Aku punya tabiat mendengar lagu dengan pemain MP3ku yang dihadiahkan oleh Kakak dan Abang Iparku semasa basuh pinggan lepas makan. Sambil main air sabun, sambil menikmati halwa telinga. Kalau aku masak sorang-sorang pun, aku buat juga. Muzik mendiamkan kebingitan dalam kepalaku.
Sejak Ayahku pergi ke pengembaraan barunya pada 3 Februari lalu, baru malam Ahad lepas aku mula menggunakan pemain MP3ku. Mungkin ada yang mengatakan tak cukup lama aku berkabung, tapi aku rasa yang Ayahku tidakkan mahu kehidupan kami tergantung semata-mata kerana dia telah menyahut seruan Ilahi.
Folder kegemaranku dalam pemain itu ialah Angsty Does It; suatu album yang sarat dengan pelbagai lagu-lagu yang boleh dikira agak depressing. Tapi nak buat macam mana, walaupun aku seorang yang kelihatan ceria kepada ramai orang, sebenarnya muzik yang berkata-kata padaku seringkali daripada jenis yang mengkisahkan perasaan yang tidak ceria.
Apabila lagu ini berputar, tak semena-mena air mataku luruh dengan deras.
Tahu tak betapa susahnya nak masak bila air mata kau berjujuran dan membuatkan cermin mata kau berkabus? Nasib baik masakan aku malam tu tak masin.
Malam ni waktu aku basuh pinggan, lagu ni main lagi. Aku macam terdengar Ayah bertanya samada dia sudah boleh menutup tingkap dekat dengan meja makan. Selalunya aku akan kata tak usah; nanti aku rasa macam lemas. Tapi dalam dua tiga minggu sebelum Ayah pergi, bila dia tanya nak tutup tingkap, aku bersetuju saja walaupun aku masih rasa macam lemas juga.
Sebenarnya, banyak benda yang Ayah katakan pada aku dua tiga bulan sebelum dia pergi yang aku ambil sikap mengiyakan sahaja. Ayah tak nak aku keluar? Aku kata baiklah dan batalkan rancangan aku. Cuma bila Ayah suruh aku basuh penapis air bawah sinki tu yang aku liat; aku tak fleksibel sangat nak mencangkung untuk buka dan pasang balik menatang alah tu. Jadi bila akhirnya aku basuh benda tu, Ayah kata terima kasih. Aku sungguh terdetak waktu itu pasal basuh penapis tu memang kerja aku. Maklumlah, bila duduk serumah, masing-masing kena la sumbang kederat untuk apa-apa kerja yang perlu dibuat, betul tak? Tapi aku tak kata banyak, ucapan "Sama-sama" aku rasanya rendah sangat nadanya; aku rasa Ayah tak dengar pun.
Sesungguhnya aku adalah contoh ibu bapa yang baik tak semestinya akan melahirkan anak yang baik, sekalipun dengan didikan yang sempurna. Ayah seorang yang sangat berdisiplin, teliti, rajin, dan macam-macam lagi sifat dan pekerti yang berjaya menaikkan dirinya daripada anak kampung dengan pelajaran yang sedikit kepada seorang akauntan dan pengurus kewangan yang bagus (anaknya ini boros, tak pandai menguruskan duit). Ayah juga bukan jenis yang berleter; dia percaya yang kita perlu ikut teladan yang baik yang kita nampak tanpa perlu disuruh atau dipaksa. Bukankah kita ni diberi akal untuk mempertimbangkan benda dan bukan hamba sahaya yang perlu dikerah? Sebelum Nabil mengungkap, "Lu fikirlah sendiri," ia sudah jadi falsafah hidup Ayah.
