20.9.11

Nostalgia

Jari-jariku mencari-cari Klasik Nasional di radio Sonyku yang sudah agak usang. Saat penerima radioku hinggap di rangkaian yang ku sasarkan, R Azmi mendendangkan sebuah lagu satira, memomokkan si kaki botol. Aku pun ikut karaoke, maklumlah lagu kegemaran aku dan arwah Opah dulu.

Aku memang suka lagu-lagu Melayu lama, melodi dan lirik yang terhasil sebelum 1970 sungguh menawan buatku. Rentak dan irama lagu Melayu lama enak dan liriknya melimpah dengan makna. Kusyen di sofa ku lambung sambil aku berjoget dan menyanyi dengan radio.

Dari R Azmi, bertukar kepada Rokiah Wanda. Aku pun menghempaskan diri ke atas sofa, mengelamun dengan alunan suaranya yang lunak sambil kupeluk-peluk kusyen tadi.



Aku diberi tahu yang lagu itu diberi nafas barukan semula oleh Yuna.



Boleh tahan juga.

Aku terlelap dibuai kemerduan paduan suara-suara penyanyi yang telah lama meninggalkan dunia ini.

5.9.11

Aku ceria bak bunga daffodil, sayang!

Tajuk di atas adalah alih bahasa terus petikan kata:

"I am as gay as a daffodil, my dear."

-- Freddie Mercury

Dua puluh tahun dahulu dunia kehilangan seorang artis berbakat besar yang pernah meletup seperti meteor yang mencacah langit. Freddie Mercury, tonggak kumpulan Queen: penyanyi, penulis lirik, pencipta lagu, penyusun muzik, penerbit album yang luar biasa bakatnya.

Freddie mempunyai suara yang menakjubkan; beliau boleh menyanyi dalam pelbagai genre daripada rock hinggalah ke opera klasik. Boleh dikatakan beliau seorang coloratura, walaupun istilah itu lebih sering digunakan untuk menggambarkan seorang penyanyi soprano.Walaupun beliau dikatakan tidak mahir membaca nota muzik, tapi beliau boleh menggubah harmoni-harmoni yang sungguh rumit dan elegan.

Sekiranya dia masih hidup, pasti hari ni dia menyambut hari lahirnya yang ke-65. Bagi menandakan tarikh ini, tim di Google telah membuat Google doodle yang dianimasikan dan diletakkan di halaman depan enjin carian mereka.



Selamat hari jadi, Freddie! Untukmu, patah tidak tumbuh, hilang tak berganti.