaan diri sendiri
setinggi yang boleh adalah penting - anda kenal ramai orang berpengaruh, anda
mempunyai banyak pengalaman dan telah baru-baru ini menamatkan satu projek yang
besar. Selepas itu, mungkin orang akan mendapati bahawa ini semua adalah rekaan
atau kisah yang diperbesar-besarkan sahaja, tapi hakikat yang mereka telah
tertipu dengan cerita anda telah menunjukkan kebolehan anda untuk berbohong
dengan baik tanpa rasa bersalah. Itulah sebabnya anda tidak merasa
bertanggungjawab atas sikap anda yang sebegini.
Bukan itu sahaja, anda juga seorang yang bersikap lentur
(flexible) dan mengikut gerak hati dengan terburu-buru (impulsive), tidak
henti-henti mencari rangsangan dan cabaran yang baru. Sikap ini sering
mendorong kepada perangai yang suka mengambil risiko, tapi tak kisahlah kerana bukan anda
yang akan menguraikan akibatnya. Sumberi inspirasi untuk senarai ini? Senarai
semakan ciri-ciri psikopati oleh Robert Hare, seorang pakar dalam kajian
psikopati yang tersohor dewasa ini.
Penerangan ini adalah suatu karikatur yang
dimomok-momokkan secara melampau. Namun begitu, krisis kewangan yang melanda Eropah telah
memaparkan kesan meritokrasi neoliberalisme atas masyarakat pada peringkat sosial-makro (contohnya pertelingkahan antara
negara-negara Eurozone).
Penyatupaduan telah menjadi suatu kemewahan dan dipinggirkan untuk perikatan sementara,
tumpuan sebenar diberikan ke arah memeras keuntungan yang sebanyak mungkin
daripada situasi sedia ada daripada pesaing anda. Ikatan sosial dengan rakan sekerja
menjadi semakin lemah, begitu juga iltizam emosi (emotional commitment) kepada
syarikat mahupun organisasi.
Membuli dahulunya terhad di sekolah-sekolah; kini ia
menjadi satu kelaziman di tempat kerja. Ini adalah simptom lumrah apabila yang
tidak berkuasa (impotent) melepaskan rasa geram dan kekecewaan ke atas yang
lemah - dalam psikologi ianya dikenali sebagai langsangan teranjak (displaced
aggression). Ianya adalah manifestasi ketakutan yang terbenam, meliputi kegemuruhan
prestasi (performance anxiety) kepada ketakutan meluas kepada “pihak asing yang
mengancam” (the threatening other).
Penilaian di tempat kerja yang tidak habis-habis
membuahkan kemerosotan autonomi pekerja dan meningkatkan kebergantungan kepada
norma luar yang sering berubah-ubah. Ini mengakibatkan apa yang digelar oleh
pakar sosiologi Richard Sennett sebagai “menjadikan pekerja semakin
keanak-anakan”. Ia membuatkan orang dewasa menonjolkan sikap kebudakan; misalnya meradang seperti kanak-kanak dan mencemburui
perkara remeh (“Dia dapat kerusi pejabat yang baru tapi saya tidak.”),
berbohong, menipu untuk mendapatkan kemahuan, suka menjatuhkan orang lain dan membalas dendam. Ini adalah
kesan daripada sistem yang gagal melayan pekerja sebagai orang dewasa dan menghalang orang daripada berfikir secara bebas.
Perkara yang lebih merisaukan ialah bencana meritokrasi neoliberalisme ke atas rasa hormat
pada diri sendiri bagi ahli masyarakat. Rasa hormat
pada diri sendiri bersandar kepada penghargaan yang kita terima daripada orang
lain, seperti yang telah ditunjukkan oleh ahli pemikir seperti Hegel dan Lacan . Sennett merumuskan perkara yang sama apabila beliau membincangkan persoalan tunjang bagi pekerja masa kini sebagai “Siapa yang memerlukan saya?”.