Latar belakang Ayah dulu daripada orang yang agak susah, tambah lagi setelah Malaya ditakluk Jepun. Dia dan arwah Opah dulu hidup berpindah-randah, itu sebabnya rekod persekolahan Ayah macam cempedak ranum ditebuk tupai. Tapi Ayah cerdik orangnya dan rajin; sejak kecil lagi dia membantu Opah bersawah dan menoreh getah. Lepas menoreh, Ayah pergi ke sekolah. Menurut Ayah, dia masuk darjah satu sekurang-kurangnya empat kali kerana sering berpindah (Sungai Manik, Jeram, Cameron Highlands dan akhir sekali di Malim Nawar). Aku kata yang guru sekolahnya itu tidak cerdik, kerana kalau pelajar tu memang nampak dah besar, takkan asyik masuk darjah satu? Kenapa tak diuji ke, ditanya dulu ke, samada dah boleh kenal huruf ke, apa ke. Ini tak, asyik masukkan darjah satu. Memanglah orang zaman dulu tak tahu pasal paperwork anak-anak yang sekolah (Opah pun tak tau membaca), tapi bila difikirkan yang cikgu zaman tu pun mungkin sekolah sekadar darjah enam, mungkin tak ada pendedahan untuk fikir benda-benda macam ni.
Ayah aku seorang yang sangat tak berkira dengan orang lain, samada duit ataupun tenaga. Aku ingat lagi kalau balik kampung dahulu, asyik-asyik dia menghulur not merah dan ungu kepada ahli keluarga yang berkunjung atau yang kami kunjungi. Ayah akan menyorok-nyorok keluarkan dompet dia (dia pemalu orangnya), tapi salam sebelum balik mesti berlapik. Ayah sangat sedar yang ramai ahli keluargaya masih susah, walaupun Ayah dah mewah sikit kerja di bandar. Dia sering ajak anak-anak dan cucu saudaranya dari kampung untuk tinggal bersama kami untuk cari kerja di bandar. Ramai yang datang duduk dengan kami, pindah lepas dapat kerja dan tempat tinggal yang lebih baik (ataupun kahwin). Adik-beradik Mak aku pun ada juga yang duduk dengan kami sebelum kahwin.
Waktu aku mula kerja dulu, Ayah pesan yang aku tak payah nak beri dia duit, tapi aku mesti bagi Mak, walaupun sikit. Kalau dia temankan aku pergi jumpa doktor, Ayah pantas keluarkan dompet nak bayar ubat aku, walaupun aku dah ada duit sendiri. Kalau ada gotong-royong di surau, Ayahlah yang menitik keringat membersihkan pasu bunga, longkang, sedangkan ramai lain yang berdiri-diri, hisap rokok dan berborak, menunggu disuruh. Surau di kejiranan lama kami dulu ada banyak pokok kembang pagi dan bunga kertas hasil usaha Ayah. Bila surau kejiranan lama kami dulu dapat kelulusan untuk buat sembahyang Jumaat, Ayah akan pergi awal untuk menyapu dan membentang tikar selepas dia bersara.
Aku bersyukur yang dalam banyak segi, aku tak berapa ada kekesalan dengan Ayah; cuma kalaulah perangai aku elok sikit lagi, mungkin aku lebih berjaya. Ayah tak pernah mahukan aku jadi apa-apa untuk dia; tapi dia mahu aku jadi yang terbaik untuk diri aku sendiri. Setiap kali lepas sembahyang, Ayah tak pernah lupa berdoa untuk Opah, Atuk dan untuk kami sekeluarga. Ayah akan sebut nama kami dan minta Allah tetapkan kami ke arah kejayaan dan kesejahteraan, dunia dan akhirat.
Aku juga paling bersyukur yang aku berpeluang untuk turut serta semasa mandikan Ayah sebelum dia dikapankan. Ayah dah kaku dan sejuk, tapi kulit Ayah masih halus (tiap malam sapu losyen Vitamin E tak pernah lepas, tau?). Aku tak sanggup nak siram muka Ayah waktu siram dengan air mawar; aku cuma sapukan perlahan-lahan dengan tangan, macam aku basuh muka anak sedara waktu aku mandikan dia.
