Aku tak berapa menyukai puisi. Pemikiranku telus, tiada simpang siur. Aku tak tahu menghargai pembayang dan metafora. Jiwaku tiada ketidakteraan (subtlety) untuk membaca yang tersirat di antara garisan.
Tapi aku suka pantun. Aku sukakan rentak bahasanya, aku sukakan irama suku katanya. Aku hanya menghargai kehalusan makna tersirat dalamnya bila menghadiri satu kuliah Allahyarham Pak Tenas Effendy tentang kesantunan Melayu. Itulah kali pertama aku menghadiri kuliah yang membuka mata jiwaku sehingga terpaksa mengesat air mata.
Pembacaanku dalam bahasa ibundaku terlalu terhad. Aku tidak pernah tahu nilai erotis yang wujud dalam kesusasteraan Melayu. Mungkin kerana aku dibesarkan dalam suasana pembudayaan keIslaman yang condong ke Asia Barat dan menenggelamkan estetika budaya leluhurku yang dianggap "rosak" ataupun lucah.
Sesungguhnya satu-satunya pembacaan bahasa ibundaku yang menyentuh perkara seksual secara langsung adalah satu buku lucah yang dipinjamkan oleh kawan sekelasku. Buku itu tiada penerbit, sekadar satu salinan fotokopi yang dijilid tanpa kulit muka. Sungguh tak stim baca buku lucah bila terpaksa cari makna perkataannya dalam kamus, tau! Tapi kalau bahasa Inggeris, cukup pula perbendaharaan kata-kata lucahku. =P
Pertemuanku dengan Cik Puan Zalina Abdul Aziz, pencoret hikayat Nusantara yang tersohor itu, membenih bibit ingin tahu akan kesusasteraan lama bahasa ibundaku yang kian luput. Beliau memberitahuku bahawa penulisan lama mempunyai nilai erotis yang tinggi. Aku tak ingat tajuknya, tapi ada hikayat yang mempunyai satu perenggan yang bertumpu hanya kepada cumbuan! Itu belum termasuk babak rangkulan dan ... dan ... apa-apalah seterusnya. Kalah penerbitan Ellora's Cave!
Menurutnya lagi, penglipur lara silam menghargai kepentingan eros dalam menggalakkan penceritaan dan membangunkan watak. Masyarakat Melayu dahulunya tidak kolot perihal nafsu dan seksualiti. Tapi ini mula terhakis bila pembudayaan Arab semakin menular sejak tahun 70an di sini. Sayang seribu kali sayang.
Tuan Suhaimi, sahabatku mukabuku aku dari Kota Singa, seorang budayawan, penyair dan pengkaji persenjataan Melayu, telah memperkenalkanku kepada pantun erotis bahasa ibundaku. Alangkah menakjubkan! Berikut antara perkongsian beliau:
Nyiur gading di tepi halaman
Buah setandan masak kemirau
Tidur sepicing mimpikan tuan
Kononnya tuan datang bergurau
Anak cindai anak serasah
Ketiga anak rakam keling
Kalau diampai bertambah basah
Kalau direndam bertambah kering
Kain dicelup akan kesumba
Direndam lama jadi pelangi
Tuan dipeluk lalu diriba
Puaslah dendam selama ini
Kain selerang kain pelikat
Payung terkembang tengah hari
Sungguhlah abang pandai memikat
Burung terbang menyerah diri
Kalau ada kain berkampuh
Apalah guna kain selerang
Kalau ada angin merempuh
Takkanlah bunga tak mau kembang
Tengah malam mimpikan bulan
Mimpi dipagar bintang tujuh
Tengah malam mimpikan tuan
Mimpi bertukar kain ditubuh
Rumah besar digoncang bayu
Atap ijuk dindingnya papan
Tuan umpama kain baju
Tidaklah luput dari badan
Hilir labuh mudik labuh
Akan jinjing sarang tempua
Huraikan rambut yg labuh
Akan payung kita berdua
Jikalau tuan pergi ke laut
Bawa balik ketam bertelur
Kalau tuan menjadi rambut
Biar saya suntingkan melur
Melapuh kaki ku terkena tunggul
Tunggul besar ditengah padang
Gelusuh hati ku melihat sanggul
Sanggul besar bunga bergoyang
Terbang burung di gunung ledang
Anak undan gugur bulunya
Kalau boleh pinjam selendang
Abang rindu akan baunya
Sedap baunya kenanga hutan
Tarik akar jalinkan lantai
Sedap baunya adinda tuan
Lekat dikain kekanda pakai
Hilir labuh mudik labuh
Akan jinjing sarang tempua
Huraikan rambut yg labuh
Akan payung kita berdua
Wajah ayu si bujur sireh
Kulit berseri si kuning langsat
Hati ku sayu bercampur sedih
Sudah ku beri tidak ku dapat
Kening lentik rambutnya ikal
Baju biru berleher jinjang
Wajahnya cantik senyumnya nakal
Terbayang hamba hingga ke ranjang
Pinggang ramping bagai kerengge
Pipi merah pauh di mayang
Tiada boleh mencari lega
Tidur malam terbayang-bayang
Aku masih meneliti kedalaman makna dan menafsir perutusan pantun-pantun ini yang tersurat dan tersirat. Apa yang pasti ialah budaya sastera masyarakatku sebenarnya sangat tinggi kehalusan estetika bahasanya hingga berjaya menukil yang nakal dengan kata-kata yang lunak. Kehangatan dan keghairahan yang disampaikan tidak tawar sekalipun ayat dikias berlapik.
Terima kasih, Tuan Suhaimi Nasrain.