31.3.15

Penyelamat Ranggi



Picture is writing prompt in Mari Menulis group.

Segala lenguh-lenguh yang mencengkam otot-otot yang membawanya menjejak dua lembah dan separuh jalan menaiki Bukit Sepah lenyap apabila pandangannya tertangkap kepada susuk kecil yang mengerekot di perdu pokok ketapang kecil itu. Gatal-gatal gigitan serangga dan pedih calar-balar diraut oleh ranjau sepanjang trek itu terlupa buat seketika. Ahmad menghela nafas lega apabila dilihatnya kanak-kanak itu menguit-nguit, tanda dia masih lagi bernyawa.

"Rosina..."panggilnya dengan lembut. Anak kecil itu membuka mata dan mula bangkit, duduk. Wajah mungilnya terkesan dengan bekas air mata, comot dengan kesan tanah dan pelbagai lagi. Bau asap yang kuat menyelubungi kanak-kanak itu.

Ahmad mendaki satah bukit itu dengan berhati-hati, tanah dan daun kering melurut turun di bawah but bersaiz 12 itu. Tangannya mendepang untuk merangkul anak yang mula menangis itu, tubuh kecilnya ringan sekali dan hangat. Perlahan-lahan Ahmad membawa kanak-kanak itu turun, tidak menghiraukan klik-klik daripada telefon bimbit yang merakamkan adegan itu.

Sehingga hari ini Ahmad tidak tahu bagaimana anak kecil itu ditemui 15 kilometer daripada tempat perkelahan keluarganya berlibur dan cara mana dia terselamat daripada kebakaran belukar yang telah memusnahkan hutan lipur itu.