Lapisan terakhir kain kapan Ayah adalah daripada kain ihramnya (tapi tak pasti yang dia pakai semasa haji atau waktu umrah dulu). Yang hairannya, aku tengok kain ihram tu macam taklah besar sangat (Ayah aku comel orangnya, lagi kecik daripada anaknya yang debab ini) tapi setelah dibetul-betulkan mengikut arahan Pak Imam, memang cukup sempurna untuk mengkapankan Ayah. Bila aku basuh dan jemur kain ihram yang lain untuk disimpan, aku rasa kainnya tak pula boleh mengembang atau memberi. Saiznya pula macam tak cukup untuk mengkapankan Ayah; tapi yang itu muat dengan cukup cantik.
Aku tak percaya dengan cerita-cerita ustaz-ustazah yang kata orang yang dah meninggal tu masih boleh rasa tubuhnya diuruskan, merasa dirinya diletak dalam liang lahad dan dikambus. Pada aku, itu tidak logik. Bila roh dah meninggalkan jasad, yang tinggal hanyalah kerangka organisma yang sudah kosong, tak ubah macam kereta yang tak ada pemandu. Malaikat dah menjemput Ayah untuk pengembaraannya yang selanjutnya. Jasad yang tinggal mestilah diuruskan dengan baik dan penuh penghormatan, tapi itu pentingnya hanya kepada mereka yang ditinggalkan. Yang dah pergi tak akan peduli, seperti mana takde orang peduli dengan baju buruk yang dah ditanggalkan. Kita ziarahi perkuburan kerana itu sahaja yang ada, belum lagi waktunya untuk berjumpa lagi, kalau tidak diizinkan Allah SWT.
Ada jiranku yang pergi menunaikan umrah tak lama selepas Ayah meninggal. Mereka suami isteri berdoa untuk Ayah di hadapan Kaabah. Kata isterinya, dia rasa macam dia ternampak Ayah semasa di sana. Walaupun aku sebak mendengarnya, tapi aku rasa gembira juga.
Petang tadi sebelum sampai ke rumah, aku nampak dua orang anak gadis dan seorang budak kecil di tepi jalan, menyusun jualan kudapan minum petang. Mereka daripada rumah anak yatim yang tak jauh dari rumah aku dan menjual donut untuk mengutip dana untuk pengurusan rumah itu. Aku terasa insaf yang aku telah dirahmati dengan Ayah untuk lebih tiga puluh lima tahun (sekarang korang tau betapa tuanya aku!), ada masa mengutip kenangan manis dan mendapat berkat hidup bersama Ayah. Ramai orang lain (termasuk Mak dan Ayah aku sendiri) ditinggalkan bapa mereka pada usia yang lebih muda. Ada juga yang hilang tempat bergantung sama sekali, seperti kanak-kanak itu. Alangkah beruntungnya aku!
Namun begitu, kalau aku ada lagi tiga puluh lima tahun bersama Ayah, aku rasa masih juga tak cukup. Nah, lumrah manusia yang memang tidak pernah puas!
i love your father too. and you are a reflection of him. i can almost see him through you.
BalasPadamYour dads probably reading this n smiling back at u
BalasPadam....
BalasPadamThank you, Zue! *hugs*
BalasPadamI love the idea you put forth, Ms. Goh! Thanks!
i could not agree more with zu here. you are a reflection of him, he raised you well Alhamdulillah. *hugs* cant wait to give you a hug in person.
BalasPadamHey snuze. If u remember me.. Im a fan from ur sloth blog.
BalasPadamAnyway.. Such a touching story and takziah for ur lost. I lost my dad in 2008 and i can imagine how u feel. From ur story.. Ur dad seemed to be such a beautiful person. And from ur blog i know u r too.
Well... Just in case u r still feeling blue.. Just remember 'this will pass'. If it helps.