Bagi sejumlah ahli masyarakat yang semakin bertambah, jawapannya ialah: Tiada
siapa.
Masyarakat kita sering melaung-laungkan bahawa sesiapa
sahaja boleh berjaya sekiranya mereka berusaha cukup keras, tapi pada masa yang
sama mengagungkan keistimewaan kelas atasan dan terus-menerus menekan dan menguji kesabaran
warga yang sudah keletihan. Semakin ramai orang dicap sebagai gagal, membuatkan
mereka berasa hina, malu dan bersalah. Acapkali kita disuap dengan pegangan bahawa kita lebih
bebas memilih jalan hidup kita sekarang berbanding sebelum ini, tapi kebebasan
untuk memilih aliran di luar naratif kejayaan yang lazim diterima sebenarnya
adalah terhad. Tambahan pula, mereka yang "gagal" dianggap sebagai pengecek dan
bejat yang mengambil kesempatan atas sistem kebajikan masyarakat.
Meritokrasi neoliberal menyuap kita bahawa
kejayaan bergantung sepenuhnya kepada usaha dan bakat seseorang; bermakna
tanggungjawab terletak sepenuhnya atas setiap insan dan pihak berkuasa harus
memberikan kebebasan mutlak agar masyarakat dapat mencapai tujuan ini. Bagi
mereka yang mempercayai dongeng pilihan tanpa sekatan, pengurusan kendiri (self
government) dan swaurus (self management) adalah mesej politik yang sering
ditonjolkan sebagai menjanjikan kebebasan. Seiring
dengan idea bahawa seseorang insan boleh mencapai kesempurnaan mutlak, kebebasan yang kita fikir kita
nikmati di Barat ini adalah pembohongan terbesar zaman ini.
Pakar sosiologi Zygmunt Bauman telah merumuskan dengan
ringkas paradoks era kita: “Kita tidak pernah merasa kebebasan seperti
masa ini. Kita tidak pernah rasa paling tidak berdaya seperti masa ini.” Memang
kita lebih bebas sekarang dari segi kebebasan untuk
mengkritik agama, mengambil kesempatan atas sikap sambil lewa terhadap seks dan
menyokong mana-mana pergerakan politik yang kita sukai. Kita boleh berbuat
semua ini kerana ianya semua sudah tidak bermakna - kebebasan ini sebenarnya
tercetus daripada sikap tidak ambil peduli. Namun begitu, kehidupan seharian
kita telah menjadi satu pertarungan yang tidak berkesudahan menghadapi sistem
birokrasi yang boleh melemahkan lutut Kafka. Semuanya diatur dan dikawal,
daripada jumlah garam dalam roti hinggalah kepada membela ayam di kawasan
bandar.
Kebebasan yang kita tanggap ini terikat kepada satu
perkara asas: kita mesti berjaya - yakni, mencapai objektif yang ditakrifkan
oleh masyarakat sekeliling kita. Seorang individu berkemahiran tinggi yang memilih untuk mementingkan
keluarga mengatasi kerjaya mereka akan berhadapan dengan kritikan. Seseorang
yang menolak kenaikan pangkat demi melaburkan masa dalam urusan lain dilabel sebagai gila - kecualilah urusan tersebut menjamin kejayaan. Seorang
wanita muda yang mahu menjadi guru
sekolah rendah didesak ibu bapanya untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam
ekonomi - buat apa hendak menjadi guru sekolah?
Ada banyak keluhan tentang kemerosotan norma
dan nilai dalam budaya kita. Namun begitu, norma dan nilai adalah teras yang
malar dalam identiti kita. Maka ianya tidak boleh hilang, cuma berubah. Dan
itulah sebenarnya apa yang telah terjadi: perubahan ekonomi mencerminkan
perubahan etika dan menjurus kepada perubahan identiti. Sistem ekonomi masa
kini telah menyerlahkan kejahatan dalam diri kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tokok-tambah